Skip to main content

Singapura

SG akan peroleh peluru berpandu Hellfire tambahan selepas Amerika luluskan pakej AS$22.3 juta

Singapura dijangka memperoleh peluru berpandu Hellfire tambahan selepas Amerika Syarikat menyokong pakej diusulkan yang bernilai AS$22.3 juta (S$28.8 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan peroleh peluru berpandu Hellfire tambahan selepas Amerika luluskan pakej AS$22.3 juta

Helikopter Apache AH-64D RSAF boleh menyasarkan sasaran menggunakan peluru berpandu Hellfire atau roket. (Gambar: Facebook/RSAF)

Diterbitkan : 01 Jul 2026 10:56PM
  • Amerika Syarikat meluluskan penjualan 24 peluru berpandu Hellfire tambahan serta perkhidmatan sokongan bernilai AS$22.3 juta kepada Singapura.
  • Pemerolehan ini bertujuan menyokong latihan dan operasi Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), yang menggunakan helikopter Apache Longbow AH-64D.
  • Pakej termasuk alat ganti, naik taraf pelancar, penyenggaraan, bantuan teknikal dan latihan, serta sokongan logistik dan kejuruteraan.
  • Jabatan Negara Amerika Syarikat menegaskan penjualan ini tidak mengubah keseimbangan ketenteraan serantau dan menyokong keselamatan serta kestabilan Asia.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura dijangka memperoleh peluru berpandu Hellfire tambahan selepas Amerika Syarikat menyokong pakej diusulkan yang bernilai AS$22.3 juta (S$28.8 juta).

Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan pada Selasa (30 Jun) bahawa ia meluluskan potensi jualan peluru berpandu Hellfire 24 AGM-114R tambahan ke Singapura, serta khidmat dan peralatan sokongan berkaitan, menjadikannya sebanyak 67 peluru berpandu secara keseluruhan.

Peluru berpandu Hellfire adalah sejenis senjata ketepatan dari udara ke darat yang dihasilkan oleh Lockheed Martin.

Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) menyatakan pemerolehan itu akan menyokong keperluan latihan dan operasi Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Helikopter Apache Longbow AH-64D RSAF dilengkapi dengan peluru berpandu Hellfire.

"MINDEF/SAF mengambil pandangan jangka panjang strategik untuk memastikan bahawa kita terus membuat keputusan berhemat dan menjimatkan kos yang paling memenuhi keperluan pertahanan kita, dan mengekalkan kesediaan operasi," menurut kementerian itu sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Singapura meminta peluru berpandu serta perkhidmatan sokongan logistik, kejuruteraan dan teknikal, menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Kelulusan terkini adalah tambahan kepada pakej sebelum ini yang dianggarkan bernilai sekitar AS$12.4 juta (S$16 juta), iaitu di bawah ambang yang memerlukan pemberitahuan kepada Kongres Amerika.

Pakej itu termasuk alat ganti, naik taraf pelancar, perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan, sokongan sofwe, penerbitan teknikal, bantuan teknikal dan latihan serta sokongan logistik dan kejuruteraan.

Jabatan Negara Amerika menyatakan usulan penjualan peralatan dan sokongan "tidak akan mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau ini".

Ia menarik perhatian bahawa penjualan itu akan menyokong dasar asing Amerika dan matlamat keselamatan negara dengan meningkatkan keselamatan Singapura, di mana Washington anggap sebagai "kuasa penting bagi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Asia".

Jabatan Negara menyatakan penjualan itu akan meningkatkan keupayaan RSAF untuk menjalankan operasi dan latihan, sambil menambah Singapura "tidak mempunyai masalah" menyepadukan peralatan dan latihan berkaitan ke dalam angkatan bersenjatanya.

Pada Jun lalu, Amerika Syarikat meluluskan penjualan naik taraf senjata roket bernilai AS$73 juta (S$94.5 juta) kepada Singapura.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita