SG akan mulakan kajian teknikal bagi 'Long Island'; projek tanah tebus guna ini 2 kali ganda saiz Marina Bay
SINGAPURA: Singapura memulakan kajian teknikal untuk projek berdekad-dekad lamanya bagi menyepadukan langkah-langkah perlindungan pantai dengan rancangan tebus guna tanah di bahagian pantai timur negara ini pada masa akan datang.
Konsep "Long Island" mungkin melibatkan kira-kira 800 hektar tanah tebus guna - hampir seluas 1,142 padang bola - dan berpotensi menyediakan lebih banyak peluang untuk kehidupan dan pekerjaan di kawasan pesisir pantai.
Pulau tebus guna, yang terletak di pinggir pantai Taman East Coast, akan menjadi kira-kira dua kali ganda kawasan darat Teluk Marina, dan akan mewujudkan kawasan air tertutup di hadapan Taman East Coast, mengubahnya menjadi kolam air tawar.
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee mengumumkan permulaan kajian teknikal bagi konsep tersebut semasa melancarkan acara penambahbaikan tapak di Taman East Coast pada Selasa (28 Nov), di mana beliau turut menanam pokok untuk memulakan jejak alam semula jadi yang baharu sejauh 15km merentasi taman tersebut.
Beliau juga menyentuh tentang betapa pentingnya untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan pantai di Singapura.
"Konsep Long Island adalah untuk memperluaskan perlindungan pantai ke arah laut, dengan menebus semula tiga bidang tanah baharu, pada paras yang lebih tinggi, jauh dari garis pantai sedia ada. Ini akan membolehkan kita untuk mengekalkan Taman East Coast sedia ada, sebahagian besarnya seperti sedia ada," kata Encik Lee, sambil menambah bahawa orang ramai juga mahu mengekalkan akses tanpa halangan ke kawasan pantai.
Menurut Encik Lee, Long Island akan mewujudkan peluang untuk generasi seterusnya.
"Mereka boleh membina rumah, mencipta pekerjaan, membangunkan perkhidmatan dan kemudahan yang mereka perlukan, dan menambah kira-kira 20km taman pantai dan kolam air baharu, menjangkaui Taman East Coast sedia ada. Ia akan meningkatkan kawasan pantai Taman East Coast sedia ada sebanyak tiga kali ganda."
Pemerintah akan menjalankan kajian teknikal dalam tempoh lima tahun akan datang untuk meneroka projek Long Island, kata Encik Lee.
Kajian itu, yang akan bermula pada 2024, melibatkan kajian alam sekitar dan kejuruteraan yang meluas untuk menilai sama ada profil tebus guna konseptual boleh dilaksanakan, dan bagi pihak berkuasa untuk merumuskan huraian berasaskan alam semula jadi yang inovatif dan berkesan dari segi kos.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga akan melibatkan orang ramai, seperti kumpulan pencinta alam dan kumpulan-kumpulan riada serta perniagaan dalam rancangan untuk Long Island.
Selepas kajian teknikal selesai dijalankan, pihak berkuasa akan mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai reka bentuk dan pelan induk untuk Long Island, kata Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.