Skip to main content

Singapura

SG akan naikkan yuran VEP, GVP bagi kenderaan berdaftar asing mulai 2027

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Feb 2026 01:30PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 06:32PM
SINGAPURA: Yuran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kereta dan motosikal berdaftar asing akan dinaikkan mulai tahun depan dan akan dikenakan bayaran pada semua hari, kecuali hujung minggu dan cuti umum Singapura, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (6 Feb).

Mulai 1 Jan 2027, yuran VEP akan dinaikkan kepada S$50 sehari bagi kereta dan S$7 sehari bagi motosikal, meningkat daripada kadar sedia ada iaitu masing-masing pada S$35 dan S$4 sehari.

LTA menyatakan bahawa 10 hari VEP percuma setiap tahun serta waktu VEP percuma pada hari biasa juga akan dimansuhkan.

Buat masa ini, pemandu yang membawa masuk kereta dan motosikal berdaftar asing ke Singapura menikmati sehingga 10 hari kemasukan percuma setiap tahun.

Kemasukan juga percuma antara pukul 5.00 petang hingga 2.00 pagi keesokan hari, dengan tempoh percuma yang lebih panjang semasa cuti sekolah bulan Jun dan Disember.

Yuran Permit Kenderaan Barangan (GVP) bagi kenderaan barangan berdaftar asing juga akan dinaikkan daripada S$40 kepada S$70 sebulan.

“Pemilik kenderaan barangan berdaftar asing masih boleh membeli GVP pada kadar sedia ada S$40 sebelum yuran baharu berkuat kuasa,” kata LTA.

“Bagaimanapun, GVP yang tempoh sahnya bermula dari tarikh kuat kuasa yuran baharu akan dikenakan bayaran S$70 bagi setiap bulan kalendar.”

LTA secara berkala menyemak yuran bagi kenderaan berdaftar asing di Singapura bagi mengambil kira perubahan kos pemilikan dan penggunaan kenderaan berdaftar Singapura.

“Ini bagi memastikan kos memiliki dan menggunakan kenderaan berdaftar asing di Singapura setimpal dengan kos kenderaan berdaftar Singapura,” kata penguasa itu.

“Perbezaan kos telah melebar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan keperluan untuk menaikkan yuran VEP bagi kereta dan motosikal berdaftar asing serta yuran GVP bagi kenderaan barangan berdaftar asing.”

YURAN ERP BAGI KENDERAAN ASING TANPA OBU

Kenderaan berdaftar asing yang memasuki Singapura tanpa Unit Dalam Kenderaan (OBU) juga akan dikehendaki membayar yuran ERP kadar tetap mulai 1 Jan 2027, kata LTA.

Walaupun OBU tidak diwajibkan bagi kenderaan berdaftar asing, kecuali teksi Malaysia, kenderaan asing tanpa OBU perlu membayar S$10 bagi setiap hari ERP beroperasi, yang kenderaan tersebut menggunakan jalan raya di Singapura, manakala motosikal asing dikenakan bayaran S$3.

Pemilik kenderaan berdaftar asing juga boleh memilih untuk memasang OBU mulai 1 April 2026, kata LTA.

“Bagi menggalakkan lebih banyak kenderaan berdaftar asing memasang OBU sebelum pelaksanaan sistem ERP2, kos OBU untuk pemandu asing akan ditetapkan pada kadar sedia ada S$158.70 (termasuk 9 peratus GST) sehingga 31 Disember 2026,” kata LTA.

Harga OBU tidak termasuk kos pemasangan yang mungkin dikenakan oleh pengedar atau bengkel bertauliah tertentu, dan hanya boleh dipasang di Singapura oleh bengkel serta teknisyen yang dibenarkan.

“Pemandu yang berminat boleh bertanya dengan bengkel OBU yang dibenarkan untuk maklumat lanjut mengenai yuran pemasangan,” menurut LTA.

“LTA akan mengumumkan butiran pemasangan OBU bagi pemandu asing pada masa akan datang.”
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita