SG akan peroleh dua bidang tanah Malaysia bagi peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands
Penguasa Tanah Singapura (SLA) mewartakan pemerolehan dua bidang tanah pada Rabu (4 Jun) bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Bangunan Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Tanah tersebut pada masa ini dimiliki kerajaan Malaysia.
Dalam satu kenyataan media bersama, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan SLA menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pemerolehan tanah tersebut.
“Kami akan meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan rentas sempadan dan hubungan antara rakyat” menurut kenyataan itu.
Dua bidang tanah berkenaan dengan keluasan keseluruhan 0.79 hektar adalah sedikit lebih besar daripada saiz padang bola sepak. Kawasan tersebut ditumbuhi tumbuh-tumbuhan dan tidak digunakan. Ia terletak berhampiran bahagian tengah kawasan yang dirancang bagi pembangunan semula.
Pemerolehan tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan ICA dalam membangunkan semula dan memperluas Pusat Pemeriksaan Woodlands secara berfasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, sebagai “penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan berterusan di laluan darat ini”, menurut kenyataan bersama tersebut.
Pada 2024, jumlah harian pelancong di Pusat Pemeriksaan Woodlands meningkat sebanyak 22 peratus, kepada 327,000 orang berbanding 269,000 pada 2023.
Semasa cuti sekolah hujung tahun 2024, seramai 376,000 pelancong direkodkan melalui pusat pemeriksaan itu pada 20 Disember – jumlah tertinggi pernah dicatat.
Menjelang 2050, jumlah purata harian pelancong di Pusat Pemeriksaan Woodlands dijangka mencecah 400,000 orang.
Pada 2024, ICA memaklumkan bahawa Singapura telah menulis kepada Malaysia pada Mei 2022 dan November 2023 untuk mencadangkan pembelian tanah tersebut.
PROSES PEMBINAAN
Di bawah Fasa 1 proses pembinaan, ICA akan membina sambungan Pusat Pemeriksaan Woodlands di bekas kawasan Pusat Bandar Woodlands Lama.
Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2025.
Sambungan itu akan merangkumi kemudahan pemeriksaan automatik baharu bagi kenderaan kargo dan kenderaan yang tiba.
Ekspreswe Bukit Timah (BKE) juga akan dipanjangkan untuk mewujudkan laluan langsung bagi kenderaan yang keluar dari Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk memasuki lebuh raya tersebut, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di jalan raya tempatan semasa waktu puncak.
Fasa-fasa seterusnya akan melibatkan pembinaan kemudahan pemeriksaan tambahan dan pengubahsuaian pusat pemeriksaan yang sedia ada.
Pembangunan semula sepenuhnya Pusat Pemeriksaan Woodlands bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pemeriksaan bagi semua mod pengangkutan, mengurangkan purata masa perjalanan semasa waktu puncak kepada 15 minit serta meningkatkan automasi dengan menggabungkan sistem bagi pemeriksaan imigresen automatik dalam kereta.
ICA juga akan dapat menjalankan pemeriksaan keselamatan di luar struktur utama pusat pemeriksaan dan menyediakan kawasan menunggu bagi kenderaan di dalam kompleks tersebut bagi mengurangkan kesesakan di BKE dan jalan-jalan sekitarnya.
“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk memudahkan perjalanan serta perdagangan rentas sempadan, sambil memastikan keselamatan sempadan kami terpelihara,” menurut kenyataan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.