Skip to main content

Singapura

SG akan perkenal rangka pelesenan bagi rumah jagaan masyarakat

Singapura akan memperkenalkan undang-undang pada 2025 untuk mengawal selia dan mempertingkatkan piawai jagaan di rumah-rumah jagaan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan perkenal rangka pelesenan bagi rumah jagaan masyarakat

Seorang warga emas berkerusi roda bersama penjaganya. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 10 Mar 2025 05:28PM Dikemas Kini : 10 Mar 2025 05:29PM
SINGAPURA: Singapura akan memperkenalkan undang-undang pada 2025 untuk mengawal selia dan mempertingkatkan piawai jagaan di rumah-rumah jagaan masyarakat.

Ia merujuk kepada kemudahan yang menyediakan tempat penginapan kepada individu yang memerlukan jagaan, sokongan atau bantuan sosial, seperti mereka yang kurang upaya atau golongan dewasa yang hidup melarat.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata pada Isnin (10 Mac) bahawa Rang Undang-Undang Rumah Jagaan Masyarakat akan memperkenalkan satu rangka kerja pelesenan untuk meningkatkan mutu jagaan dan tentu sekali, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan para penghuni.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga akan melabur dalam latihan dan meningkatkan keupayaan para pengendali rumah-rumah jagaan tersebut, kata Encik Masagos semasa membahaskan peruntukan belanjawan kementeriannya.

Dalam satu kenyataan fakta yang berasingan, MSF menyatakan ia akan menyelaraskan dan memastikan kesinambungan jagaan bagi para penghuni yang rentan.

"Pada masa yang sama, Rang Undang-Undang itu menawarkan kemungkinan rumah-rumah itu boleh diperluaskan bagi memenuhi keperluan para penghuni, di mana setiap profil klien yang berbeza boleh ditempatkan bersama," kata Encik Masagos di Parlimen.

APA YANG MUNGKIN TERANGKUM DALAM RANG UNDANG-UNDANG ITU

Unit maklum balas pemerintah REACH telah mengumpul maklum balas orang ramai berhubung Rang Undang-Undang itu dari November 2024 hingga Januari lalu.

Menurut maklumat yang diterbitkan oleh MSF di laman REACH, Rang Undang-Undang itu bertujuan menggantikan Akta Rumah Jagaan Warga Tua (HFAA) yang menyelia rumah-rumah tumpangan dan menggantikan peruntukan sedia ada mengenai piawaian penjagaan untuk rumah di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda serta Akta Orang Melarat.

MSF juga menimbangkan untuk mengambil "pendekatan kawal selia berteraskan risiko" untuk menyelia rumah-rumah jagaan masyarakat secara berperingkat, bermula dengan para penghuni yang rentan dan paling memerlukan.

Kemudahan yang disenaraikan oleh MSF termasuk rumah jagaan kanak-kanak, rumah jagaan kanak-kanak kurang upaya, rumah tumpangan, rumah kebajikan dan rumah jagaan golongan dewasa kurang upaya serta hostel.

Antara maklum balas yang diberikan daripada lebih 30 responden adalah penekanan terhadap keperluan untuk memperincikan dengan jelas situasi di mana langkah-langkah sekatan boleh digunakan di rumah-rumah jagaan masyarakat, seperti dalam kes individu yang membahayakan diri sendiri atau berpotensi menimbulkan bahaya kepada orang lain, menurut laman REACH.

Para responden iaitu sekumpulan individu terdiri daripada para kakitangan dan anggota lembaga rumah-rumah jagaan, anggota keluarga para penghuni dan orang awam - juga bersetuju tentang keperluan memperkenalkan hukuman bagi menangani sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan berat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita