Skip to main content

Singapura

SG bakal ada 'banyak' kenderaan tanpa pemandu dalam 5 tahun: Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jun 2025 07:20AM Dikemas Kini : 17 Jun 2025 10:58PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura boleh menjangkakan untuk melihat "banyak" kenderaan autonomi (AV) atau kenderaan tanpa pemandu di jalan raya dalam tempoh lima tahun, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Dalam wawancara media yang meluas pada 11 Jun, Encik Siow berkata akan ada "rangsangan yang sangat besar" bagi AV, yang berpotensi membawa "perubahan besar" bagi pengangkutan awam.

"Saya tidak ragu-ragu, dalam tempoh lima tahun, kita akan melihat banyak kenderaan tanpa pemandu di Singapura," kata Encik Siow, yang mengambil alih peranan pemangku menteri pada 23 Mei.

Beliau berkata pemerintah mungkin akan memulakan perkhidmatan AV dengan laluan tetap di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), untuk membawa orang ramai ke hab pengangkutan terlebih dahulu, dan kemudian ke tempat-tempat menarik.

"Di bandar-bandar HDB yang lebih jauh dari pusat bandar, saya membayangkan bahawa AV akan digunakan secara meluas dalam tempoh lima tahun akan datang, dan ia akan menjadi ... tambahan yang sangat berguna kepada rangkaian pengangkutan awam," kata Encik Siow.

Pandangan beliau adalah fasa awal haruslah "secara berperingkat", sebelum sebarang "penggunaan besar-besaran" berlaku.

Encik Siow, yang juga Menteri Kanan Negara bagi Kewangan, menambah bahawa kenderaan autonomi akan "membawa perbezaan" dan menghapuskan "kekangan utama" tenaga kerja berkait perkhidmatan bas.

"Apabila anda perlu memperkenalkan perkhidmatan bas baharu, anda perlu melatih pemandu bas - itu mengambil masa enam bulan hingga setahun, kerana anda perlu belajar bagaimana untuk memandu bas, anda perlu mengambil dan merekrut pemandu bas, anda perlu membeli bas," katanya.

"Anda juga perlu membina depoh dan pusat pertukaran jika belum ada. Jadi memperkenalkan perkhidmatan bas tidaklah mudah, ia memerlukan masa."

Saiz kenderaan tanpa pemandu juga boleh lebih kecil, dan laluannya boleh diubah dengan lebih fleksibel, katanya.

"Secara keseluruhannya, saya rasa ia akan menjadi tambahan yang ketara kepada rangkaian pengangkutan awam kita."

Encik Siow menyatakan penduduk San Francisco di Amerika Syarikat sudah menyewa AV di jalan raya, dan bandar Guangzhou di China juga sudah menggunakan kenderaan tersebut.

Pada Januari, Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) mengeluarkan Permintaan Cadangan (RFP) untuk menguji perkhidmatan bas awam tanpa pemandu. Inisiatif itu bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal teknologi AV untuk perkhidmatan bas awam, dan mendapatkan pandangan tentang aspek operasi di peringkat perkhidmatan dan armada.

Projek perintis ini akan bermula dengan bas-bas yang lebih kecil sekurang-kurangnya 16 tempat duduk, dengan khidmat bas 400 yang beroperasi di sekitar terminal bas Shenton Way dan khidmat bas 191 yang berulang-alik dari terminal bas Buona Vista ke Media Circle di one-north.

Kawasan-kawasan itu dipilih disebabkan laluannya yang lebih pendek dan mudah.
RFP menyatakan bahawa bas-bas pada mulanya akan beroperasi dengan pemandu bas di dalamnya sebagai pengendali keselamatan, dengan kemungkinan beralih kepada penyeliaan jarak jauh selepas menunjukkan bahawa ia boleh dipercayai selama sekurang-kurangnya enam bulan.

LTA merancang untuk memperoleh enam bas tanpa pemandu sebagai permulaan, dengan operasi bermula pada pertengahan 2026 untuk tempoh awal tiga tahun. Bergantung kepada prestasinya, sehingga 14 bas lagi mungkin akan diperoleh, untuk memperluaskan projek perintis itu kepada dua perkhidmatan lagi.

"DINAMIK YANG BERUBAH"

Encik Siow, bekas penjawat awam kanan yang berada di kementerian pengangkutan dari 2012 hingga 2017, menarik perhatian bahawa MOT "bertindak pantas" pada tahun 2013 apabila ia berkaitan dengan AV, dan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk "mendorong" isu tersebut.

"Ia adalah peluang yang jarang berlaku bagi sesiapa sahaja untuk kembali ke tempat di mana mereka pernah bekerja. Jadi saya sangat gembira untuk kembali," katanya.

Pelbagai ujian untuk AV sudah dilancarkan di seluruh Singapura selama bertahun-tahun.

Ini termasuk ujian bas ulang-alik tanpa pemandu di Pulau Sentosa, pengerahan di kampus di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan one-north, serta projek perintis komersil berskala kecil seperti kerjasama NTUC FairPrice Group dengan rakan logistik Zelos.

Di bawah peraturan semasa, AV hanya boleh dikendalikan sebagai sebahagian daripada ujian yang dibenarkan. Pemilikan persendirian atau penggunaan awam kereta tanpa pemandu masih dilarang.

LTA sebelum ini menyatakan bahawa sementara negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China sudah menggunakan armada AV sebagai robotaksi, keselamatan kekal menjadi tumpuan utama di Singapura.

"Keutamaan kami adalah untuk memastikan persekitaran operasi tempatan sesuai untuk memudahkan penggunaannya dengan cara yang selamat, di samping menangani isu-isu berkait penerimaan awam terhadap teknologi tersebut," menurut pihak berkuasa kepada Mediacorp untuk laporan Big Readnya yang meninjau kemajuan Singapura mengenai AV.

November lalu, semasa Kongres & Pameran Pengangkutan Antarabangsa Singapura 2024, pendahulu Encik Siow, Chee Hong Tat bercakap tentang kemajuan Singapura dalam ruang AV, mengulangi bahawa keselamatan adalah keutamaan utama negara apabila menilai penggunaan teknologi bagi kes penggunaan komersil.

Jika AV menjadi kenyataan di jalan raya, dinamik pemanduan akan berubah "dengan ketara", kata Encik Siow dalam temu bual beliau pada Jun.

Beliau berkata ia mungkin "kurang masuk akal" bagi orang ramai untuk memandu kereta mereka sendiri jika AV tersedia secara meluas dan mudah digunakan.

"Itu akan mempunyai, pada pandangan saya, implikasi menarik untuk cara kita berfikir tentang kenderaan persendirian, dan kemudian secara tidak langsung, sistem COE (sijil pemilikan)," katanya.

Dalam jangka pendek, AV akan menjadi "tambahan" kepada sistem pengangkutan awam dan tidak semestinya persaingan kepada mereka yang memandu untuk mencari mata pencarfian, kata Encik Siow.

"Dalam jangka panjang, ia mungkin begitu, dan kita perlu benar-benar bekerjasama dengan pemandu dan mencari pekerjaan baharu, seperti yang sudah kita lakukan pada masa lalu dengan pemandu kereta api."
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita