Skip to main content

Singapura

SG akan terus bantu orang awam di Gaza, gesa bagi gencatan senjata kemanusiaan segera: DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan terus bantu orang awam di Gaza, gesa bagi gencatan senjata kemanusiaan segera: DPM Wong

Pegawai RHCC SAF memeriksa bekalan bantuan kemanusiaan sumbangan pertubuhan bukan pemerinth, Relief Singapore. (Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 15 Mar 2024 03:08PM Dikemas Kini : 15 Mar 2024 03:10PM
SINGAPURA: Singapura akan terus melakukan apa sahaja yang boleh, berganding bahu dengan negara lain dalam masyarakat antarabangsa yang sefahaman, demi membantu orang awam di Gaza.

Singapura juga akan menggesa agar gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan, pertempuran dihentikan sama sekali dan supaya huraian dua negara dicapai antara Israel dengan Palestin.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong menerusi catatan Facebook beliau pada Jumaat (15 Mac).

Menerusi catatan itu, Encik Wong menyifatkan malapetaka yang menimpa Gaza sebagai "sangat dahsyat dan tidak tertanggung".

"Kemusnahannya sukar dibayangkan. Ingatan kami adalah bersama warga Palestin.

"Disebabkan itu, Singapura menghantar satu lagi pusingan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi RSAF dengan kerjasama Angkatan Udara Diraja Jordan," kata DPM Wong.

Pada Jumaat (15 Mac), Singapura menghantar kumpulan ketiga bantuan kemanusiaan bagi Gaza menerusi Jordan.

Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) menggunakan sebuah Pesawat Muatan Berbilang Peranan (MRTT) A330 dan sebuah pesawat pengangkutan C-130 bagi misi tersebut, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Atas undangan kerajaan Jordan, pesawat C-130 akan terus berada di sana dan menjalankan operasi dari Jordan bagi menggugurkan bantuan kemanusiaan dari udara dengan sokongan Angkatan Bersenjata Jordan, tambah MFA.

Pusat Penyelarasan Bantuan Bencana dan Sokongan Kemanusiaan Serantau Changi (RHCC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) memimpin usaha untuk menyelaras dan menggabungkan sumbangan bekalan bantuan kemanusiaan daripada agensi-agensi termasuk SAF, Kementerian Kesihatan (MOH) dan pertubuhan bukan pemerintah, Relief Singapore, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Jumaat.

Seramai 69 pegawai dikerahkan untuk menyokong operasi tersebut dan mereka berlepas awal Jumaat menaiki MRTT dan C-130, masing-masing dari Pangkalan Udara Changi (Timur) dan Pangkalan Udara Paya Lebar, tambah MINDEF.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita