SG akan wujudkan lebih 18,000 pekerjaan PMET dalam masa 5 tahun
Lebih 18,000 bidang tugas karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) bakal diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang, sedang syarikat-syarikat terus melabur di Singapura.
Para pekerja di Singapura. (Gambar: AFP/Simin Wang)
Pekerjaan-pekerjaan itu sebahagian besarnya dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan, pengilangan, penyelidikan & pengembangan (R&D) serta inovasi.
Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) berkongsi dalam laporan tahunannya bahawa komitmen bagi perbelanjaan modal sudah meningkat kepada S$13.5 bilion tahun lalu.
Jumlah itu hampir S$1 bilion lebih tinggi berbanding 2023.
Pelaburan ditanam oleh syarikat-syarikat yang baharu menubuhkan ibu pejabat mereka di Singapura serta daripada projek-projek R&D.
Syarikat-syarikat sedia ada juga memperdalam operasi di Singapura untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dan memenuhi permintaan di tengah-tengah lonjakan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Walaupun unjuran untuk tahun ini kekal mencabar, EDB yakin masih terdapat peluang yang boleh direbut selagi Singapura kekal tangkas.
"Kami mendampingi syarikat-syarikat yang berbeza, bukan setakat yang besar, tetapi juga firma-firma kecil.
"Kami berhubungan dengan banyak rakan kongsi, sama ada firma khidmat profesional, dewan perniagaan, untuk memastikan kami menebarkannya seluas mungkin bagi mengenal pasti peluang-peluang yang ada dan bawa mereka masuk ke Singapura.
"Lebih banyak syarikat yang kami bawa masuk, lebih rencam lagi kumpulan ini, semakin luas pula dasar ekonomi kita. Serta lebih besar kemungkinan kita dapat terus menjana pertumbuhan ekonomi, juga lebih kemungkinan untuk kita menangkis sebarangan jenis gangguan," kata pengerusi EDB, Png Cheong Boon.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.