SG akan rintis skim sokong perniagaan warisan 'teladan'
Skim pertama seumpamanya yang bertujuan menyokong dan mengiktiraf perniagaan-perniagaan warisan "teladan" di pusat bandar Singapura akan dirintis oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Pejalan kaki di sekitar kawasan Chinatown, Singapura, pada 7 Januari 2025. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Berucap semasa pembentangan peruntukan belanjawan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) di Parlimen pada Isnin (10 Mac), Menteri Negara Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling mengumumkan skim baharu itu.
Perniagaan-perniagaan itu - yang terletak di kawasan seperti Chinatown, Kampong Gelam dan Little India - harus beroperasi selama sekurang-kurangnya 30 tahun, menawarkan penjualan, barangan atau khidmat "yang mempunyai kaitan kukuh dengan masyarakat tempatan", dan menyumbang "dengan ketara" kepada identiti sesebuah masyarakat atau tempat, katanya.
Perniagaan 'Warisan SG' ini akan menerima sokongan penjenamaan kempen serta akses kepada sokongan perniagaan serta khidmat perundingan.
Panggilan untuk pencalonan bagi skim itu akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang ini, menurut MCCY dalam kenyataan fakta.
Perniagaan di bawah skim itu, yang turut merangkumi daerah Bras Basah BUgis - iaitu daerah kesenian dan warisan Singapura - boleh mendapatkan sokongan untuk mendorong mereka supaya kekal berdaya saing.
Ini termasuk penjenamaan, pemasaran dan perundingan oleh NHB dan agensi-agensi dan rakan-rakan kongsi lain.
Skim itu adalah sebahagian daripada usaha pelbagai pihak yang digelarkan sebagai Pasukan Bertindak Berbilang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Aktiviti Tradisional dan Kehidupan Budaya.
Ia bertujuan mengembangkan dan mengekalkan perniagaan dan aktiviti yang penting kepada kemeriahan kawasan warisan Singapura.
MUZIUM REKA BENTUK BAHARU?
Sehubungan itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong turut mengumumkan MCCY sedang menimbangkan kemungkinan membangunkan sebuah Muzium Reka Bentuk Singapura yang baharu.
"Muzium Reka Bentuk Singapura itu boleh menjadi tambahan utama kepada landskap seni dan warisan kita yang sentiasa berkembang," katanya.
"Muzium ini boleh memaparkan bakat dan reka bentuk terbaik daripada para pereka Singapura kepada seluruh dunia.
"Ia akan meningkatkan pemahaman orang awam dan penghargaan terhadap kepentingan reka bentuk yang baik," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.