Skip to main content

Singapura

SG akan sokong atlet berpotensi, walau sukan yang diceburi baharu dan kurang diketahui: Menteri Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan sokong atlet berpotensi, walau sukan yang diceburi baharu dan kurang diketahui: Menteri Edwin Tong

Max Maeder bersama para penyokong di Olimpik Paris pada 9 Ogos 2024. (Gambar: SportSG/Jeremy Lee)

SINGAPURA: Singapura akan menyokong atlet-atlet yang menunjukkan potensi, tidak kiralah jika mereka bertarung dalam sukan yang sering diikuti orang ramai atau sebaliknya, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.

Beliau berkata demikian dalam satu segmen bersama Mediacorp, hampir seminggu selepas remaja Singapura Maximilian Maeder merangkul pingat gangsa dalam sukan 'kitefoil' di Sukan Olimpik Paris yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

"Terdapat beberapa sukan yang kian popular dalam kalangan rakyat Singapura kebelakangan ini, dan tugas kami dalam Pemerintah adalah untuk memberikan tumpuan kepada apa yang menarik perhatian rakyat Singapura. Jika kami mempunyai seorang atlet luar biasa yang sedang menceburkan diri dalam satu bidang sukan, kami akan menyokong atlet itu," kata Encik Tong dalam rancangan Singapore Tonight CNA pada Rabu (14 Ogos).

"Saya rasa penting untuk melihatnya, bukam sekadar dari bidang sukannya, tetapi sama ada rakyat Singapura sedang menceburinya dan menunjukkan prestasi, dan kami menyokong mereka."
MENGASAH POTENSI

Beliau bagaimanapun sedia maklum bahawa pendanaan "bukannya tidak terbatas" tetapi "kami melakukan yang terbaik dan menyalurkan dana ke bahagian-bahagian yang mencungkil potensi".

"Secara keseluruhan, ia bukan soal pendanaan sahaja, tetapi juga pemikiran, budaya ingin menceburi bidang sukan, cemerlang dan mencari laluan untuk mencapai kejayaan menerusi sukan," ujar Encik Tong sambil menyebut Biasiswa Kecemerlangan Sukan sebagai contoh sokongan bagi para atlet berpotensi, sekalipun individu itu dalam sukan yang tidak dirangkumkan dalam pertandingan-pertandingan besar.

Encik Tong akur setiap sukan mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Prestasi setiap atlet juga berbeza, tambahnya.

"Apa yang penting bagi kita adalah untuk mempunyai atlet dalam pelbagai sukan, sebanyak mungkin, bermain dalam sukan, mempunyai laluan jelas untuk mempamerkan prestasi tinggi, dan juga banyak titik kemasukan ke dalam sukan-sukan prestasi tinggi," ujarnya.

"Dengan cara itu, kita boleh memaksimumkan potensi dan mempunyai seramai rakyat Singapura mewakili Singapura pada peringkat setinggi mungkin."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita