Skip to main content

Singapura

SG akan perkukuh perkongsian dengan kuasa pertengahan, blok serantau di tengah 'rekahan plat tektonik geostrategik'

Singapura akan memperkukuh perkongsian dengan kuasa-kuasa pertengahan dan blok serantau sedang ia mengharungi “rekahan plat tektonik geostrategik”, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.
Anggaran Waktu Membaca:
SG akan perkukuh perkongsian dengan kuasa pertengahan, blok serantau di tengah 'rekahan plat tektonik geostrategik'
Seorang wanita berjalan melepasi bendera negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura pada 11 November 2018. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)
SINGAPURA: Singapura akan memperkukuh perkongsian dengan kuasa-kuasa pertengahan dan blok serantau sedang ia mengharungi “rekahan plat tektonik geostrategik”, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

Berucap di parlimen pada Jumaat (27 Feb) semasa membentangkan keutamaan kementeriannya bagi tahun ini, Dr Balakrishnan berkata aturan antarabangsa pasca Perang Dunia II - yang dibina berasaskan usaha berbilang hala, undang-undang antarabangsa, pasaran bebas, rantaian bekalan global serta institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - sudah berakhir.

Tindak balas populis terhadap globalisasi dipersalahkan kerana melebarkan jurang ketidaksamaan, kelesuan kelas pertengahan, kehilangan pekerjaan, kekecewaan yang semakin meningkat serta polarisasi yang mendalam, kata beliau.

“Kepincangan domestik ini kini telah disebarkan ke persada global, dan anda akan melihat bahawa ia telah melemahkan sokongan terhadap aturan antarabangsa,” tambah beliau.

“Ini bukan sekadar gegaran kecil. Ini adalah rekahan plat tektonik geostrategik.”

Beliau memberi amaran bahawa kesannya sudah pun membentuk semula cara negara-negara bertindak.

Kuasa-kuasa besar semakin bersedia untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan dan ekonominya demi mengejar kepentingan masing-masing, sambil “mengurangkan perselindungan di sebalik justifikasi undang-undang atau moral”.

“Di mana suatu ketika dahulu wujudnya integrasi ekonomi, kini berlaku perpecahan serta penggunaan kesalingbergantungan (interdependence) dan kebergantungan (dependence) sebagai senjata,” kata beliau.

“Kita kini berada dalam dunia di mana hubungan antarabangsa tidak lagi dipacu terutamanya oleh peraturan atau usaha untuk mencapai konsensus.”

Bagi negara-negara kecil yang tidak mempunyai keupayaan strategik untuk melindungi diri daripada pergolakan, dunia kini menjadi lebih berbahaya, kata Dr Balakrishnan.

“Bagi Singapura, sebuah negara yang kecil, cabarannya membawa lebih banyak berisiko.”

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Singapura “tidak pernah naif” dan sentiasa beroperasi dengan “teras realisme yang mendalam”.

Saiz dan kuasa memainkan peranan dalam hubungan luar, dan beliau menarik perhatian bahawa perbezaan pendapat, paksaan dan konflik merupakan sebahagian daripada “pergelutan” dalam hubungan antarabangsa.

Itulah sebabnya Singapura membelanjakan antara tiga peratus hingga enam peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi pertahanan sepanjang enam dekad lalu, tambah beliau.

LIMA KEUTAMAAN MFA

Dalam konteks tersebut, Dr Balakrishnan menggariskan lima bidang tumpuan yang akan memacu Kementerian Ehwal Luar (MHA) tahun ini: berinteraksi secara membina dengan semua kuasa besar; membina rangkaian kerjasama yang lebih luas dengan kuasa pertengahan; memperkukuh ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) yang stabil dan bersepadu; mengukuhkan hubungan dengan negara-negara jiran terdekat; serta mengukuhkan sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Selain kuasa-kuasa besar, Singapura akan memperkukuhkan rangkaian kerjasamanya dengan kuasa-kuasa pertengahan dan blok serantau, kata menteri itu.

“Saya fikir dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keperluan untuk kuasa pertengahan, khususnya kuasa pertengahan yang berkongsi komitmen terhadap undang-undang antarabangsa, usaha berbilang hala dan perdagangan bebas, kepentingan kuasa-kuasa pertengahan untuk berganding bahu dan untuk kita berinteraksi (dengan) mereka menjadi semakin jelas,” tambah beliau.

Tahun lalu, Singapura meningkatkan kerjasamanya dengan Australia, Perancis, India, New Zealand dan Vietnam, serta mewujudkan perkongsian baharu dengan Korea Selatan.

Ia juga menandatangani Perjanjian Perdagangan Digital Kesatuan Eropah-Singapura.

Negara ini juga akan memperluas jejak globalnya di Afrika dan Amerika Latin, serta menubuhkan misi baharu di Mexico dan Ethiopia bagi menyokong usaha tersebut.

ASEAN kekal sebagai teras dasar luar Singapura, kata beliau, sambil menambah bahawa hubungan dua hala yang kukuh dengan negara-negara jiran adalah penting.

Usaha sedang dijalankan untuk memajukan inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, kata beliau.

Singapura akan mempengerusikan ASEAN pada 2027 - bertepatan dengan ulang tahun ke-60 blok tersebut - dan berhasrat menggunakan peluang itu untuk mengukuhkan integrasi dan perpaduan.

“Kita harus memberikan semua kuasa besar kepentingan dalam kestabilan dan kemakmuran rantau kita dan ... memastikan ASEAN kekal sebagai rakan pilihan,” kata Dr Balakrishnan.

“Inilah rasional di sebalik sistem serantau kita yang terbuka, inklusif dan berteraskan ASEAN. Dengan adanya lebih banyak negara yang melabur dalam kemajuan kolektif ASEAN, lebih stabil kedudukan kita nanti.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita