Skip to main content

Singapura

SG akan longgarkan peraturan dron mulai 14 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan longgarkan peraturan dron mulai 14 Feb

Sebuah dron. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

SINGAPURA: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan melonggarkan peraturan berhubung dron mulai 14 Feb, termasuk menggugurkan had bagi jumlah dron dengan berat melebihi 250g yang boleh didaftarkan oleh sesebuah syarikat atau individu.

Ini akan "selanjutnya menyokong penggunaan dron dan pembangunan industri dron yang bermanfaat sambil memastikan keselamatan awam dan penerbangan", menurut CAAS dalam kenyataan medianya pada Jumaat (31 Jan).

Pihak berkuasa juga akan membenarkan operasi komersial pada altitud yang lebih tinggi di kawasan-kawasan yang ditetapkan pada hari-hari biasaa.

Contoh dron termasuk pesawat kawalan radio, dron dan layang-layang kawalan jauh.

GUGURKAN HAD PENDAFTARAN

Buat masa ini, dron dengan berat keseluruhan yang melebihi 250g mesti didaftarkan sebelum ia boleh beroperasi di Singapura.

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) boleh mendaftar sehingga lima dron, manakala mereka yang bukan rakyat atau bukan penduduk boleh mendaftar hanya satu sahaja.

"Had tersebut ditetapkan untuk menangani risiko yang dikaitkan dengan operasi dron. Mereka yang berminat untuk mendaftar dron melebihi had ini perlu mendapatkan kelulusan khas daripada CAAS," jelas penguasa tersebut.

Had itu akan digugurkan mulai 14 Feb. Langkah itu khususnya akan memanfaatkan pengendali dron komersil dan penggemar yang ingin memiliki lebih banyak dron, menurut CAAS.

ALTITUD LEBIH TINGGI PADA HARI BIASA

Sebagai respons kepada maklum balas industri, CAAS, dengan kerjasama Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), telah menjalankan semakan dan akan membenarkan operasi dron komersil sehingga purata 400 kaki (122m) di atas paras laut (AMSL) pada semua hari di kawasan-kawasan yang ditetapkan.

"Kawasan-kawasan yang ditetapkan ini biasanya terletak lebih 6 kilometer dari lapangan terbang di mana aktiviti sedemikian boleh dijalankan dengan selamat tanpa menjejaskan operasi pesawat komersil pada ketinggian ini," kata CAAS.

Ini juga akan berkuat kuasa mulai 14 Feb.

Buat masa ini, operasi dron komersil boleh mencapai 200 kaki AMSL pada semua hari selepas permit diluluskan. Penerbangan melebihi 200 kaki AMSL hanya dibenarkan pada hujung minggu.

MUDAHKAN PELEPASAN RUANG UDARA

Setakat ini, pemegang permit pengendali dikehendaki menghubungi CAAS dan/atau RSAF terlebih dahulu untuk mendapatkan pelepasan ruang udara sebelum memulakan operasi dron mereka. Mereka juga perlu memaklumkan agensi-agensi itu pada akhir operasi masing-masing.

Ini di samping menggunakan aplikasi CFMS FlyItSafe untuk menyatakan tarikh mula dan akhir operasi tersebut.

Mulai 14 Feb, pemegang permit pengendali boleh melaksanakan kedua-dua fungsi itu secara digital melalui aplikasi mudah alih, dengan ciri "Call Approval" baharu. Ini bermakna mereka tidak perlu lagi menghubungi CAAS atau RSAF.

"Bagi kawasan-kawasan tertentu, bergantung kepada ketinggian dan lokasi operasi, dan pada masa tertentu, yang telah dikenal pasti dan mendapat kelulusan terlebih dahulu oleh CAAS dan RSAF, pemegang permit pengendali juga boleh mendapatkan pelepasan segera yang boleh membantu mereka menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti operasi," kata CAAS.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita