SG, Amerika akan bangunkan program latihan keselamatan nuklear
Sebuah program latihan baharu akan dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan dan pemahaman kawal selia nuklear Singapura, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (20 Apr).
Agensi itu menyatakan program tersebut akan dibangunkan di bawah perjanjian yang dimeterai bersama Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear (NRC) Amerika Syarikat mengenai pembangunan kemahiran kawal selia nuklear.
Memorandum kerjasama dirasmikan pada 17 April lalu di mesyuarat Konvensyen Semakan Keselamatan Nuklear Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna.
Ia dimeterai oleh Encik Ang Kok Kiat, kumpulan pengarah Kumpulan Sains Nuklear dan Perlindungan Radiasi NEA dan Encik David Skeen, pengarah Pejabat Program Antarabangsa NRC.
Program latihan itu dibangunkan bagi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan divisyen keselamatan nuklear yang baru ditubuhkan.
Sebagai sebahagian daripada program itu, para pegawai NEA akan menjalani kursus dan latihan penempatan bersama NRC untuk menimba pengalaman dalam bidang-bidang seperti peraturan reaktor, penilaian keselamatan, penilaian risiko kebarangkalian dan prosedur pemeriksaan.
"Kepakaran yang dipertingkatkan itu akan memperdalam pengetahuan kawal selia nuklear Singapura sedang Singapura mengkaji potensi penggunaan tenaga nuklear," menurut agensi tersebut.
Perjanjian itu dimeterai atas perkongsian kukuh antara NEA dengan NRC, yang merangkumi pertukaran maklumat teknikal dan kerjasama dalam hal keselamatan nuklear.
Ia juga melengkapi rangka kerja kerjasama nuklear awam Amerika Syarikat-Singapura yang lebih luas.
Ia diperkukuh dengan pemeteraian Perjanjian 123 dua hala pada 2024, iaitu perjanjian yang diperlukan Amerika Syarikat, yang membolehkan negara-negara untuk mengakses teknologi nuklear dan kepakaran Amerika di bawah peraturan bukan percambahan.
"Ia juga mencerminkan komitmen Singapura untuk membina keupayaan keselamatan nuklear bertaraf dunia menerusi perkongsian antarabangsa, termasuk melalui kerjasama dengan pengawal selia nuklear yang lain di Perancis dan Finland", menurut NEA.
NEA mengumumkan pada Mac bahawa Makmal Radiokimia Kebangsaan ditetapkan sebagai pusat kolaborasi IAEA dari 2026 hingga 2030 dan ia akan memimpin pembangunan pemantauan radiologi serantau dan keupayaan respons kecemasan.
NEA sebelum ini menyatakan ia akan menjalankan tiga kajian mengenai keselamatan nuklear dan kesan kemudahan tenaga terhadap sekitaran bagi mengkaji piawai keselamatan antarabangsa dan rangka kerja kawal selia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.