Skip to main content

Singapura

SG alami gelombang baharu COVID-19; lebih ramai orang dijangka jatuh sakit

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Oct 2023 06:36PM Dikemas Kini : 06 Oct 2023 11:58PM
SINGAPURA: Singapura kini berdepan satu lagi gelombang jangkitan COVID-19, dengan lebih ramai orang dijangka jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (6 Okt).

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa belum ada rancangan untuk menguatkuasakan sebarang sekatan sosial, seperti yang dilakukan bagi gelombang terakhir yang berlaku dari Mac hingga April.

Berucap di pembukaan rasmi Pusat Pemulihan Stepping Stones dan Serenity Centre di Institusi Kesihatan Mental (IMH), Encik Ong mendedahkan bahawa anggaran kes harian telah meningkat daripada kira-kira 1,000 kes tiga minggu lalu kepada 2,000 kes sejak dua minggu lalu.

Rentetan kes didorong terutamanya oleh dua varian - EG.5 dan HK.3 - kedua-duanya berasal dari varian XBB Omicron.

"Secara keseluruhan, kedua-dua varian menyumbang kepada lebih daripada 75 peratus kes sekarang," kata Encik Ong.

Semasa kemuncaknya pada bulan April, jumlah kes jangkitan melonjak kepada 4,000 kes dalam sehari.

"Kami akan merawatnya seperti penyakit endemik, yang selaras dengan strategi kami, dan kami akan mengharunginya," katanya.

“Lagipun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa varian baharu itu lebih berkemungkinan besar membawa kepada penyakit yang teruk berbanding varian sebelumnya."

Namun, beliau memberi amaran kepada warga Singapura supaya tidak mengurangkan tahap perlindungan terhadap COVID-19.

"Dalam minggu-minggu akan datang, kami menjangkakan lebih ramai orang akan jatuh sakit, dan jika sedemikian, kadar kemasukan ke hospital akan meningkat. Waktu menunggu juga akan meningkat," katanya.

PENTING UNTUK MENDAPATKAN VAKSINASI

Dalam ucapannya, Encik Ong menasihati warga tua atau mereka yang lebih terdedah kepada penyakit akibat penyakit sedia ada lain, untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan seperti memakai pelitup muka di kawasan-kawasan sesak.

"Seperti yang dikatakan sebelum ini, virus COVID-19 belum reda sejak krisis pandemik. Kami yang telah menjadi lebih berdaya tahan dengan vaksinasi serta pemulihan daripada jangkitan."

"Namun, seperti perlindungan lain, ia akan luntur dengan masa."

Beliau berkongsi dapatan kajian Kementerian Kesihatan (MOH), yang menunjukkan bahawa kadar penyakit teruk yang dicatat semasa kemuncak gelombang jangkitan terakhir Singapura pada April.

Antara mereka yang "dilindungi dengan baik" - mereka yang telah mendapatkan minimum tiga suntikan mRNA dalam tempoh 12 bulan - kadar kejadian penyakit teruk adalah sekitar 10 bagi setiap 100,000 orang.

Bagi kumpulan yang "paling kurang dilindungi", atau mereka yang tidak mempunyai perlindungan minimum dan tidak mempunyai jangkitan yang dicatat sebelum ini, mereka lima kali ganda berkemungkinan jatuh sakit apabila dijangkiti COVID-19.

Kadar kejadian bagi individu sebegini adalah lebih daripada 50 bagi setiap 100,000 orang.

Beliau kemudian beralih kepada satu lagi dapatan yang dikatakan "paling penting".

Beliau berkata: "Bagi individu yang dilindungi dengan baik dengan tiga suntikan mRNA dan dijangkiti sebelum ini, yang diperoleh lebih daripada 12 bulan lalu, kadar kejadian penyakit teruk juga sekitar 50 bagi setiap 100,000 penduduk - tidak begitu jauh daripada mereka yang tidak mendapatkan vaksinasi atau perlindungan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa perlindungan akan berkurangan dengan masa. Dan ia berlaku sekitar selang 12 bulan, berdasarkan kajian kami."

Encik Ong menggesa warga emas dan mereka yang terdedah dari segi kesihatan untuk memastikan vaksinasi mereka dikemas kini, sambil menambah bahawa berbuat demikian berkemungkinan membantu mengekalkan gejala ringan dan membolehkan mereka "pulih dengan agak lancar" sekiranya mereka dijangkiti.

Jangkitan itu juga akan memberi mereka perlindungan daripada penyakit yang teruk jika mereka dijangkiti COVID-19 lagi pada masa hadapan.

"Sebelum perlindungan ini berkurangan, jika anda mengambil satu lagi suntikan, perlindungan akan diperbaharui semula," katanya.

"Bagaimanapun, jika anda tidak mendapat vaksinasi terkini, dan anda membenarkan perlindungan anda lenyap sepenuhnya, satu jangkitan buat masa ini adalah membimbangkan, seperti ketika wabak itu mula-mula berlaku apabila kita tidak mempunyai vaksinasi.

"Itulah sebabnya MOH terus menawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di pelbagai pusat vaksinasi kami," tambahnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita