Skip to main content

Singapura

SG akan sekat akses laman East Asia Forum kerana gagal patuhi perintah POFMA

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan sekat akses laman East Asia Forum kerana gagal patuhi perintah POFMA

Tangkapan skrin logo East Asia Forum.

SINGAPURA: Para penyedia khidmat Internet di Singapura akan diarahkan supaya menyekat akses ke laman East Asia Forum, yang berpangkalan di Australia.

Tindakan itu diambil selepas platform tersebut gagal mematuhi arahan pembetulan oleh Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Demikian diumumkan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Sabtu (16 Sep), tiga hari selepas perintah POFMA dikeluarkan terhadap East Asia Forum.

Perintah itu mengarahkan para penyedia khidmat Internet supaya menyekat akses pengguna Singapura ke laman East Asia Forum, di mana kepalsuan itu disebarkan.

Perintah POFMA itu berhubung dakwaan yang dibuat dalam rencana bertajuk 'A spate of scandals strikes Singapore', yang ditulis oleh Dr Ying-Kit Chan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu, rencana itu mengandungi kenyataan palsu mengenai perkara-perkara yang mempertikaikan kebebasan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan pendekatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menangani hubungan sulit dalam kalangan Anggota Parlimen.
Di bawah Perintah POFMA, East Asia Forum dikehendaki menerbitkan notis pembetulan di bahagian atas rencana itu dan halaman utama lamannya.

Setakat 12.30 tengah hari pada Sabtu (16 Sep), East Asia Forum belum lagi berbuat demikian. Ia sebaliknya memuat naik pautan kepada kenyataan pemerintah di penghujung bahagian komen rencana itu, di bahagian bawah laman tersebut.

"Sekiranya East Asia Forum kemudian mematuhi sepenuhnya syarat-syarat Arahan Pembetulan, menteri akan membatalkan Perintah Sekatan Akses itu," nyata MCI.

Secara berasingan, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan arahan pembetulan terhadap Facebook milik Meta Platforms atas rencana East Asia Forum itu.

Meta akan dikehendaki menerbitkan notis pembetulan kepada pengguna Facebook di Singapura yang mengakses catatan East Asia Forum pada 18 Ogos yang mengongsi rencana itu.

Kali terakhir Singapura bertindak untuk menyekat penerbitan online kerana gagal mematuhi perintah POFMA adalah pada Jun selepas Asia Sentinel tidak memuat naik notis pembetulan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Sumber : CNA/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita