Skip to main content

Singapura

SG, Amerika meterai perjanjian kaji teknologi nuklear bagi keperluan iklim dan tenaga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jul 2024 05:24PM Dikemas Kini : 31 Jul 2024 08:48PM
SINGAPURA: Singapura dan Amerika Syarikat memeterai satu perjanjian penting pada Rabu (31 Jul) untuk mengkaji bagaimana teknologi nuklear boleh menyokong keperluan iklim dan tenaga.

Perjanjian tersebut, yang dikenali sebagai "Perjanjian 123", ditandatangani oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken pada hari kedua lawatan rasmi Encik Blinken ke Singapura.

Singapura bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan mengenai pengerahan tenaga nuklear di negara ini, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu.

"Sebarang keputusan berhubung pengerahan akan memerlukan kajian terperinci mengenai keselamatan, kebolehpercayaan, kemampuan dan kelestarian alam sekitar terhadap tenaga nuklear dalam konteks tempatan kami.

"Kebanyakan reka bentuk reaktor nuklear yang canggih masih menjalani kajian dan pembangunan dan belum memulakan operasi komersil."

Menurut kenyataan itu, perjanjian tersebut akan merangsang kerjasama nuklear yang lebih mendalam dan membina kerjasama dua hala yang kukuh antara Singapura dengan Amerika.

Perjanjian tersebut juga akan membolehkan Singapura untuk bekerjasama dengan negara-negara lain yang menggunakan teknologi serta reka bentuk tenaga nuklear mengandungi komponen atau harta intelek asal Amerika.

Setakat ini, Amerika mempunyai 24 Perjanjian-123 yang aktif termasuk dengan China, India dan Jepun.

Sebilangan anggota ASEAN juga sudah memeterai perjanjian dengan Amerika. Perjanjian Indonesia dan Vietnam bersama Amerika, masing-masing dilaksanakan pada 1981 dan 2014, sementara perjanjian Filipina bersama Amerika dikuatkuasakan awal tahun ini pada 2 Julai.

PERJANJIAN 123

Perjanjian 123 menyediakan satu rangka kerja perundangan bagi kerjasama nuklear aman, seperti eksport bahan, peralatan, dan komponen nuklear dari Amerika Syarikat kepada negara lain, menurut Jabatan Negara Amerika.

Di samping itu, mereka mengendalikan kerjasama dalam bidang-bidang lain, seperti pemindahan pendidikan dan teknologi serta kerjasama antara Amerika dengan rakan-rakan negara.

Rakan negara perlu berpegang kepada syarat-syarat tidak menyebarkan untuk menjamin bahawa maklumat yang diperolehi daripada perjanjian sedemikian akan hanya digunakan bagi tujuan aman.

Kelulusan Kongres Amerika diperlukan bagi perjanjian tersebut, yang akan mengendalikan akses Singapura kepada maklumat terperinci berhubung teknologi serta kepakaran teknologi nuklear Amerika, yang berada di bawah kawalan eksport.

TEROKA TENAGA NUKLEAR

Terdapat perbincangan mengenai usaha meneroka kebolehlaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga hijau di Singapura, yang diadakan memandangkan negara ini sedang berusaha untuk menghapuskan karbon sektor kuasanya untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Satu laporan 2022 berhubung masa depan tenaga Singapura yang disokong Penguasa Pasaran Kuasa menyatakan bahawa tenaga nuklear boleh membekalkan kira-kira satu persepuluh daripada keperluan tenaga negara ini menjelang 2050.

Pada April lalu, Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng mengatakan bahawa negara ini mempunyai rancangan untuk membina sebuah kumpulan yang terdiri daripada sekitar 100 pakar tenaga nuklear dalam jangka sederhana hingga panjang tetapi menekankan bahawa tiada sebarang keputusan dibuat berhubung pengerahan tenaga nuklear.

Melalui perjanjian dengan Amerika itu, serta inisiatif pembinaan keupayaan yang lain, Singapura dan Amerika ingin terus memperkukuhkan kerjasama nuklear awam untuk memahami dengan lebih baik bagaimana teknologi tenaga nuklear yang canggih, termasuk reaktor modular kecil, berkemungkinan menyokong sasaran iklim sambil mengimbangi keperluan tenaga penting.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita