Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG 'amat prihatin' terhadap keganasan oleh Israel; gesa bertenang, kendurkan ketegangan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (10 Apr) menyuarakan keprihatinan terhadap keganasan yang memuncak baru-baru ini di Israel dan Wilayah Palestin.

"Singapura amat prihatin terhadap keganasan yang memuncak di Israel dan Wilayah Palestin," tegas jurucakap MFA.

"Kami menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga para mangsa dan semoga mereka yang cedera cepat sembuh."

Singapura juga mengutuk serangan roket ke atas Israel, serta serangan-serangan berasingan di Tel Aviv dan Lembah Jordan.

Di tengah-tengah keganasan yang memuncak di rantau itu, enam roket dilancarkan ke arah Israel pada Sabtu (8 Apr), dengan dua daripada roket-roket itu gugur di Dataran Tinggi Golan, yang dikuasai Israel, menurut tentera Israel.

Sekurang-kurangnya satu roket dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Seorang pelancong warga Itali terbunuh dan lima yang lain cedera dalam satu kejadian melibatkan sebuah kereta yang merempuh orang ramai di Tel Aviv pada Jumaat (7 Apr).

Kejadian itu berlaku dua jam selepas dua adik-beradik perempuan terbunuh dalam satu serangan tembakan di Lembah Jordan.

Pada 4 April, polis Israel menyerbu dewan solat Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam, dalam serbuan yang disifatkannya sebagai tindakan untuk "menangkap belia yang melanggar undang-undang dan pelaku bertopeng" yang menurut polis Israel berada di dalam masjid tersebut.

MFA menggesa semua pihak supaya "bertenang dan menahan diri daripada ketegangan yang berlaku dan mengelakkan kehilangan nyawa."

"Semua pihak mesti menghormati kesucian tapak-tapak agama seperti Masjid Al-Aqsa untuk membolehkan orang ramai beribadah dengan selamat dan tenang, terutama sekali semasa bulan Ramadan," menurut MFA.

Buat masa ini tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang terjejas oleh serangan tersebut, tambah MFA.

Rakyat Singapura yang berada di Israel dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengikuti perkembangan berita terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Singapura yang melakukan perjalanan ke Israel dinasihatkan supaya mendaftar dengan MFA jika mereka belum berbuat demikian.

Sesiapa yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Tel Aviv atau Pejabat Petugas 24 Jam MFA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan