Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG, Australia bakal lancar program A$20 juta bantu SME bangunkan produk hijau berdaya inovasi

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Australia bakal lancar program A$20 juta bantu SME bangunkan produk hijau berdaya inovasi

Perdana Menteri Anthony Albanese dan Pemangku Perdana Menteri Lawrence Wong di sidang media bersama di Istana pada 2 Jun 2023. (Gambar: CNA/Ang Hwee Min)

SINGAPURA: Singapura dan Australia akan melancarkan program baru bernilai A$20 juta (S$17.7 juta) untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME) dari kedua-dua negara bagi sama-sama membangunkan produk hijau yang berdaya inovasi.

Di bawah Program Inovasi Bersama 'Go-Green', Jabatan Ehwal Luar dan Perdagangan Australia serta Enterprise Singapore (ESG) akan memperuntukkan dana bagi menyokong SME dari kedua-dua negara itu bagi empat tahun akan datang.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam lembaran faktanya.

Program tersebut terangkum di bawah Perjanjian Ekonomi Hijau Singapura-Australia, yang dimeterai kedua-dua negara tersebut pada Oktober 2022.

Singapura dan Australia akan berusaha ke arah mewujudkan koridor perkapalan hijau dan digital antara pelabuhan kedua-dua negara itu menjelang akhir 2025, menurut MFA.

Kedua-dua negara itu sedang memuktamadkan prinsip panduan dan pelan kerja untuk membimbing kerjasama di bawah satu perjanjian makanan. Ia menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan produk makanan, mempromosikan Singapura sebagai pusat pemunggahan bagi produk makanan Australia, dan menjalinkan kerjasama berhubung isu keselamatan makanan sejagat.

"Apabila anda berfikir mengenai objektif masa depan yang ingin disaksikan kedua-dua Singapura dan Australia bagi ekonomi serta masyarakat kami, jelas bahawa terdapat banyak objektif yang dikongsi bersama," ujar Pemangku Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (2 Jun), semasa berucap di satu sidang media dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

"Kami berdua mahukan masa depan yang lebih hijau dan bersih, dan kami akan mencapai tahap sifar bersih. Kami berdua inginkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, terutama sekali dalam sektor penting seperti makanan dan tenaga kuasa," tambah Encik Wong, sambil menjawab soalan mengenai perkara yang boleh dimanfaatkan sektor swasta hasil kerjasama tersebut.


Encik Wong menyambut Encik Albanese di Istana pada Jumaat sebagai Pemangku Perdana Menteri bagi Mesyuarat Tahunan Para Pemimpin Singapura-Australia yang ke-8. Ini setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong sekali lagi diuji positif COVID-19 pada Khamis (1 Jun).

Encik Albanese dijangka akan menyampaikan ucap tama semasa Dialog Shangri-La pada Jumaat.

USAHA BERBILANG PIHAK PENTING BAGI AUSTRALIA, SINGAPURA

Encik Wong dan Encik Albanese juga membalas pertanyaan berhubung peranan Australia "yang menstabilkan" rantau ini di tengah-tengah ketegangan Amerika Syarikat-China yang meruncing.

Menurut Encik Wong, Australia mampu mengemudi pembangunan di rantau ini ke arah haluan, di mana wujud peluang terbaik bagi kestabilan dan pertumbuhan yang berterusan.


Encik Wong menarik perhatian bahawa Singapura turut mengalu-alukan peranan berterusan Australia dalam mendampingi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), sambil menambah bahawa Australia adalah rakan dialog pertama ASEAN, yang kemudian dipertingkat menjadi kerjasama strategik menyeluruh.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan