Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG akan pulihkan 'dengan berhati-hati' khidmat penerbangan dengan China

Singapura akan "pulihkan dengan berhati-hati" ketersambungan udara dengan China selain memantau keadaan COVID-19 di merata dunia yang berubah-ubah , kata Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen pada Isnin (9 Jan), sehari selepas China membuka semula sempadannya.

Anggaran Waktu Membaca:
 SG akan pulihkan 'dengan berhati-hati' khidmat penerbangan dengan China

Dewan ketibaan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi yang akan dibuka semula pada 13 Sep 2022. (Gambar: Grace Yeoh/CNA)

Diterbitkan : 09 Jan 2023 07:32PM Dikemas Kini : 09 Jan 2023 10:35PM

SINGAPURA: Singapura akan "pulihkan dengan berhati-hati" ketersambungan udara dengan China selain memantau keadaan COVID-19 di merata dunia yang berubah-ubah , kata Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen pada Isnin (9 Jan), sehari selepas China membuka semula sempadannya.

Pada masa yang sama, syarat memakai Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dipertingkatkan bagi semua pekerja di Lapangan Terbang Changi yang berurusan dengan penumpang dan melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Sepanjang proses ini, keutamaan kami ialah untuk melindungi kesihatan pekerja penerbangan kami,  pelawat dan masyarakat am," kata Encik Iswaran dalam satu kenyataan kementerian.

"Pihak-pihak berkepentingan masyarakat penerbangan Changi juga sedang berusaha untuk memastikan pekerja di lapangan terbang dilindungi dengan mereka sudah mendapatkan vaksinasi terkini," katanya sambil menambah bahawa pekerja di lapangan terbang juga boleh mendapatkan dos penggalak di kemudahan baru di klinik Raffles Medical di Terminal 3.

"Setakat ini, hampir 100 peratus pekerja sudah memperolehi perlindungan minimum seperti yang ditakrifkan Kementerian Kesihatan, dan sekitar separuh mempunyai perlindungan terkini."

PULIHKAN KETERSAMBUNGAN UDARA DENGAN CHINA

Dengan jumlah penerbangan mingguan di Lapangan Terbang Changi sudah pulih kepada hampir 80 peratus kadar sebelum pandemik, terdapat 25 penerbangan mingguan antara China dengan Singapura setakat akhir Oktober 2022, kata Encik Iswaran.

Jumlah itu meningkat kepada 36 penerbangan mingguan sekitar pertengahan Disember tahun lalu.

Buat masa ini terdapat 38 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara termasuk dua penerbangan ke Beijing yang diluluskan baru-baru ini. Ini bermakna terdapat purata lima hingga enam penerbangan antara Singapura dengan China setiap hari di Changi.

"Jumlahnya adalah kurang daripada 10 peratus penerbangan yang dikendalikan sebelum COVID-19 antara China dengan Singapura... dan sekitar 1.5 peratus daripada keseluruhan penerbangan yang dikendalikan Changi, " jelas Encik Iswaran.

"Kami terima antara 700 dengan 1,000 pelawat dari China setiap hari, yang mana jumlah ini adalah sekitar 1 hingga 1.5 peratus daripada keseluruhan jumlah pelawat yang tiba di Changi - dan ia juga kurang daripada 10 peratus jika dibandingkan dengan paras sebelum COVID-19."

Lebih 60 peratus penumpang dari China itu merupakan warga dan  penduduk tetap Singapura serta pemegang pas jangka panjang, kata Encik Iswaran.

Beliau juga menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat penerbangan Singapura dan China telah memohon untuk mengendalikan lebih banyak penerbangan antara kedua-dua negara, dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang menilai permohonan tersebut.

Singapura "mengawal penyambungan semula penerbangan" bagi memastikan Lapangan Terbang Changi masih berupaya menampung aliran penerbangan dan penumpang yang dijangkakan, katanya.

"Ini memberikan masa kepada pihak berkepentingan penerbangan kami untuk meningkatkan keupayaan, di samping mengerahkan dan melatih tenaga kerja mereka," katanya.

"Sedang China membuka semula sempadannya, kami akan teruskan dengan pendekatan berhati-hati untuk memastikan bahawa Lapangan Terbang Changi mempunyai keupayaan untuk mengendalikan penerbangan, memberi penjelasan dan kepastian kepada syarikat-syarikat penerbangan dan penumpang mempunyai pengalaman penerbangan yang lancar dan selamat."

Encik Iswaran berkata pihak berkuasa penerbangan sedia untuk bertindak  pantas jika terdapat perubahan pada penilaian risiko Kementerian Kesihatan, seperti kemunculan varian kebimbangan yang baru.

'TIADA KEMUNGKINAN' LONJAKAN JUMLAH PELAWAT DALAM TEMPOH TERDEKAT

Menjawab soalan Anggota Parlimen mengenai bila penerbangan ulang alik dari China dapat kembali ke paras sebelum pandemik, Encik Iswaran berkata beliau tidak dapat memberikan jangka masa tertentu, sambil menambah terdapat beberapa faktor untuk dipertimbangkan.

Ini termasuk keadaan kesihatan awam serta keupayaan Lapangan Terbang Changi unutk mengendalikan  jumlah penumpang yang meningkat.

"Kami mahu memulihkan semula ketersambungan udara dengan China dan kami mengalu-alukan pengumuman dan langkah-langkah terbaru China. Tetapi dalam tempoh terdekat ini, jika anda tanya sama ada akan berlaku lonjakan? Saya fikir tidak mungkin, tetapi kami juga tidak hanya akan berpeluk tubuh," kata Encik Iswaran.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan