SG akan tingkatkan kerjasama tenaga nuklear dengan institusi Amerika; terbitkan kertas latar belakang tangani keprihatinan awam
Singapura pada Isnin (27 Okt) menerbitkan satu kertas latar belakang berhubung hasratnya untuk membangunkan keupayaan bagi menilai tenaga nuklear, memberikan gambaran menyeluruh mengenai potensi Singapura menggunakan sumber tenaga nuklear bagi memenuhi keperluan tenaganya, dan juga memaklumkan orang ramai tentang faedah dan risikonya.
This audio is generated by an AI tool.
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng mengumumkan tentang kertas tersebut di pembukaan acara tahunan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) yang diadakan setiap tahun, sambil menyatakan bahawa orang ramai mempunyai “banyak persoalan” mengenai rancangan Singapura bagi tenaga nuklear.
“Kami juga sedang meneliti secara serius kemungkinan pelaksanaan tenaga nuklear, khususnya bagi teknologi baharu seperti reaktor modular kecil (SMR).
“Tenaga nuklear berpotensi menjadi pilihan yang selamat, boleh dipercayai dan berdaya saing dari segi kos untuk Singapura,” kata Dr Tan semasa menyampaikan Kuliah Tenaga Singapura di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
SIEW, yang kini memasuki edisi ke-18 dan berlangsung sehingga Jumaat ini, menjadi platform bagi para karyawan dan penggubal dasar untuk berkongsi amalan terbaik serta penghuraian dalam sektor tenaga global.
Ia dianjurkan oleh Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
PERTIMBANGAN BAGI TENAGA NUKLEAR
Walaupun Singapura belum membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear, usaha sedang dijalankan untuk mengkaji potensinya.
Pada 2012, pemerintah menjalankan kajian awal berhubung daya maju tenaga nuklear sebelum menyimpulkan bahawa loji tenaga nuklear pada masa itu tidak sesuai bagi keadaan Singapura yang kecil dan padat dengan penduduk.
Kertas latar belakang setebal 16 muka surat yang dikeluarkan kali ini menggariskan pertimbangan Singapura terhadap tenaga nuklear dalam konteks perkembangan teknologi terkini, landskap global semasa dan aspek keselamatan nuklear.
Kertas tersebut dihasilkan bersama oleh MTI, EMA, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Tenaga nuklear dilihat sebagai satu pilihan yang berpotensi membantu Singapura menangani “trilema tenaga” – tiga matlamat utama negara bagi campuran tenaga iaitu memastikan tenaga yang bersih, mampu dimiliki dan terjamin.
Kertas berkenaan turut menyatakan bahawa Singapura sedang membangunkan keupayaannya sejajar dengan "Pendekatan Berperingkat (Milestones Approach)” Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), iaitu proses yang membantu negara memahami keperluan-keperluan untuk menggunakan tenaga nuklear.
“Ini memastikan sebarang keputusan yang dibuat pada masa depan sejajar dengan piawaian global bagi keselamatan, sekuriti dan perlindungan tenaga nuklear,” menurut kertas latar belakang itu.
Penjanaan tenaga nuklear tidak menghasilkan gas rumah hijau, justeru ia menjadikannya sumber tenaga bersih. Kosnya juga berpotensi setanding dengan bekalan tenaga lain seperti gas asli dan tenaga suria.
Sebagai sumber tenaga domestik, tenaga nuklear juga boleh menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan pasaran global.
Secara global, loji tenaga nuklear sudah digunakan sejak 1950-an dan kini membekalkan kira-kira 10 peratus daripada keperluan elektrik dunia. Terdapat lebih 400 loji tenaga nuklear yang sedang beroperasi, dengan beberapa projek baharu dijalankan di Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.
Kemajuan teknologi nuklear dalam dekad lalu, terutamanya dalam bidang reaktor modular kecil (SMR), menjadikan tenaga atom pilihan yang lebih berdaya maju.
SMR bersaiz jauh lebih kecil berbanding reaktor nuklear konvensional, boleh dipasang siap untuk memudahkan pengangkutan dan pemasangan, serta lebih selamat.
Banyak model reaktor sedemikian kini beralih daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar.
Bagi Singapura, sebarang keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear akan mengambil kira faktor keselamatan, kebolehpercayaan, kemampuan dari segi kos dan kemampanan alam sekitar dalam konteks negara, menurut kertas tersebut.
“Kami akan terus memperkukuh keupayaan domestik dengan sokongan rakan antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi. “Kami juga akan berinteraksi secara berkala dengan orang ramai mengenai perkembangan terkini tenaga nuklear bagi membina kefahaman tentang manfaat dan risikonya.”
