Skip to main content

Singapura

SG arah TikTok, Meta lumpuhkan akaun media sosial bekas tahanan ISA Zulfikar Mohamad Shariff atas catatan hasut ketegangan kaum

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Nov 2025 12:29PM Dikemas Kini : 05 Dec 2025 11:27PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa mengarahkan TikTok dan Meta untuk melumpuhkan akaun media sosial bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura, selepas dia berulang kali membuat catatan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan terhadap masyarakat Cina.

Zulfikar Mohamad Shariff, yang melepaskan kerakyatan 2020 dan kini merupakan warga Australia, telah menghasut perasaan “permusuhan, kebencian, niat jahat dan permusuhan terhadap, penghinaan dan ejekan terhadap pelbagai kumpulan kaum dan agama di Singapura”, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (26 Nov).

Dalam satu contoh yang dipetik oleh MHA, Zulfikar yang berusia 54 tahun memuat naik video ke TikTok pada 19 Jun, sambil mendakwa secara palsu bahawa orang Melayu/Islam dipaksa mengasimilasika (menyesuaikan diri) dengan masyarakat Cina di Singapura.

MHA turut memberikan beberapa catatan lain yang membawa mesej menghasut yang serupa.

“Pemerintah telah menerima banyak maklum balas daripada orang ramai, termasuk beberapa aduan polis, bahawa catatan Zulfikar menggugat keharmonian kaum dan agama di Singapura,” dedah MHA.

Pasukan Polis Singapura telah mengeluarkan Arahan Sekatan Akaun dan Arahan Melumpuhkan Akaun di bawah Akta Bahaya Jenayah Online. TikTok telah diarahkan untuk menyekat akses kepada akaun Zulfikar dan Meta telah diperintahkan untuk melumpuhkan laman Facebooknya di Singapura.

“Ini akan menghalang akaun/laman Zulfikar daripada terus berkomunikasi di Singapura, dan mengancam keharmonian kaum dan agama kita,” tegas MHA.

MHA menambah bahawa polis juga telah memulakan siasatan terhadap Zulfikar atas “kelakuannya yang keterlaluan”.

Zulfikar ditahan di bawah ISA pada 2016 kerana menggalakkan keganasan dan mengagungkan kumpulan pengganas ISIS secara online dan tindakannya telah menyumbang kepada radikalisasi sekurang-kurangnya dua rakyat Singapura yang lain.

Dia juga telah menggesa umat Islam untuk menolak negara-negara berperlembagaan, sekular dan demokratik demi menyokong negara Islam yang ditadbir oleh undang-undang Syariah, dan percaya bahawa keganasan harus digunakan untuk mencapai matlamat ini jika perlu, menurut MHA.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan Mediacorp, MHA menegaskan bahawa ia bukan kali pertama arahan sedemikian dikeluarkan di bawah Akta Bahaya Jenayah Online.

Sejak penguatkuasaan akta tersebut pada Februari 2024, polis telah mengeluarkan arahan, termasuk arahan sekatan akaun dan arahan melumpuhkan akaun, untuk menyekat pendedahan pengguna Singapura kepada aktiviti jenayah online seperti penipuan dan aktiviti siber yang berniat jahat.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita