Skip to main content

Singapura

SG, ASEAN bakal raih manfaat daripada hubungan lebih erat dengan Afrika

Perdana Menteri Lawrence Wong menyifatkan Sidang Puncak G20 baru-baru ini sebagai satu kejayaan besar.
Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Nov 2025 07:36PM Dikemas Kini : 04 Dec 2025 03:20PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong menyifatkan Sidang Puncak G20 baru-baru ini sebagai satu kejayaan besar.

Ia menunjukkan walaupun terdapat ketegangan geopolitik yang mendalam, negara-negara masih mencapai kata sepakat dalam usaha pembaharuan ekonomi global.

PM Wong turut menarik perhatian kepada kerjasama Singapura dengan Habsyah selepas lawatan rasminya ke negara Asia Timur itu.

Beliau menyatakan hasrat untuk memperluaskan hubungan dengan benua yang pesat membangun itu.

Diberikan jolokan sebagai tempat lahir nenek moyang manusia, Habsyah kini menawarkan pelbagai peluang dan menjadi pintu masuk bagi Singapura dan Asia Tenggara ke Afrika.

Menggulung lawatan rasmi pertamanya ke negara itu, Encik Wong berkata, Singapura komited untuk berkongsi pengalaman dengan negara-negara Afrika dan membantu mereka membangunkan keupayaan tempatan.

"Kami berharap, dengan berbuat demikian, negara-negara ini akan maju, membangunkan dan mengembangkan ekonomi mereka. Apabila ekonomi mereka berkembang, ia juga akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat Singapura, perniagaan serta rakyat Singapura untuk meneroka pasaran baharu ini.

"Jadi secara keseluruhannya, ia memperluas pasaran, memberi lebih ruang untuk kita beroperasi dan membawa manfaat kepada Singapura," kata beliau.

Di samping itu, Encik Wong juga ingin menggalakkan lebih banyak pertukaran antara syarikat-syarikat Singapura dengan para peniaga di Afrika.

Ini bagi memupuk persefahaman yang lebih baik serta meneroka peluang-peluang baharu.

Encik Wong turut menekankan potensi besar dalam merapatkan hubungan antara rantau seperti Afrika, Asia Tenggara dan ASEAN.

Tambah beliau lagi, pemerintah sedang memperhebat usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan tersebut, khususnya dalam persekitaran global yang berubah-ubah.

Usaha tersebut turut melibatkan kerjasama dengan blok lain seperti Kesatuan Eropah (EU), Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta negara seperti Kanada yang menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Singapura dengan lebih rapat lagi.

Usaha negara-negara kecil walaupun terhad pengaruh geopolitik, boleh membawa kesan yang bermakna, tambah beliau.

"Tidak kira sama ada anda sebuah negara kecil atau besar, atau sama ada anda mempunyai pengaruh geopolitik ataupun tidak. Apa yang lebih penting ialah apabila ekonomi-ekonomi ini bekerjasama, kita jumpa platform yang baik untuk berinovasi dan mencuba sesuatu yang baharu, sama ada dalam perdagangan digital atau daya tahan rantaian bekalan, kejayaan itu akan terbukti dengan sendiri.

"Ini kerana kita mampu melakukan sesuatu yang berbeza, yang berkesan dan meninggalkan impak, negara-negara lain akan juga ikut sama," kata beliau.

Lawatan Encik Wong ke Habsyah berlaku selepas beliau turut serta dalam Sidang Puncak G20.

Beliau menyifatkan perhimpunan di Afrika Selatan itu sebagai satu kejayaan besar, memandangkan mesyuarat-mesyuarat yang berlangsung, produktif walaupun tanpa kehadiran Amerika Syarikat.

"Jika Amerika tidak terlibat atau memilih untuk tidak terlibat, itu tidak sepatutnya menghalang negara-negara lain daripada berganding bahu dan mencari jalan sendiri untuk menentukan hala tuju masa depan. Dan apabila Amerika bersedia untuk menyertai perbincangan kemudian, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa," kata beliau.

PM Wong menegaskan, pembaharuan sistem perdagangan pelbagai hala adalah suatu proses yang rumit dan mengambil masa, sama ada dengan atau tanpa penyertaan Washington.

Beliau berkata, Singapura menantikan agenda G20 tahun depan, yang akan diterajui Amerika Syarikat dengan tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Sumber : CNA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita