Skip to main content

Singapura

SG akan terus berusaha kukuhkan perpaduan kaum dan agama: Shanmugam

Singapura sudah cuba mencapai aspirasi dan cita-cita berbilang kaum dalam ikrarnya sepanjang tempoh 60 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi usaha itu belum selesai, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Selasa (14 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Oct 2025 04:50PM Dikemas Kini : 15 Oct 2025 12:14AM
SINGAPURA: Singapura sudah cuba mencapai aspirasi dan cita-cita berbilang kaum dalam ikrarnya sepanjang tempoh 60 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi usaha itu belum selesai, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Selasa (14 Okt).

Dan walaupun Singapura mungkin kelihatan stabil sekarang, ia "tidak lebih stabil berbanding negara-negara lain" sebelum hubungan kaum mereka menjadi lebih teruk, tambah Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata jika generasi pemimpin politik seterusnya tertarik atau tertekan untuk terlibat dalam politik identiti, ia akan 'memporak-perandakan negara'.

“Dan kemudian Singapura akan menderita... Kita akan mengalami konflik dan perpecahan yang sama yang kita lihat berlaku di tempat-tempat lain di dunia,” katanya lagi, semasa menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen mengenai kaum dan agama.

Encik Shanmugam telah memberi amaran bulan lalu tentang trend membimbangkan melibatkan sesetengah anggota politik di Singapura yang memainkan politik identiti berdasarkan kaum dan agama menyusuli kematian aktivis sayap kanan Amerika, Charlie Kirk.

Pada Selasa (14 Okt) beliau sekali lagi menekankan bahawa cita-cita Singapura masih belum tercapai sepenuhnya.

"Kaum-kaum minoriti khususnya akan memberitahu anda tentang realiti hidup di lapangan. Bahawa mereka kadangkala menghadapi sikap perkauman pada tahap yang berbeza, yang kadang-kadang mereka rasa diri mereka didiskriminasi," katanya. "Selain apa yang kita dengar, dapatan tinjauan menunjukkan perasaan kaum minoriti."

Sesetengah orang Cina akan "juga memberitahu anda tentang pengalaman mereka, walaupun keadaannya lebih rendah", tambahnya lagi.

BAGAIMANA SINGAPURA MENENTANG "NORMA"

Pada tahun 1965 apabila Singapura merdeka, kebiasaan di kebanyakan negara ialah bahasa dan budaya majoriti secara automatik akan menjadi bahasa dan budaya negara itu.

Tetapi para pengasas Singapura mengambil "pendekatan yang sangat berbeza", kata Encik Shanmugam pada Selasa.
Gambar fail yang menunjukkan Perdana Menteri Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, semasa lawatannya ke kuil Sree Narayana di Sembawang pada 1965. (Gambar: Mediacorp)
Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew berkata pada Hari Kemerdekaan Singapura bahawa "ini bukan bangsa Melayu; ini bukan bangsa Cina; ini bukan bangsa India. Setiap orang akan mendapat tempatnya, sama rata: Bahasa, budaya, agama".

Para pengasas negara juga mengabadikan prinsip yang menjadi asas perpaduan dalam kepelbagaian, keadilan dan kesaksamaan dalam Ikrar Negara.

"Semua rakyat, tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama, harus mempunyai status yang sama," kata Encik Shanmugam.

Dasar-dasar juga direka sedemikian rupa untuk membolehkan setiap kumpulan etnik mengekalkan warisan budaya mereka sendiri.

Pada masa yang sama, ruang bersama akan diperbesarkan untuk memudahkan interaksi dan persefahaman antara kumpulan-kumpulan etnik, kata Encik Shanmugam.

Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pentadbiran dan pengajaran, yang bermakna ia digunakan di sekolah; dan pada masa yang sama, para pelajar mempelajari Bahasa Ibunda mereka sebagai bahasa kedua.

Perayaan kumpulan etnik utama juga ditetapkan sebagai cuti umum. Dan di kawasan kejiranan, aktiviti-aktiviti dianjurkan untuk semua etnik, untuk menggalakkan keharmonian berbilang kaum.

Kebebasan beragama juga dilindungi di bawah Perlembagaan Negara, kata Encik Shanmugam.

Pada masa yang sama, Singapura mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya. “Ini bermakna kita terus menyanyikan Lagu Kebangsaan kita 'Majulah Singapura' dengan bangga dalam Bahasa Melayu di sekolah dan acara-acara peringkat nasional,” katanya lagi.

Ini adalah pendekatan yang berbeza berbanding dengan yang diambil oleh kebanyakan negara lain.

"Kami tidak memaksa mana-mana kumpulan etnik untuk mengasimilasinya. Kumpulan majoriti menerima bahawa walaupun mereka adalah kumpulan terbesar, mereka perlu berhati-hati dan memastikan kaum minoriti tidak diremehkan," kata Encik Shanmugam.

“Atas semangat integrasi berbilang budaya inilah setiap kumpulan etnik digalakkan untuk memelihara dan mempromosikan warisan mereka,” tambahnya. "Dan kami mencipta ruang-ruang untuk meningkatkan persefahaman bersama dan membangunkan identiti bersama."

Encik Shanmugam berkata para pengasas Singapura menghadapi "penentangan hebat" terhadap pendekatan ini.

Banyak pertubuhan Cina, termasuk Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura yang sangat berpengaruh, telah meminta pemerintah supaya menjadikan Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan satu-satunya bahasa rasmi negara.

Mereka mempersoalkan mengapa ini tidak berlaku kerana orang Cina membentuk 77 peratus daripada penduduk Singapura, antara soalan lain.

Encik Shanmugam berkata parti pembangkang utama kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada masa itu, Barisan Sosialis, mengambil "pendirian aktif dalam perkara ini", kerana sayap kiri yang diilhamkan oleh komunis di Malaya dan Singapura telah lama bergantung kepada mobilisasi pelajar dan pertubuhan buruh yang berpendidikan Cina.

Encik Shanmugam menambah bahawa "laluan politik yang sesuai" untuk pemerintah PAP adalah untuk bersetuju dengan tuntutan ini. Dengan berbuat demikian, ia akan mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina. Menjelang Pilihan Raya Umum 1963, majoriti pemerintah PAP sudah berkurangan.

Kedudukan PAP bertambah baik selepas Pilihan Raya Umum 1963, tetapi ia masih bersaingan sengit dengan Barisan Sosialis.

"Pada masa itu, apabila pemerintah PAP memerlukan sokongan majoriti penduduk Cina, Encik Lee dan rakan-rakannya memilih jalan yang dalam kebanyakan konteks akan dilihat sebagai sangat berani dari segi politik," kata Encik Shanmugam.

"Saya akan meminta para anggota Dewan untuk meluangkan sedikit masa untuk merenung kembali, memikirkan tentang perkara ini. Anda akan menyedari betapa luar biasa tindakan mereka - bagaimana ini bertentangan dengan semua realiti politik dan norma standard."

DASAR UNTUK MEREALISASIKAN CITA-CITA

Encik Shanmugam pada Selasa berkata bahawa ia adalah perkara penting di mana prinsip berbilang kaum dan agama Singapura ditetapkan sebagai cita-cita.

"Kami berusaha sedaya upaya untuk menentang arus identiti etnik yang cuba membentuk prinsip hidup bermasyarakat," katanya. "Sebaliknya, prinsip asas kami ialah negara sekular, mengutamakan meritokrasi, berbilang kaum, peluang sama rata untuk semua dan kedaulatan undang-undang."

Beliau merujuk kepada dua dasar utama untuk menjadikan cita-cita itu sebagai satu realiti.

Yang pertama ialah rangka kerja undang-undang yang kukuh untuk melindungi keharmonian kaum dan untuk meminimumkan konflik perkauman dan agama.

Sebagai contoh, Akta Keharmonian Agama dan baru-baru ini, Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum ialah undang-undang yang menetapkan cara Singapura menangani ancaman dalam ruang ini.

Ini hanyalah dua undang-undang dalam "seluruh rangka kerja undang-undang" yang bertujuan untuk memelihara ruang perkauman dan agama di Singapura, dan menangani dengan tegas serangan terhadap kaum dan agama.

Sebagai contoh, ucapan berbaur kebencian dan ucapan yang menyinggung perasaan terhadap kaum dan agama lain tidak dibenarkan.

"Kami juga tahu bahawa orang ramai akan mempunyai pandangan tentang isu-isu sensitif dan pandangan ini tidak harus ditindas," kata Encik Shanmugam. "Jadi kami menyediakan ruang yang selamat di mana perbincangan yang jujur ​​dan terus terang boleh diadakan."

Ini termasuk dialog tertutup, perbincangan dan pendampingan berkala dengan kumpulan berbeza termasuk golongan muda, usahawan, kumpulan agama, kesatuan sekerja, badan bukan untuk mengaut keuntungan dan banyak lagi.

"Persekitaran sebegini menggalakkan orang ramai untuk bersikap rasional dan bertanggungjawab," tambahnya.

Sekalipun undang-undang boleh mencegah dan menghukum tindakan yang bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat, undang-undang sahaja tidak boleh menjadikan masyarakat harmonis, kata Encik Shanmugam.

Di sinilah wujudnya rangka kerja dasar utama kedua: Untuk menggalakkan integrasi dan persefahaman antara berbilang masyarakat.

Contohnya termasuk Dasar Integrasi Etnik dalam perumahan awam, sekolah awam, Perkhidmatan Negara dan acara-acara di kawasan kejiranan.

"Pada masa lalu, pengkritik telah menyifatkan usaha ini sebagai 'kejuruteraan sosial', dan pelanggaran pilihan bebas," kata Encik Shanmugam. "Tetapi hari ini, ramai yang melihat tahap perpaduan sosial kita yang tinggi, dan bertanya: 'Apakah rahsia kejayaan anda?'"

Beliau berkata walaupun terdapat persepsi global, pemerintah Singapura "tidak akan berganjak daripada falsafah dan pendirian kita", yang "menjangkau melebihi perancangan ekonomi".

“Pemerintah juga mengambil pendirian dan pendekatan yang aktif dalam menguruskan isu sosial, isu perumahan, isu kemasyarakatan dan banyak lagi,” katanya. “Tanpa pendekatan ini, Singapura tidak akan maju seperti sekarang ini.”

Walaupun telah ditunjukkan dalam tinjauan pendapat bahawa Singapura mempunyai tahap keharmonian kaum dan agama yang sangat tinggi, Encik Shanmugam berkata bahawa beliau tidak memberikan gambaran seolah-olah keharmonian kaum dan agama adalah sempurna di Singapura.

"Tetapi sebagai satu sistem, kami telah berusaha untuk membendung dan mengatasi dorongan semula jadi manusia, dengan menindihnya dengan identiti nasional yang lebih luas; nilai yang dikongsi bersama dan pengalaman yang dikongsi bersama," katanya lagi.

MENGAPA SINGAPURA STABIL SEJAUH INI

Setakat ini, keadaan di Singapura secara amnya stabil kerana pemerintah mengutamakan cita-cita berbilang kaum, kata Encik Shanmugam.

"Parti yang memerintah sendiri telah mengelak daripada politik identiti dan menentang percubaan untuk membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat etnik yang berbeza," katanya. “Ia telah menetapkan cita-cita asas tentang bagaimana masyarakat kita harus disusun, dan ia telah berjaya meyakinkan kebanyakan rakyat Singapura untuk menerima aspirasi dan cita-cita tersebut.

Sementara itu, dari semasa ke semasa, pelbagai parti dan calon cuba menghasut masyarakat Cina dan Melayu, katanya.

"Disebabkan oleh penguasaan politik pemerintah PAP, usaha tersebut tidak berjaya," tambahnya.

Mantan ahli politik Parti Pekerja (WP) dan peguam veteran Tang Liang Hong, yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1997, dituduh oleh PAP pada masa itu sebagai cauvinis Cina anti-Kristian yang mengancam keamanan kaum dan agama negara ini.

Tang meninggal dunia bulan lalu pada usia 90 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum 1991, calon WP ketika itu Jufrie Mahmood telah dilabel oleh PAP sebagai "chauvinis Melayu" selepas kenyataan lantangnya mengenai ketidaksamaan kaum dan keadaan orang Melayu di Singapura, menurut AcademiaSG, sebuah laman web yang dikendalikan oleh ahli akademik Singapura. Encik Jufrie kini adalah anggota Parti Demokratik Singapura (SDP).

Encik Shanmugam berkata PAP sejauh ini berhasil menanggung kos politik untuk memerangi sentimen sedemikian.

"Membuat kenyataan ini - kenyataan ini di sini hari ini - sebenarnya lebih mudah untuk meninggalkan semua ini tanpa dibangkitkan sama sekali. Tetapi kenyataan ini perlu dibuat demi kepentingan negara," katanya lagi.

Memandangkan pilihan raya sudah berakhir, dan emosi tidak lagi meluap-luap, Encik Shanmugam berkata beliau menyampaikan Kenyataan Menteri ini "untuk mengingatkan diri kita sebagai rakyat Singapura tentang rangka kerja dan asas yang telah membolehkan Singapura berjaya".

Beliau berkata walaupun ia bukan kali pertama isu itu dibincangkan di Parlimen, peristiwa semasa Pilihan Raya Umum baru-baru ini "membuat perkara ini dibangkitkan semula".

Perdana Menteri Lawrence Wong telah mengadakan sidang media pada April lalu di tengah-tengah kempen pilihan raya untuk menekankan bahawa warga asing yang menggesa rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan agama telah "melampaui batas".

Beliau juga menggesa semua pemimpin politik untuk menolak dengan tegas sokongan dari luar negara, dan menyeru semua parti politik supaya menjelaskan pendirian mereka – bukan sahaja mengenai campur tangan asing, tetapi juga politik identiti tidak mempunyai tempat di Singapura dan agama tidak boleh dicampur aduk dengan politik.

“Ia adalah satu perkara yang terlalu serius – sangat penting kepada penakatan Singapura – dan kita tidak boleh membiarkannya begitu sahaja, jadi saya memutuskan untuk menyampaikan kenyataan ini seawal mungkin selepas pembukaan Parlimen,” kata Encik Shanmugam.

Beliau berkata tujuan utama kenyataan itu adalah untuk menekankan asas-asas Singapura, yang beliau berharap akan ada "pemahaman yang lebih jelas tentang bagaimana kami berharap ahli politik dan parti politik akan bertindak pada masa hadapan sekiranya isu ini timbul lagi".

"Kita mesti belajar daripada apa yang telah berlaku," tambahnya.

Beliau berkata para Anggota Parlimen mungkin berdebat dan tidak bersetuju dalam banyak perkara. “Tetapi saya berharap kita semua komited untuk menangani isu-isu perkauman dan agama dengan cara yang bertanggungjawab dan rasional, dan untuk menegakkan integriti politik sekular Singapura.”

Encik Shanmugam menyatakan bahawa selain peringatan PM Wong semasa kempen pilihan raya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam tempoh yang sama juga telah mengeluarkan kenyataan tegas yang memberi amaran supaya jangan mencampuradukkan isu kaum dan agama dalam politik.

Dan dalam Ucapan Presiden baru-baru ini, Presiden Tharman Shanmugaratnam mengingatkan rakyat Singapura bahawa "kita tidak boleh memandang remeh perpaduan kita dan mesti menjaganya dengan bersungguh-sungguh".

Semasa perbahasan Ucapan Presiden, Perdana Menteri Lawrence Wong turut menggesa semua parti politik supaya menjalankan politik dengan serius, berintegriti dan bertanggungjawab.

"Jadi mengapa kita terus mengulangi perkara ini berulang kali? Ini kerana prinsip asas ini adalah teras kepada kewujudan Singapura," kata Encik Shanmugam. “Kami memutuskan bahawa kami harus menyatakan pendirian kami secara formal, teguh dan tidak berbelah bahagi di forum tertinggi di negara kita – Parlimen.”

Encik Shanmugam kemudian menyentuh tentang satu peristiwa dalam sejarah Singapura yang "mungkin tidak ramai akan ingat tentang peristiwa ini".

Pada hari Encik Lee Kuan Yew berikrar bahawa Singapura tidak akan menjadi sebuah negara untuk orang Melayu, mahupun bangsa Cina atau bangsa India dan sebaliknya semua sama, Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman berkata beliau telah meminta kerajaan negeri Johor untuk memperuntukkan 10 ekar tanah untuk mana-mana orang Melayu di Singapura yang ingin meninggalkan negara yang baru merdeka itu.

Encik Shanmugam berkata ini mungkin kelihatan seperti satu pilihan yang menarik kepada sesetengah generasi perintis Melayu – mendapatkan tanah dan kekal sebagai anggota majoriti di "Tanah Melayu".

"Tetapi tidak ada seorang pun daripada generasi perintis Melayu yang menerima tawaran itu. Mereka memilih untuk menetap di 'Tanah Singapura' dan membina rumah di sini," katanya.

"Kami terhutang budi dengan mereka. Jika mereka pergi, kita tidak akan kekal sebagai sebuah negara yang berbilang kaum seperti sekarang. Jika majoriti Cina pada ketika itu enggan mendengar Encik Lee, maka kita tidak akan menjadi sebuah negara yang berbilang kaum seperti sekarang ini."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita