Skip to main content

Singapura

SG akan terus modenkan pesawat, sistem pertahanan udara RSAF: Panglima Tentera Udara

Anggaran Waktu Membaca:
 SG akan terus modenkan pesawat, sistem pertahanan udara RSAF: Panglima Tentera Udara

Panglima Tentera Udara Kelvin Fan semasa upacara pembukaan ladang solar Pangkalan Udara Sembawang pada 30 Jan 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 03 Feb 2026 07:06AM Dikemas Kini : 03 Feb 2026 07:09AM
SINGAPURA: Di tengah-tengah pengajaran daripada konflik luar negara, Singapura sedang membina keupayaan pertahanan udaranya untuk mewujudkan tentera udara yang berupaya "mencegah, mempertahankan dan, jika terancam, menguasai ruang udara", kata Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Kelvin Fan.

Dalam temu bual pertamanya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mac 2024, Mejar Jeneral Fan berkata bahawa konflik di seluruh dunia baru-baru ini, termasuk konflik Rusia-Ukraine, Israel-Iran dan India-Pakistan, memberikan "banyak pengajaran".

“Kita mesti bijak dan mempelajari pengajaran yang betul. Adalah tidak bertanggungjawab untuk hanya mengikut istilah-istilah yang hangat diperkatakan, teknologi terkini atau tajuk utama akhbar secara membuta tuli,” katanya dalam temu bual melalui emel.

MG Fan berkata bahawa seperti kebanyakan tentera udara lain di seluruh dunia, Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) sedang memodenkan pesawat, dron, sistem pertahanan udara dan sistem C4 (Arahan, Kawalan, Komunikasi dan Komputer) agar kekal relevan.

“Sistem ketenteraan canggih dan maju ini kekal penting atas kekukuhan, rekod prestasi dan penyepaduannya dengan keupayaan SAF yang lain,” katanya lagi.

“Pada masa yang sama, kemajuan teknologi kini membolehkan kami untuk melengkapi dengan sistem komersial sedia ada dan dwiguna dengan kos rendah, terutamanya dalam bidang dron dan digital. Pendek kata, aturan pertempuran pada masa akan datang akan menjadi gabungan keupayaan yang tinggi-rendah.”

PESAWAT BAHARU

MG Fan merujuk kepada jet pejuang F-35 dan pesawat peronda maritim P-8A sebagai "pengubah keadaan" (game-changers).
Related article image
Pesawat peronda maritim P-8A. (Gambar: Boeing)
Singapura telah menempah 20 jet F-35 generasi akan datang, dengan yang pertama dijangka akan dihantar pada akhir tahun ini.

“Latihan untuk kumpulan awal juruterbang F-35 kami kemudian akan bermula di Pangkalan Pengawal Udara Ebbing, di mana mereka akan dilatih oleh jurulatih F-35 Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat yang berkelayakan, dan berpeluang untuk berlatih bersama dan belajar daripada negara-negara lain yang mengendalikan F-35,” kata MG Fan.

Mereka akan menyertai latihan RSAF F-15SG dan F-16 yang dinaik taraf, yang akan terus digunakan sehingga pertengahan 2030-an, kata panglima tentera udara itu.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyegarkan keupayaan keselamatan maritim Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang lebih luas, RSAF juga secara bertahap-tahap menggantikan secara berperingkat Fokker-50 yang semakin usang – yang telah beroperasi sejak 1993 – dengan Boeing P-8A baharu, kata MG Fan.

Keputusan itu diumumkan pada September tahun lalu, dengan Menteri Pertahanan Chan Chun Sing memaklumkan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Pete Hegseth semasa mesyuarat di Pentagon.

“MPA P-8A akan meningkatkan kesedaran situasi maritim SAF dan keupayaannya untuk menangani ancaman, dan akan berfungsi bersama platform pelengkap, yang akan diumumkan kelak,” kata MG Fan, sambil menambah bahawa pesawat baharu itu akan mula digunakan pada awal tahun 2030-an.

RSAF juga sedang menyegarkan armada pesawat C-130, dengan model C-130B lama yang telah beroperasi sejak tahun 1977 akan digantikan dengan model C-130H terpakai tetapi diselenggara dengan baik.

Bagi helikopter pula, Apache AH-64D sedang menjalani Program Pelanjutan Tempoh Operasi supaya ia boleh terus beroperasi sehingga tahun 2030-an, manakala helikopter Tentera Laut S-70B Seahawk terus memenuhi permintaan misi, kata MG Fan.

“Walau bagaimanapun, dengan pentauliahan Kapal Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN) Mei lalu, yang direka bentuk untuk menjadi kapal induk tanpa pemandu yang berupaya melancarkan dron, dan menyokong dron dasar laut, serta P-8A yang dirancangkan, RSAF akan bekerjasama rapat dengan RSN untuk menyemak semula keperluan masa depan kami dalam domain maritim,” katanya lagi.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita