SG akan perkukuh keupayaan pemulihan tangani trend meningkat belia jadi radikal sendiri: PM Wong
SINGAPURA: Dengan peningkatan kes menjadi radikal sendiri di negara ini, Singapura akan mengukuhkan keupayaan pemulihannya bagi menangani isu itu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Sabtu (13 Sep).
“Sekarang kita perlu berusaha menjangkaui kaunseling agama Islam kerana rakyat Singapura terpengaruh kepada pelbagai ideologi pelampau yang lebih luas,” katanya dalam ucapan yang disampaikan pada majlis jamuan tengah hari tahunan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menghargai para sukarelawan masyarakat.
Usaha sedang diambil, seperti menyediakan rangkaian intervensi yang disesuaikan, khusus untuk golongan muda yang menjadi radikal sendiri.
Ini termasuk bimbingan dan kesejahteraan siber serta program untuk meningkatkan kemahiran sosial.
Terdapat "beberapa hasil positif", kata Encik Wong, yang merujuk kepada kes seorang lelaki Kristian yang ditahan pada Disember 2020 kerana merancang serangan terhadap masyarakat Islam di dua masjid.
Belia itu, yang berusia 16 tahun ketika ditahan, merupakan rakyat Singapura pertama didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menjadi radikal berikutan ideologi pelampau berhaluan kanan.
Dia menerima kaunseling daripada seorang paderi Kristian mengenai nilai-nilai antikeganasan dan penghargaan kepada keharmonian berbilang agama, kata Encik Wong.
Sokongan sosial dan bimbingan daripada dua mentor, termasuk seorang sukarelawan dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), juga membantu mengubah cara pemikiran belia itu.
Dia kini sedang menuntut di institut pengajian tinggi, selepas dibebaskan pada Januari 2024.
Encik Wong juga menekankan keperluan untuk terus membina ikatan yang kukuh dan kohesif dalam masyarakat, sambil berkata bahawa mereka yang rasa terasing sering menjadi mangsa yang jadi radikal sendiri.
"Mereka beralih kepada sumber online untuk mencari makna dan mereka jumpa bahan pelampau, dan kemudian mereka menjadi terpesong.
"Untuk mengatasinya, kita perlu memupuk jati diri, hubungan sesama manusia dan kepercayaan," kata PM Wong.
PM Wong berkata demikian bagi mengulas berita pada Selasa lalu, di mana dua rakyat Singapura diberi perintah sekatan di bawah ISA.
Seorang daripadanya ialah Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud, 30 tahun, yang mahu turut serta dalam perang di Syria dan Turki.
Seorang lagi remaja berusia 14 tahun yang menyokong ISIS di Iraq dan Syria mendakapi fahaman pelampau berhaluan kanan dan menganggap dirinya sebagai sebahagian daripada mereka.
Remaja itu adalah kes pertama Singapura di mana seseorang menjadi radikal sendiri, hasil gabungan ideologi pelampau yang berbeza, yang ditangani di bawah ISA.
Dalam ucapannya pada Sabtu (13 Sep), PM Wong juga berkata Singapura menyaksikan semakin banyak kes golongan muda Singapura terpengaruh dengan ideologi pelampau.
Sejak 2015, 18 belia berusia antara 14 hingga 20 tahun dikenakan tindakan di bawah ISA. Lebih daripada dua pertiga dikesan hanya dalam tempoh lima tahun yang lalu.
Perkembangan itu dilaporkan sedang landskap keselamatan dan ancaman berubah, sebahagiannya didorong oleh teknologi digital dan online yang menjadikan propaganda pelampau lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.
Beliau menukil pembunuhan aktivis sayap kanan Amerika Charlie Kirk baru-baru ini sebagai contoh bagaimana radikalisasi online boleh menjadi sesuatu yang nyata dalam dunia sebenar dengan begitu mudah sekali.
"Keganasan yang dahulunya jarang berlaku kini menjadi semakin berleluasa dan membimbangkan," kata Encik Wong.
Di Singapura, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pernah menangani kes di mana individu menggunakan 'chatbot' kecerdasan buatan (AI) untuk merangka manifesto bagi perjuangan bersenjata, atau untuk mencari arahan bagi membuat senjata, termasuk pistol cetakan 3D.
Ideologi pelampau juga bertambah luas, dan tidak lagi terhad kepada fahaman pelampau agama. Orang ramai kini tertarik kepada gerakan neo-Nazi atau budaya yang menyimpan rasa dendam dan permusuhan terhadap wanita, kata Encik Wong.
Sebagai tindak balas kepada sekitaran yang berubah-ubah ini, Singapura juga akan memperdalam kerjasama di peringkat antarabangsa, dalam bentuk perkongsian maklumat risikan, kepakaran dan sumber.
Banyak negara berminat untuk belajar daripada pendekatan pemulihan Singapura, dan Singapura akan berkongsi pengalamannya sambil belajar daripada pihak lain, kata PM Wong.
Singapura juga perlu terus berwaspada.
“Agensi keselamatan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengesan dan menangani ancaman, tetapi setiap rakyat Singapura juga mempunyai peranan untuk dimainkan,” katanya.
"Jika anda melihat orang yang tersayang terpengaruh kepada ideologi pelampau, sila bantu untuk laporkan mereka supaya mereka boleh menerima bantuan."
"Saya tahu ia bukan mudah. Saya memang ada kawan yang mempunyai fahaman radikal. Saya kenal mereka semasa mereka masih muda dan saya tidak pernah menjangka mereka akan menjadi radikal, tetapi perkara ini boleh berlaku.
"Dan apabila mereka melakukannya, kami mahu bertindak lebih awal dan membantu mereka kembali ke jalan yang benar secepat mungkin," kata perdana menteri itu.
Encik Wong berkata bahawa Singapura bekerja keras untuk mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama sejak 60 tahun lalu.
Ini kekal penting, tetapi rakyatnya kini mesti berwaspada terhadap jurang-jurang baharu, seperti jurang sosioekonomi.
"Jika tidak dikawal, ia boleh melemahkan kepercayaan dan menghakis perpaduan yang sudah kita bina. Jadi, kita mesti terus berusaha sebaik mungkin untuk mengukuhkan ikatan antara rakyat Singapura," katanya.
"Jika kita semakin bersatu kita, kita akan lebih berdaya tahan untuk menentang kuasa-kuasa yang memecahbelahkan rakyat ini."
PM WONG BERI PENGHORMATAN KEPADA PARA PENGASAS RRG
Dalam majlis yang sama, PM Wong turut memberi penghormatan kepada Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed atas sumbangan mereka dalam usaha membanteras fahaman radikal di negara ini.
Kedua-dua tokoh agama itu menubuhkan RRG pada 2003.
"Mereka hadapi risiko dikritik, malah dilabel sebagai munafik atau "hypocrites" kerana bekerjasama dengan pemerintah. Begitu juga para sukarelawan daripada Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) yang tetap tabah walaupun berdepan dengan reaksi negatif ketika mula mendekati keluarga tahanan. Namun mereka meneruskan usaha kerana mereka percaya itu perkara yang betul untuk dilakukan," ujar PM Wong.
RRG kini mempunyai rangkaian lebih 40 asatizah dan pakar untuk membantu individu yang menyalahtafsir konsep-konsep Islam dan membanteras fahaman pelampau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.