Skip to main content

Singapura

SG akan perkenal nombor awalan khas untuk panggilan telefon dari polis dalam usaha basmi penipuan

Panggilan telefon dari pegawai polis kepada orang awam tidak lama lagi akan dibuat daripada nombor dengan imbuhan standard sedang pihak berkuasa Singapura berusaha membanteras skim-skim penipuan melalui penyamaran, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming pada Jumaat (27 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
SG akan perkenal nombor awalan khas untuk panggilan telefon dari polis dalam usaha basmi penipuan

Walaupun jumlah kes penipuan dan kerugian merosot secara keseluruhan tahun lalu, lebih ramai warga SG menjadi mangsa skim penipuan penyamaran pegawai pemerintah.

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 Feb 2026 07:59PM Dikemas Kini : 27 Feb 2026 08:01PM
SINGAPURA: Panggilan telefon dari pegawai polis kepada orang awam tidak lama lagi akan dibuat daripada nombor dengan imbuhan standard sedang pihak berkuasa Singapura berusaha membanteras skim-skim penipuan melalui penyamaran, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming pada Jumaat (27 Feb).

Platform penghantaran mesej WhatsApp juga perlu melaksanakan langkah-langkah anti penipuan lebih ketat bagi mengatasi percubaan menipu, kata Encik Goh.

"Walaupu jumlah kes penipuan dan kerugian merosot secara keseluruhan tahun lalu, lebih ramai rakyat Singapura menjadi mangsa skim penipuan penyamaran pegawai pemerintah," katanya semasa perbahasan peruntukan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk tahun akan datang.

Perangkaan tahunan yang diterbitkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada awal minggu ini menunjukkan jumlah kes penipuan di Singapura merosot 27.6 peratus tahun lalu - iaitu kali pertama terdapat kemerosotan sejak SPF mula melaporkan perangkaan skim penipuan secara berasingan pada 2023.

Encik Goh berkata skim penipuan penyamaran pegawai pemerintah pada 2025 meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Ia adalah antara lima jenis penipuan yang paling banyak dilaporkan pada tahun 2025, dan juga menyaksikan purata jumlah kerugian tertinggi bagi setiap kes iaitu lebih S$72,000, katanya.

MENGENAL PASTI PEGAWAI SEBENAR

Dalam ucapannya, Encik Goh berkata MHA akan membantu orang ramai mengenal pasti panggilan sebenar yang dibuat daripada agensi-agensi pemerintah.

"SPF sedang bekerjasama dengan Produk Pemerintah Terbuka (OGP) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk memperkenalkan nombor awalan tunggal yang mudah dikenali yang akan digunakan oleh semua pegawai SPF untuk menghubungi orang ramai,” katanya.

Jika seseorang menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan pemanggil itu mendakwa beliau seorang pegawai polis, ia berkemungkinan satu helah penipuan, katanya.

Encik Goh berkata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Jasmin Lau akan berkongsi butiran lanjut mengenai langkah baharu itu dan pelaksanaannya di seluruh agensi pemerintah.

Encik Goh menambah MHA memerlukan platform-platform online untuk melaksanakan lebih banyak langkah membasmi skim penipuan pada masa hadapan, dalam respons kepada soalan dari AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar).

"Serupa dengan Apple dan Google, kami tidak lama lagi akan mengarahkan WhatsApp untuk melaksanakan langkah-langkah bagi menghalang penyamaran alamat 'gov.sg' dan agensi-agensi pemerintah Singapura," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita