Skip to main content

Singapura

SG akan tambah lagi 20 jejak warisan perkukuh identiti sejarah, budaya

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Mar 2026 07:30PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 11:11PM

SINGAPURA: Sekitar 20 lagi jejak warisan akan disediakan di merata negara bagi dua tahun mendatang, demi menyokong kepentingan awam yang semakin meningkat dalam menelusuri sejarah Singapura.

Diusahakan bersama oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Lembaga Warisan Negara (NHB), jejak-jejak tersebut akan membawa pengunjung meneroka tempat-tempat bersejarah dan kawasan-kawasan kebudayaan.

Di sepanjang perjalanan, mereka boleh menggunakan peta digital yang memaparkan cerita-cerita pendek dan kandungan interaktif, lantas mencipta satu pengalaman tersendiri yang sesuai dengan tahap keselesaan masing-masing.

Datuk Bandar Daerah Tengah, Denise Phua berkata, terdapat juga minat meluas dalam kalangan perniagaan tempatan yang ingin meraih manfaat daripada lonjakan pengunjung apabila jejak-jejak baharu ini dilancarkan.

"Meskipun Singapura berusia 60 tahun, tetapi terdapat banyak sejarah, banyak perkara untuk diperingati. 

"Kami berharap ia akan menjadikan rakyat lebih peka tentang Singapura dan menjadi lebih berjiwa Singapura juga. Jadi jika apa-apa berlaku, kita tahu jenis darah kita adalah SG, bukan sahaja A, B atau O," kata Cik Phua.

Edisi awal jejak warisan sebegini mencatat lebih 80,000 perjalanan lengkap yang dilakukan oleh 30,000 penduduk.

Kelima-lima CDC juga sedang meneliti cara melibatkan bidang-bidang lain seperti perniagaan warisan dan makanan tempatan.

Dengan usaha sebegini, penganjur berharap dapat mengukuhkan identiti Singapura menerusi penghargaan budaya dan pergaulan masyarakat.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita