Skip to main content

Singapura

SG 'amat prihatin' Israel rancang perluas operasi ketenteraan di Gaza: MFA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2025 04:49PM Dikemas Kini : 10 Aug 2025 10:37PM
SINGAPURA: Pemerintah menyatakan pada Ahad (10 Ogos) bahawa ia "sangat bimbang" tentang rancangan Israel untuk meluaskan operasi ketenteraan di Gaza.

“Singapura amat prihatin dengan rancangan kabinet keselamatan Israel untuk meluaskan operasi ketenteraan di Gaza,” menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) negara.

“Ini tindakan berbahaya dan tidak boleh diterima sama sekali yang akan menyebabkan lebih ramai orang awam kehilangan tempat tinggal dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudahpun teruk,” menurut jurucakap kementerian tersebut.

Singapura juga mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata dikuatkuasakan segera, dan agar Hamas membebaskan serta-merta semua tebusan yang masih ditahan tanpa sebarang syarat.

Israel mesti mematuhi kewajipan kemanusiaan antarabangsanya, dan semua sekatan terhadap bantuan kemanusiaan mesti ditarik balik, tambah jurucakap MFA.

“Pemerintah Israel mesti segera memudahkan sepenuhnya aliran masuk (bekalan bantuan kemanusiaan) dan tanpa sebarang halangan.

“Semua pihak mesti melindungi infrastruktur awam dan orang awam, terutamanya individu yang sedang mendapatkan bekalan kemanusiaan, mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata jurucakap MFA.

"Singapura menggesa semua pihak menyambung semula rundingan ke arah mencapai gencatan senjata mutlak."

Menurut Singapura, sekatan bantuan di Gaza melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pada Jumaat (8 Ogos), Kabinet keselamatan politik Israel meluluskan rancangan untuk "menguasai" Bandar Gaza.

Tentera Israel "akan bersiap sedia untuk mengawal Bandar Gaza di samping memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam di luar zon pertempuran," umum pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan pada Jumaat (8 Ogos).

Hamas mengecam rancangan untuk memperluaskan pertempuran dan menyifatkannya sebagai "jenayah perang yang baharu".

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat (8 Ogos) mengkritik rancangan Israel, dengan jurucakapnya menyifatkan usulan itu sebagai "meningkatkan risiko" selain menyebabkan perpindahan paksa penduduk Palestin.

"Keputusan ini menambah bahaya dan berisiko memperdalam kesan yang sudahpun membawa malapetaka bagi berjuta-juta rakyat Palestin, dan boleh membahayakan lebih ramai nyawa, termasuk tebusan yang masih hidup," kata jurucakap pemimpin PBB dalam satu kenyataan.

Rancangan tersebut akan mengakibatkan lebih banyak perpindahan paksa, pembunuhan dan kemusnahan besar-besaran, sekali gus menambahkan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan terhadap penduduk Palestin di Gaza," tambah kenyataan itu, sambil menyatakan bahawa pemindahan paksa adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita