Skip to main content

Singapura

SG arah henti jual susu formula bayi Nestle NAN terpilih atas risiko toksin

Anggaran Waktu Membaca:
 SG arah henti jual susu formula bayi Nestle NAN terpilih atas risiko toksin
(Gambar: Nestle)
Diterbitkan : 09 Jan 2026 06:05AM
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (8 Jan) mengarahkan penjualan lima kumpulan susu formula bayi dan formula susulan Nestle NAN dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan ia mengandungi toksin cereulide.

Langkah itu akan terus dikuatkuasakan sedang siasatan dijalankan, menurut kenyataan bersama SFA dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Tindakan tersebut diambil menyusuli pemberitahuan yang dikeluarkan dua hari lalu oleh Sistem Amaran Pantas Suruhanjaya Eropah bagi Makanan dan Makanan Haiwan serta Rangkaian Penguasa Keselamatan Makanan Antarabangsa mengenai penarikan balik susu formula bayi tersebut.

SFA dan CDA menyatakan bahawa setakat ini tiada kes penyakit yang disahkan berkaitan dengan pengambilan susu formula bayi Nestle yang terjejas di Singapura, dan siasatan masih diteruskan.

Lima kumpulan buatan Switzerland yang terjejas adalah:

NAN HA 3 SupremePro, kumpulan 53030017C1

NAN HA 2 SupremePro,kumpulan 51420017C4

NAN HA 1 SupremePro, kumpulan 51460017C2

NAN HA 1 SupremePro, kumpulan 51470017C1

NAN HA 3 SupremePro, kumpulan 53030017B1

Cereulide adalah toksin yang boleh menyebabkan gejala seperti loya, muntah, sakit perut, dan cirit-birit. Gejala ini biasanya muncul antara 30 minit hingga enam jam selepas mengambil makanan yang terjejas, dan biasanya akan hilang dalam tempoh 24 jam.

Sungguhpun demikian, kumpulan yang mudah terjejas seperti bayi berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi, menurut SFA dan CDA.

Agensi-agensi tersebut menyatakan bahawa buat masa ini tiada piawai antarabangsa mengenai tahap toksin cereulide yang boleh diterima dalam susu formula bayi dan bahan makanan lain yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Codex Alimentarius serta kebanyakan pihak berkuasa luar negara.

CDA menambah bahawa pihaknya sedang menjalankan pemantauan bersama hospital-hospital untuk mengesan potensi kes keracunan cereulide dalam kalangan kanak-kanak, dan sedang bekerjasama rapat dengan SFA berhubung perkara tersebut.

"Pengguna yang sudah membeli produk yang terjejas dinasihatkan supaya jangan memberikannya kepada anak-anak mereka. Mereka yang anaknya sudah mengambil produk ini dan berasa tidak sihat harus segera mendapatkan nasihat perubatan," tambah agensi tersebut.

Pengguna juga boleh menghubungi tempat produk tersebut dibeli untuk bertanya mengenai produk berkenaan.

Seorang jurucakap Nestle Singapore sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa tiada bekalan yang ditarik balik di Singapura.

Jurucakap itu berkata Nestle Singapore sudah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua bekalannya dan mendapati dua kumpulan produk "memerlukan semakan tambahan".

Bagaimanapun, ujian makmal susulan mengesahkan bahawa kedua-dua kumpulan produk tersebut selamat untuk digunakan.

"Kami juga mengesahkan bahawa semua produk lain yang dijual oleh Nestle Singapore adalah selamat," tambah jurucakap itu. "Kami sudah menghubungi SFA secara proaktif dan bekerjasama rapat dengan mereka untuk memberikan ketelusan penuh mengenai situasi ini."

Nestle pada mulanya menarik balik susu formula bayi yang terjejas di Eropah, namun penarikan tersebut kini sudah diperluaskan merangkumi pasaran di Afrika, Amerika, dan Asia.

Sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk kebanyakan negara Eropah, serta Australia, Brazil, China, Mexico, dan Afrika Selatan, telah mengeluarkan amaran kesihatan berhubung kemungkinan berlaku pencemaran pada susu formula bayi Nestle tersebut.
Setakat ini, tiada kes penyakit yang disahkan berkaitan dengan kumpulan produk yang terjejas.

Nestle menyatakan pada Selasa (6 Jan) bahawa ia sudah menguji semua minyak asid arachidonic dan campuran minyak berkaitan yang digunakan dalam pengeluaran produk pemakanan bayi yang berpotensi terjejas, selepas isu kualiti dikesan pada ramuan daripada seorang pembekal utama.

Syarikat itu kini sedang meningkatkan pengeluaran dan mengaktifkan pembekal alternatif bagi minyak asid tersebut untuk mengekalkan bekalan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita