Skip to main content

Singapura

SG akan lancar sistem amaran kecemasan baharu Mei ini, bermula dengan pengguna Singtel

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Apr 2026 07:35PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 09:18PM
SINGAPURA: Satu sistem amaran kecemasan baharu yang boleh memintas rangkaian yang padat dan tetapan (setting) mod senyap akan diperkenalkan secara berperingkat mulai Mei ini. Sistem ini bertujuan untuk memaklumkan orang awam tentang kejadian-kejadian serius, bermula dengan pengguna Singtel.

Dikenali sebagai SG Alert, sistem siaran kecemasan ini direka sedemikian rupa untuk memberi amaran pantas kepada orang awam mengenai kebakaran besar, ancaman pengganas, dan bahaya-bahaya lain.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Jumaat (17 April) menyatakan bahawa sistem ini akan diperluaskan kepada pengguna StarHub menjelang hujung 2026, diikuti oleh pengguna M1 dan Simba menjelang pertengahan 2027. Jadual waktu ini juga tertakluk kepada pengguna rangkaian maya (MVNO) yang menyewa rangkaian daripada syarikat-syarikat telko tersebut.

Bagi menguji prestasi sistem, SCDF akan menjalankan ujian awam di seluruh negara untuk pengguna rangkaian Singtel pada 10 Mei pukul 12.00 tengah hari. Maklumat lanjut mengenai ujian ini akan dikongsi apabila tarikh tersebut semakin hampir.

SG Alert dilancarkan dengan kerjasama Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), dan Singtel.

SCDF dalam lembaran fakta medianya menyatakan bahawa sistem ini menggunakan teknologi siaran secara besar-besaran berdasarkan piawai antarabangsa, yang membolehkan banyak mesej dihantar serentak melalui rangkaian mudah alih tempatan tanpa perlu mengumpul sebarang maklumat peribadi pengguna.

Sistem amaran ini beroperasi secara bebas daripada perkhidmatan data mudah alih, jadi ia tetap boleh dihantar walaupun ketika rangkaian sedang padat atau penggunaan memuncak. Dengan membolehkan amaran disiarkan ke seluruh negara atau bagi zon-zon geografi tertentu, sistem ini mengukuhkan rangka kerja komunikasi kecemasan Singapura dengan capaian mudah alih yang selamat, pantas, dan diyakini.

Berbeza dengan aplikasi SGSecure, SG Alert tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi pada telefon bimbit mereka.

Sebaik sahaja dilancarkan selepas 10 Mei, pengguna Singtel akan menerima mesej SG Alert semasa kecemasan, manakala pengguna rangkaian lain akan terus menerima amaran melalui SMS. Berbeza dengan SG Alert, mesej SMS tidak mempunyai nada notifikasi khas dan tidak mampu memintas tetapan mod senyap.

SCDF dan Pasukan Polis Singapura (SPF) akan ditugaskan untuk menghantar mesej SG Alert. SCDF menyatakan bahawa sistem ini melengkapkan platform komunikasi kecemasan sedia ada, seperti sistem amaran awam, siaran televisyen dan radio, media sosial, aplikasi SGSecure, serta aplikasi myResponder.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

SG Alert hanya akan diaktifkan semasa kecemasan seperti kebakaran besar, insiden bahan kimia, atau ancaman pengganas yang memerlukan orang awam mengambil tindakan segera untuk melindungi diri.

Apabila menerima amaran ini, orang awam harus membaca mesej dengan teliti dan mengikut arahan yang diberikan. Mesej tersebut akan mengandungi maklumat utama berkaitan kecemasan - penerangan ringkas tentang kejadian, lokasi yang terjejas, tindakan perlindungan yang perlu diambil, serta pautan rasmi untuk butiran lanjut.

Semua peranti mudah alih perlu dikemas kini kepada sistem operasi (OS) terkini untuk memastikan akses kepada SG Alert tidak terganggu. Secara khusus, ia hanya disokong oleh telefon yang menggunakan Apple iOS 26.4 dan ke atas atau Android OS 12 dan ke atas, dengan kemas kini sistem Google Play terkini mulai 1 Februari 2026.

Amaran akan muncul sebagai notifikasi "pop-up" dengan tajuk SG Alert, disertai dengan amaran unik dan corak gegaran khas selama 10 saat. Amaran ini juga boleh memintas tetapan "jangan ganggu" (do not disturb) atau mod senyap pada peranti.

Bagi sesetengah pengguna, terutamanya model telefon lama, tajuk amaran mungkin dipaparkan sebagai "Presidential Alert" disebabkan oleh masalah keserasian, namun kandungan amaran tetap sama. SG Alert juga boleh diterima oleh peranti lain seperti tablet dan jam tangan bijak yang mempunyai sambungan rangkaian.

BOLEH SASAR KAWASAN TERTENTU

SCDF boleh mengaktifkan SG Alert ke seluruh negara atau menyasarkan kawasan-kawasan tertentu yang terjejas. Orang awam serta pelancong asing yang disambungkan ke rangkaian mudah alih Singapura akan menerima amaran ini.

Amaran akan dihantar dalam Bahasa Inggeris dan bahasa pilihan pengguna pada tetapan telefon bimbit mereka. Peranti yang ditetapkan pada bahasa selain daripada empat bahasa utama di Singapura (Inggeris, Mandarin, Melayu, dan Tamil) akan menerima amaran dalam Bahasa Inggeris.

"Dalam keadaan kecemasan, komunikasi yang cepat dan tepat pada masanya dengan orang awam adalah sangat kritikal," kata Penolong Pesuruhjaya Kanan Alan Chow, Pengarah Kanan Jabatan Operasi SCDF.

Beliau menambah bahawa dengan memperkukuh keupayaan untuk memaklumkan orang awam dengan pantas, Singapura meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan keupayaan respons terhadap kecemasan secara keseluruhannya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita