Skip to main content

Singapura

SG akan semak semula dasar sosial, kemas kini undang-undang jika perlu

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan semak semula dasar sosial, kemas kini undang-undang jika perlu

Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata, mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura memerlukan perhatian serta usaha yang berterusan.

Ini kerana insiden-insiden yang berlaku di luar negara boleh memecahbelahkan rakyat, manakala dengan teknologi dan media sosial, ucapan kebencian boleh tersebar dengan lebih pantas.

Encik Shanmugam berkata demikian di satu forum mengenai permusuhan etnik tanpa kekerasan.

Menurut Encik Shanmugam, kaum yang berbeza sudah pun memberi reaksi yang berlainan kepada konflik yang berlaku di luar Singapura.

Misalnya, satu tinjauan pemerintah mendapati kaum Cina lebih berumur dan berpendidikan tinggi memandang konflik Rusia-Ukraine, berbeza dengan kumpulan demografi lain.

Mereka lebih menerima sokongan yang diberi Beijing kepada Mosko, serta pencerobohan ke atas Ukraine.

Encik Shanmugam juga merujuk kepada tinjauan yang mendapati masyarakat Melayu/Islam lebih terkesan oleh konflik Israel-Hamas berbanding masyarakat lain.

Satu lagi cabaran adalah kempen-kempen salah maklumat dan kebencian yang merebak dengan pantas secara online.

Ini termasuk membenarkan ucapan kebencian, kononnya dibuat atas dasar ucapan bebas, yang membuka pintu kepada kegiatan melampau seperti membakar kitab-kitab agama di Sweden.

Encik Shanmugam berkata Singapura komited kepada kesamarataan, tetapi ia bukan buta kaum.

Beliau berkata: "Di Singapura, jika anda cuba membakar al-Quran atau Injil atau mana-mana kitab mahupun lambang agama, janji temu anda seterusnya - dan ia sesuatu yang sukarela, adalah dengan pihak ISD.

"Sekiranya anda tidak ditahan, anda mungkin akan didakwa bagi perbuatan ini dan pastinya anda akan meringkuk di dalam penjara.

"Hak asasi untuk berucap dengan bebas, sekalipun. Kami sama sekali tidak menerima perbuatan ini.

"Tiada siapa pun yang terfikir untuk melakukan perkara ini di Singapura."

Encik Shanmugam berkata pemerintah akan terus menyemak semula dan mengemas kini dasar-dasar sosialnya.

Namun, Pemerintah juga memerlukan masyarakat untuk berhimpun bagi membincangkan isu-isu secara jujur dan berhemah.

Encik Shanmugam berucap di hadapan para cendekiawan, penggubal dasar dan pemimpin masyarakat di sebuah forum yang membincangkan pendekatan bagi menangani permusuhan di kalangan kaum.
Sumber : CNA/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita