SG 'amat prihatin' terhadap campur tangan Amerika di Venezuela; gesa patuh Piagam PBB: MFA
SINGAPURA: Singapura "sangat bimbang" tentang campur tangan Amerika Syarikat di Venezuela pada Sabtu (3 Jan) dan menggesa semua pihak supaya mengawal diri.
"Singapura amat komited terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip Piagam PBB yang melindungi kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, terutamanya negara-negara kecil," kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam kenyataannya pada Ahad (4 Jan).
"Singapura secara konsisten menentang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa oleh mana-mana pihak, termasuk campur tangan tentera asing di mana-mana negara."
Ia menggesa semua pihak supaya mengawal diri dan mengharapkan huraian damai bagi situasi di Venezuela mengikut undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam PBB.
MFA menyatakan tiada rakyat Singapura yang berdaftar secara elektronik dengan kementerian itu berada di Venezuela dan rakyat Singapura dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan ke negara Amerika Selatan tersebut.
Amerika melakukan serangan mengejut pada awal pagi di mana tentera khas menangkap Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya - sementara serangan udara dilancarkan ke atas beberapa tapak di dalam dan sekitar ibu kota Caracas – lalu membawanya keluar dari negara itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata bahawa Washington akan "mentadbir" Venezuela dan memanfaatkan rizab minyaknya yang besar.
Encik Maduro tiba di pangkalan tentera Amerika sejurus selepas tengah malam, kemudian dibawa dengan helikopter ke New York City, di mana pasangan itu akan berdepan tuduhan pengedaran dadah dan senjata.
Walaupun operasi berisiko itu berjaya, apa yang berlaku seterusnya sangat tidak dijangka.
Presiden Trump berkata beliau sedang "mengarahkan individu" daripada kabinetnya untuk memegang jawatan pentadbiran di Venezuela, namun tidak memberi butiran lanjut mengenainya.
Beliau juga memberi isyarat bahawa tentera Amerika mungkin dikerahkan, sambil berkata bahawa Washington "tidak gentar dengan kehadiran tentera Venezuela".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.