PERJANJIAN DENGAN PERTUBUHAN AMERIKA DALAM BIDANG TENAGA NUKLEAR
Bagi memperkukuhkan kepakaran dalam bidang tersebut, EMA akan menandatangani perjanjian kerjasama baharu dengan dua pertubuhan Amerika Syarikat – Idaho National Laboratory dan Battelle Memorial Institute – semasa SIEW, umum Dr Tan dalam ucapannya.
Idaho National Laboratory merupakan makmal tenaga nuklear utama Amerika Syarikat yang menumpukan perhatian kepada inovasi seperti bahan api dan reaktor lanjutan.
Battelle Memorial Institute pula merupakan pertubuhan sains dan teknologi gunaan bebas tanpa keuntungan yang menggunakan sains, teknologi dan kejuruteraan untuk menangani cabaran kompleks termasuk dalam bidang tenaga nuklear.
Perjanjian-perjanjian tersebut menyusuli beberapa perjanjian lain yang sudah ditandatangani antara Singapura dan Amerika Syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada Julai tahun lalu, Singapura dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian kerjasama nuklear sivil, yang dikenali sebagai “Perjanjian 123”, yang memudahkan akses Singapura kepada maklumat dan kepakaran teknologi. Pada Januari 2025, kedua-dua negara turut menandatangani satu Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Nuklear Awam Strategik.
PERALIHAN TENAGA SINGAPURA DI TENGAH-TENGAH KETIDAKPASTIAN GLOBAL
Dalam ucapannya, Dr Tan yang juga Menteri Tenaga Manusia, menekankan cabaran yang dihadapi Singapura dalam peralihan tenaganya di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.
“Ketidaktentuan geopolitik yang meningkat menyebabkan negara-negara menilai semula matlamat iklim mereka, dengan memberi tumpuan baharu kepada daya tahan ekonomi dan kebergantungan kendiri, dengan mengorbankan usaha penyahkarbonan,” kata beliau.
“Namun kita semua tahu alam semula jadi tidak akan menunggu kita. Perubahan iklim terus berlaku dengan pantas dan kesannya akan memberi impak besar terhadap cara kita bekerja, cara kita hidup dan cara kita berkembang.”
Singapura akan terus berusaha mencapai matlamat penyahkarbonannya dengan "penuh kesegeraan dan tekad yang tinggi", kata Dr Tan sambil menyentuh pelbagai laluan tenaga yang sedang diterokai negara untuk mencapai sasaran tersebut.
Antaranya ialah tenaga suria, yang kekal sebagai "pilihan tenaga boleh diperbaharui paling berdaya maju" bagi Singapura yang kekurangan sumber tenaga alternatif.
Dr Tan berkata, negara ini berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran penggunaan tenaga suria sekurang-kurangnya dua gigawatt-puncak (GWp) lebih awal daripada 2030.
Sementara itu, pemerintah akan terus menggalakkan perniagaan dan pemilik rumah untuk memasang panel suria di premis masing-masing dengan mempermudahkan proses peraturan serta meneroka potensi aplikasi bandar yang inovatif.
Namun, tenaga suria sahaja tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga Singapura memandangkan ia dijangka hanya mampu menyumbang maksimum 10 peratus daripada jumlah permintaan elektrik menjelang 2050 disebabkan oleh kekangan tanah.
Campuran tenaga masa depan Singapura akan bergantung kepada “trajektori teknologi dan komersial bagi pelbagai laluan tenaga”, tetapi asasnya merupakan “gabungan sumber tenaga tempatan dengan tenaga hijau dan molekul yang diimport,” kata Dr Tan.
“Kita mesti sentiasa bersedia untuk menyokong semua laluan tenaga mampan yang menjanjikan — daripada teknologi mapan sehinggalah pilihan baharu yang ada.”
BIOMETANA SEBAGAI LALUAN KE ARAH PENYAHAKARBONAN
Singapura turut meneroka biometana sebagai bahan api rendah karbon yang berdaya maju dan akan menubuhkan medan uji (sandbox) kawal selia sehingga 300 megawatt bagi menggalak pembangunan rantaian bekalan serta memudahkan penggunaan oleh pemain industri utama, umum Dr Tan.
Beliau berkata, syarikat penjana tenaga terpilih akan dilantik sebagai penyelaras penawaran dan permintaan seawal tahun depan.
Biometana ialah bahan api boleh diperbaharui yang boleh menggantikan gas asli fosil. Ia dihasilkan dengan menaik taraf biogas daripada sisa organik atau bahan buangan kepada metana hampir tulen. Metana merupakan komponen utama gas asli, yang kini menyumbang 95 peratus daripada campuran tenaga Singapura bagi penjanaan elektrik.
Disebabkan keserasiannya dengan infrastruktur gas asli sedia ada, biometana boleh "dimasukkan" ke dalam sistem tanpa memerlukan pengubahsuaian yang mahal.
Menurut EMA dalam lertas fakta medianya, "'medan uji' biometana itu bertujuan untuk memangkinkan pembangunan pasaran dengan memadankan penawaran dan permintaan dalam ekosistem tenaga Singapura sambil menyediakan persekitaran terkawal untuk mengujidaya maju komersial dan rangka kerja operasi sebelum pelaksanaan lebih luas di luar kapasiti 300 megawatt 'sandbox' tersebut.”
TINGKATKAN KECEKAPAN SISTEM PENJANAAN GAS ASLI
Sementara meneroka sumber bahan api alternatif bagi tujuan penyahkarbonan, gas asli akan tetap memainkan peranan penting dalam memastikan kebolehpercayaan sistem, kata Dr Tan.
“Berdasarkan perkara ini, kita mesti memaksimumkan kecekapan sistem penjanaan sambil meningkatkan daya tahan bekalan gas kita,” tambahnya.
Pemerintah sudah melancarkan skim insentif kecekapan bagi menggalakkan penggunaan loji kuasa gas asli lanjutan dengan kecekapan karbon lebih tinggi, kata Dr Tan.
Atas tujuan itu, EMA akan menyalurkan sehingga S$44 juta di bawah Skim Insentif CCGT Lanjutan kepada dua pengendali pertama — Bahagian Infrastruktur Keppel dan Sembcorp Industries — yang dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun depan.
Loji tenaga CCGT lanjutan merupakan loji penjanaan elektrik yang lebih cekap dengan kapasiti penjanaan lebih besar berbanding CCGT sedia ada dalam sistem tenaga semasa.
Loji CCGT lanjutan yang dikendalikan oleh Keppel dan Sembcorp dijangka mengurangkan sekurang-kurangnya 200,000 tan pelepasan karbon setiap tahun berbanding CCGT sedia ada. Pengurangan itu bersamaan dengan jumlah pelepasan karbon bagi kira-kira 80,000 isi rumah di Singapura dalam tempoh setahun.
Menurut EMA dalam kertas faktanya, loji CCGT lanjutan menanggung kos simpanan tambahan kerana kapasitinya yang lebih besar memerlukan rizab yang lebih tinggi untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kecemasan.
Skim tersebut akan membantu menampung kos rizab tambahan bagi Keppel dan Sembcorp sebagai dua pengendali pertama CCGT lanjutan di Singapura.
“Apabila lebih banyak CCGT lanjutan digunakan, kos rizab itu akan dikongsi bersama lebih banyak loji CCGT dan kos yang ditanggung bagi setiap CCGT akan berkurangan. Pada tahap itu, CCGT lanjutan dijangka tidak lagi mempunyai kekurangan dari segi kos berbanding CCGT sedia ada kerana manfaat dari segi kecekapan akan mengatasi kosnya,” menurut EMA.
PENYAHKARBONAN INDUSTRI
Singapura juga akan mengubah sektor perindustrian untuk membantu usaha penyahkarbonan, kata Dr Tan.
Beliau mengumumkan hala tuju baharu bagi Pulau Jurong — hab tenaga dan kimia (E&C) Singapura — untuk memacu masa depan inovasi rendah karbon dalam sektor E&C. Pulau Jurong kini menempatkan lebih 100 syarikat E&C global.
Pulau seluas 3,000 hektar di barat daya Singapura itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran Pulau Jurong Mampan 2030 seperti yang dinyatakan dalam laporannya pada 2021.
Dr Tan berkata, pengeluaran produk mampan dalam sektor itu sudah meningkat 1.4 kali ganda sejak 2019, meletakkannya di landasan yang betul untuk mencapai sasaran peningkatan 1.5 kali ganda menjelang 2030.
Pulau Jurong juga akan menjadi tapak ujian bagi tenaga baharu dan teknologi rendah karbon.
Awal tahun ini, pemerintah mengumumkan bahawa Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) akan membuka sebuah kemudahan ujian bernilai S$62.5 juta di Pulau Jurong bagi membolehkan syarikat-syarikat menguji teknologi mereka sebelum dikembangkan ke peringkat komersial.
Beberapa syarikat dan syarikat pemula sudah menyatakan minat untuk menggunakan kemudahan modular dan kos efektif itu bagi mengembangkan teknologi baharu ke pasaran, kata Dr Tan.
Pulau Jurong juga akan menempatkan taman pusat data rendah karbon terbesar di Singapura yang mampu menjana kapasiti sehingga 700 megawatt.
Projek tenaga bersih lain termasuk sistem penyimpanan tenaga milik Sembcorp serta projek solar terbesar di Singapura, iaitu ladang solar yang mampu menjana tenaga mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada kira-kira 33,200 flat HDB empat bilik setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.