Skip to main content

Singapura

SG akan terus perkukuh mobiliti sosial, jaringan keselamatan dan pupuk perpaduan: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Sep 2025 07:37PM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 02:17PM

SINGAPURA: Pemerintah mahu terus mewujudkan mobiliti sosial, mengukuhkan jaringan keselamatan dan memupuk semangat perpaduan bagi membina negara yang memberi tumpuan kepada belia dan generasi masa depan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (24 Sep).

Berucap di Parlimen dalam ucapan yang pertama kali dibuat pada awal penggal baharu Parlimen sejak menjadi perdana menteri, Encik Wong menambah: "Kami akan berusaha untuk mewujudkan kehidupan yang lebih memuaskan bagi anda.

"Bukan hanya untuk segelintir sahaja, tetapi untuk anda semua."

Menyifatkan tempoh 60 tahun lalu Singapura sebagai satu "keajaiban", beliau berkata pemimpin pengasas negara akan kagum dengan apa yang sudah dibina hari ini.

Encik Wong menambah, kini sesetengah orang bertanya sama ada keajaiban ini boleh berterusan, sambil menyatakan bahawa Singapura sedang menghadapi cabaran lebih besar dan sekitaran luar tidak menentu.

Dengan penduduk yang kian menua dan ekonomi yang semakin matang, pertumbuhan akan terus perlahan, kata perdana menteri itu.

"Ramai anak muda bimbang mereka mungkin tidak dapat melakukan lebih baik daripada ibu bapa mereka," kata Encik Wong, sambil berkata bahawa persaingan juga semakin sengit dan anak muda bimbang bahawa masyarakat akan lebih disusun mengikut kedudukan atau taraf.

Menyedari bahawa ini bukan unik kepada Singapura, Encik Wong menyorot fenomena 'tang ping' di China, 'hikikomori' di Jepun dan 'quiet quitting' di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Di sini di Singapura, kita mesti melakukan segala-galanya untuk menentang trend global ini. Kita tidak boleh mengecewakan anak-anak muda kita. Mereka adalah masa depan kita," tambahnya.

MEMASTIKAN MOBILITI SOSIAL DIPERKUKUH

Dengan melakukan lebih banyak usaha bagi memastikan mobiliti sosial terus diperkukuh, setiap rakyat Singapura berpeluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya, tambah beliau.

Malah dalam masyarakat yang berlandaskan meritokrasi, kemasukan ke universiti atau jawatan tertinggi dalam sektor awam dan privet didominasi oleh mereka dengan latar belakang yang lebih berkemampuan, tambahnya.

Singapura bermula dari kedudukan yang "lebih kukuh" namun ia tidak boleh berpeluk tubuh, katanya, sambil menambah bahawa pemerintah akan melabur lebih banyak dalam tahun-tahun pembangunan awal kanak-kanak.

Jurang peluang semakin melebar pada peringkat lebih awal disebabkan kelebihan ibu bapa yang lebih berkemampuan untuk membesarkan anak-anak mereka.

Menarik perhatian kepada KidStart dan ComLink+ yang diperluaskan, Encik Wong berkata pemerintah akan berusaha lebih gigih bagi memastikan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah mendapat sokongan konsisten yang mereka perlukan untuk berkembang maju.

Beliau juga menekankan perubahan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah aliran utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dalam cara Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dinilai serta pelaksanaan skim pengumpulan berdasarkan subjek secara penuh (SBB).

Dalam penggal baharu ini, pihak berkuasa akan melakukan lebih banyak lagi untuk mengurangkan kepentingan peperiksaan tunggal dan memperluaskan lagi definisi kejayaan, tambahnya.

MEMPERKUKUH JARINGAN KESELAMATAN

Pemerintah juga akan terus mengukuhkan jaringan keselamatan bagi mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan, kata PM Wong.

Kanak-kanak berkeperluan khas akan menerima lebih banyak sokongan dalam pendidikan mereka, dan untuk memudahkan peralihan mereka ke alam dewasa dan pekerjaan, kata Encik Wong.

Golongan kurang upaya akan menerima lebih banyak peluang bagi mengejar aspirasi mereka dan menjalani kehidupan yang bermakna, tambahnya.

Mereka yang menghadapi kesulitan akan mendapat bantuan untuk bangkit semula, kata Encik Wong, sambil merujuk kepada Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang bermula awal tahun ini.

"Kesulitan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan di Singapura, semua orang layak mendapat peluang kedua dan ketiga," kata Encik Wong.

Singapura juga mempunyai cara untuk mengurangkan ketidaksamaan kekayaan (wealth inequality), kata Encik Wong, sambil menekankan bahawa sebahagian besar kekayaan isi rumah terikat dalam hartanah.

Cukai hartanah dan cukai setem ke atas transaksi hartanah memastikan mereka yang lebih kaya menyumbang dengan lebih banyak, tambahnya.

MEMUPUK SEMANGAT PERPADUAN

Sedang Singapura berusaha ke arah masyarakat yang lebih saksama, ia perlu menerima satu kebenaran asas - bukan semua perjalanan akan sampai ke destinasi yang sama, tambahnya.

Encik Wong menekankan bahawa walaupun orang ramai mungkin bermula dari titik yang sama, sesetengah kemahiran dan bakat akan sentiasa lebih diperlukan berbanding yang lain.

Walaupun sesetengah pekerjaan akan memperoleh gaji yang lebih tinggi, mereka yang lebih berjaya tidak boleh lupa bahawa tiada siapa yang berjaya bersendirian, tambahnya.

Oleh itu, mereka yang lebih berjaya harus menyumbang lebih banyak - bukan sahaja dalam bentuk cukai, tetapi juga dari segi belas kasihan.

Jalinan antara rakyat Singapura kini lebih utuh daripada sebelumnya, kata Encik Wong.

"Tetapi kita tidak boleh mudah berpuas hati," tambah beliau.
 

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita