Skip to main content

Singapura

SG akan tubuh agensi angkasa nasional pada 1 Apr

Singapura akan menubuhkan sebuah agensi angkasa nasional pada April, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Tan See Leng pada Isnin (2 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Feb 2026 11:06AM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 06:20PM
SINGAPURA: Singapura akan menubuhkan sebuah agensi angkasa nasional pada April, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Tan See Leng pada Isnin (2 Feb).

Agensi Angkasa Nasional Singapura (NSAS) akan menawarkan kepimpinan yang tegas bagi Singapura merebut peluang dalam ekonomi angkasa yang semakin berkembang dan kemungkinan baharu yang dicetuskan oleh akses yang didemokrasikan ke angkasa lepas, katanya di Sidang Puncak Angkasa yang diadakan buat julung-julung kalinya.

"Bagi Singapura, perjalanan kami dalam teknologi angkasa bermula lebih 50 tahun lalu," kata Dr Tan, yang juga menteri tenaga manusia.

NSAS akan membolehkan Singapura untuk "memaksimumkan potensi aplikasi teknologi angkasa bagi keperluan nasional dan serantau Singapura", di samping memastikan asetnya selamat dalam sekitaran angkasa yang semakin sesak, katanya.

SATELIT DAN PERUNDANGAN

Pemerintah kini memiliki bersama tiga satelit pemantauan Bumi bersama ST Engineering.

"Kami akan membangunkan sebuah pusat operasi berbilang agensi yang akan menyokong agensi-agensi pemerintah dengan penugasan satelit dan analitik data geospatial," katanya.

Ini dapat memanfaatkan bidang-bidang seperti operasi pelabuhan, perancangan bandar, pemantauan sekitaran dan keselamatan makanan, katanya.

"Pada masa hadapan, Singapura akan meneroka lebih lanjut usaha membangunkan satelit-satelit kami demi memenuhi keperlulan negara serta menggunakan kes-kes merentasi Jalur Khatulistiwa - memandangkan lokasi geografi kami meletakkan kami di kedudukan untuk melakukan lebih banyak lagi di rantau ini," kata Dr Tan.

Di domain angkasa yang semakin sesak, Singapura juga akan memastikan keselamatan aset angkasanya dengan membina dan mengendalikan keupayaan kesedaran situasi ruang angkasa secara berperingkat, katanya.

NSAS juga akan membangunkan perundangan dan peraturan bagi sektor angkasa, yang bertujuan menjadi perniagaan pro-inovasi dan pro-peniagaan, di samping memenuhi piawaian ketat bagi keselamatan dan kemampanan angkasa, kata Dr Tan.

Garis panduan bagi aktiviti angkasa berkaitan Singapura pertama kali dilancarkan pada 2024, meliputi pendaftaran objek angkasa dan memastikan keselamatan dan kemampanan angkasa.

"Sambil menambah kepada asas ini, agensi ini akan mendampingi ekosistem angkasa berhubung rancangan bagi perundangan angkasa nasional," katanya.

NSAS juga akan mengembangkan peranan Pejabat Teknologi dan Industri Angkasa (OSTIn) di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), yang sejak 2013 memimpin usaha bagi membangunkan sektor teknologi angkasa Singapura.

Singapura juga akan melabur dalam bidang-bidang baharu seperti teknologi iklim dan kemampanan, terutamanya pengesanan satelit dari jarak jauh bagi pemantauan karbon; teknologi kemampanan angkasa, termasuk kesedaraan situasi angkasa dan pendekatan kepada pemulihan serpihan; dan kajian mikrograviti di angkasa untuk memajukan sains kesihatan manusia.

"Pemerintah memperuntukkan lebih S$200 juta sejak 2022 bagi projek R&D (Penyelidikan dan Pengembangan) angkasa menerusi Program Pembangunan Teknologi Angkasa, menyokong institut-institut penyelidikan dan syarikat bagi membangunkan dan menguji teknologi angkasa mereka," kata Dr Tan.

Beliau berkata Singapura akan terus menambatkan syarikat-syarikat teknologi angkasa di negara itu dan bantu mereka merebut peluang pertumbuhan serantau.

Kedudukan Singapura sebagai sebuah hab diyakini dan mempunyai banyak rangkaian, dengan sektor kewangan dan logistik yang kukuh, menjadikannya tempat permulaan ideal bagi syarikat-syarikat yang menawarkan khidmat angkasa di seluruh rantau Asia Pasifik, kata Dr Tan.

"Kami akan terus memupuk kumpulan bakat yang hebat, termasuk kumpulan kepakaran tempatan bagi menyokong pertumbuhan sektor teknologi angkasa kami dan mengakses pekerjaan baik yang diwujudkan," katanya.

NSAS juga akan mengembangkan rangkaian perkongsian antarabangsa Singapura bagi menceburi kerjasama baharu dan memudahkan hubungan antara ekosistem angkasa, katanya.

Sepanjang beberapa tahun ini, Singapura membina keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan dan juga memupuk ekosistem perusahaan tempatan dan syarikat multinasional di seluruh sektor, katanya.

"Kami membangunkan perkongsian angkasa antarabangsa yang saling memanfaatkan dan kukuh," kata Dr Tan.

Ini termasuk kerjasama dengan pemain utama angkasa seperti Agensi Angkasa Eropah dan IN-SPACe dari India.

TUNGGAK DUNIA YANG SALING TERHUBUNG

Dalam ucapannya, Dr Tan menyifatkan teknologi angkasa sebagai "tunggak dunia yang saling terhubung".

"Sistem satelit bagi komunikasi, navigasi dan pemantauan bumi mengubah cara kita menghubungkan masyarakat, menyampaikan perkhidmatan dan menangani cabaran global yang mendesak seperti perubahan iklim," katanya.

Ekonomi angkasa global mencecah AS$630 bilion (S$800 bilion) pada 2023 dan diramalkan mencecah AS$1.8 trilion (S$2.2 trilion) menjelang 2035, kata Dr Tan, sambil menyifatkan trend itu sebagai "menakjubkan".

NSAS akan dipengerusikan oleh ketua ekseutif Ngiam Le Na, yang kini Timbalan CEO di Makmal Kebangsaan DSO, iaitu pertubuhan pertahanan R&D Singapura.

"Cita-cita angkasa Singapura mencerminkan lebih daripada sekadar aspirasi teknologi - kami mahu menjadikan inovasi sebagai huraian sebenar yang mengukuhkan ekonomi kita, memperbaiki kehidupan dan menangani cabaran global dengan ketepatan dan pandangan jauh," kata Dr Tan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita