Skip to main content

Singapura

SG alu-alukan pengesahan Indonesia bagi 3 perjanjian dua hala termasuk ekstradisi

Anggaran Waktu Membaca:
SG alu-alukan pengesahan Indonesia bagi 3 perjanjian dua hala termasuk ekstradisi

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kiri) mengadakan mesyuarat dua hala pada 10 Nov 2022 dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Phnom Penh di luar Sidang Puncak ASEAN. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 17 Jan 2023 11:21PM Dikemas Kini : 17 Jan 2023 11:28PM
SINGAPURA: Pengesahan Indonesia untuk tiga perjanjian dengan Singapura, termasuk perjanjian ekstradisi, menjadi petanda "kekuatan dan kematangan" hubungan dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Selasa (17 Jan).

Ketiga-tiga perjanjian tersebut menyentuh tentang isu-isu pengurusan ruang udara, kerjasama pertahanan dan ekstradisi penjenayah.

"Pengesahan perjanjian-perjanjian ini merupakan langkah utama dalam menyelesaikan ketiga-tiga isu dua hala yang tertunggak dan meletakkan asas yang kukuh bagi kerjasama pada masa akan datang," tambah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam catatan di Facebooknya pada Selasa (17 Jan).

Indonesia mengesahkan perjanjian ekstradisi dan Persetujuan Kerjasama Pertahanan pada Disember lalu.

Sebelum ini, negara tersebut mengesahkan Perjanjian Rantau Maklumat Penerbangan (FIR), yang Singapura dan Indonesia bersetuju untuk melakukan penjajaran semula sempadan antara FIR Jakarta dan Singapura.
 
Dalam kenyataannya pada Selasa (17 Jan), MFA menyatakan bahawa ia mengalu-alukan pengesahan perjanjian ekstradisi dan kerjasama pertahanan sambil menambah bahawa Singapura sudah menamatkan proses perundangan dalam negeri bagi ketiga-tiga perjanjian itu.

Menurut MFA, "Pengesahan Indonesia bagi ketiga-tiga perjanjian di bawah Rangka Kerja Diperluas antara Singapura dan Indonesia, merupakan petanda yang jelas mengenai kekuatan dan kematangan hubungan dua hala yang terjalin, dan komitmen kita untuk saling bekerjasama sebagai negara jiran yang rapat."

"Kami berharap dapat bertukar-tukar pemberitahuan rasmi dengan Indonesia mengenai penyelesaian proses domestik masing-masing bagi ketiga-tiga perjanjian tersebut," menurut MFA.

"Singapura dan Indonesia kemudian akan bersama-sama mendapatkan kelulusan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk aturan-aturan di bawah Perjanjian FIR bagi membolehkan ketiga-tiga perjanjian dikuatkuasakan secara serentak pada tarikh yang dipersetujui bersama."

Di bawah perjanjian ekstradisi pula, para penjenayah dari kedua-dua negara yang sudah melakukan 31 jenis jenayah, termasuk rasuah, dadah dan pengganasan, boleh diekstradisi.

Ia diguna pakai bagi kesalahan yang dilakukan sehingga 18 tahun yang lalu.

Perjanjian Kerjasama Pertahanan akan mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua angkatan bersenjata Singapura dan Indonesia, sekali gus memajukan lagi hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Dalam catatannya di Facebook pada Selasa, PM Lee berkata beliau berbesar hati kedua-dua Singapura dan Indonesia sudah menamatkan proses untuk mengesahkan ketiga-tiga perjanjian tersebut di negara masing-masing.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Jokowi atas kerjasama dan kepimpinan beliau dalam memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut.

"Saya mengalu-alukan mesyuarat kami seterusnya semoga kita dapat meraikan kemajuan ini dan meneroka bidang-bidang kerjasama yang baru," tulis PM Lee.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita