SG akan laksana Sistem Penyiaran Kecemasan menerusi telefon bimbit jelang awal 2026
Satu sistem amaran kecemasan akan dilaksanakan secara berperingkat di Singapura menjelang awal tahun depan untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang sebarang kecemasan secara langsung melalui telefon bimbit mereka.
Dikenali sebagai "Sistem Penyiaran Telefon Bimbit" atau "Cell Broadcast System", ia akan membolehkan pihak berkuasa untuk memberi amaran segera kepada orang awam yang berada di kawasan terjejas mengenai suatu insiden yang berlaku dan menyampaikan mesej kecemasan kepada telefon bimbit mereka, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong pada Rabu (20 Ogos).
Berucap di Dialog Dasar Strategik ASEAN mengenai Pengurusan Bencana, Encik Tong berkata mesej-mesej berkenaan akan memberi panduan jelas kepada orang awam tentang langkah-langkah perlindungan yang harus diambil.
"Dalam situasi kecemasan, komunikasi yang cepat dan tepat pada masanya dengan orang adalah sangat penting," katanya.
Encik Tong berkata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan untuk melaksanakan sistem tersebut secara berperingkat menjelang awal 2026.
SCDF kini mempunyai sistem amaran awam, iaitu rangkaian semboyan yang ditempatkan di beberapa tlokasi strategik di seluruh Singapura dan bertujuan memberi amaran kepada orang awam tentang sebarang ancaman yang boleh membahayakan nyawa dan harta benda.
Ancaman sedemikian termasuk serangan udara, darat dan laut, serta bencana semula jadi dan buatan manusia.
Sistem amaran awam itu juga menggunakan aplikasi mudah alih SGSecure untuk memberi amaran sewaktu kecemasan.
Selain itu, SCDF juga mempunyai aplikasi myResponder, yang memberi amaran kepada orang ramai tentang insiden kebakaran dan kes-kes perubatan berhampiran, manakala SGSecure adalah inisiatif respons masyarakat Singapura terhadap ancaman pengganasan.
Mediacorp sudah pun menghubungi SCDF bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem Penyiaran Kecemasan baharu itu, termasuk bagaimana ia dapat melengkapi sistem-sistem sedia ada serta syarikat telekomunikasi manakah yang terlibat sama dalam usaha tersebut.
MEMPERTINGKAT KEUPAYAAN PENGURUSAN BENCANA
Sistem itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan inovasi dalam pengurusan bencana bagi menyebarkan mesej-mesej kecemasan dengan lebih berkesan kepada orang awam, kata Encik Tong dalam ucapannya.
Encik Tong berkata masih ada ruang untuk mempertingkatkan ketepatan sistem amaran awal dalam mengesan dan meramal sebarang bahaya.
Oleh demikian, beliau menggesa negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya "memanfaatkan" kemajuan seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkatkan usaha pengurusan bencana.
“Penggunaan teknologi, kesan AI dalam memperkasakan ramalan serta inovasi kita, adalah dua bidang utama dalam pengurusan bencana,” katanya.
Encik Tong memberi contoh sistem ramalan cuaca berasaskan AI yang digunakan di Filipina, yang dapat meramalkan corak cuaca dengan lebih tepat di peringkat kejiranan.
Amaran awal yang dikeluarkan oleh sistem tersebut direka untuk memberi lebih masa kepada para penduduk untuk bersiap sedia menghadapi bencana seperti banjir.
Inovasi dalam bidang teknologi juga mampu menyokong operasi bantuan, seperti yang dipaparkan menerusi penggunaan 10 lipas sibernetik sebagai sebahagian daripada pasukan penyelamat Operasi Lionheart SCDF.
Pasukan seramai 80 anggota itu dikerahkan ke Myanmar bagi menyokong operasi bantuan menyusuli gempa bumi sekuat 7.7 magnitud yang melanda negara itu pada Mac lalu.
Menurut kenyataan media oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), ia bukan sahaja kali pertama lipas sibernetik digunakan di lapangan, malah ia juga kali pertama robot seumpamanya digunakan dalam operasi kemanusiaan di peringkat global.
Menurut HTX, lipas sibernetik itu dilengkapi dengan kamera inframerah dan sensor, yang membantu para penyelamat mencari mangsa yang mungkin masih hidup di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas oleh bencana tersebut di di Naypyitaw.
Memberi contoh penggunaan lipas sibernetik tersebut, Encik Tong berkata ia turut membantu dalam usaha mencari dan menyelamat di bahagian-bahagian bawah runtuhan yang sukar diakses.
“Apa yang ingin saya katakan adalah dengan inovasi, kita boleh mencuba, bereksperimen dan memikirkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kebolehan kita,” tambah beliau.
MEMPERKUKUH TAHAP KESIAPSIAGAAN KECEMASAN SERANTAU
Menurut Encik Tong, dua bidang lain yang penting bagi kesiapsiagaan bencana ASEAN untuk sedekad akan datang ialah lokalisasi dan perkongsian pengetahuan.
Beliau menarik perhatian bahawa ASEAN memperluas keupayaannya untuk menguruskan bencana secara berterusan.
Ini termasuk Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN- ERAT), yang sudah pun dilengkapi dengan kemahiran khusus untuk “melaksanakan penilaian keperluan pada tahap tinggi yang sangat canggih serta memudahkan bantuan kemanusiaan”, membolehkannya menyokong dalam usaha bantuan negara-negara yang dilanda bencana.
Tiga pegawai SCDF merupakan sebahagian daripada pasukan ERAT yang menyokong usaha bantuan gempa bumi di Myanmar.
Bilangan anggota pasukan tersebut juga meningkat daripada 322 pada 2021 kepada 457 pada 2025, dengan Encik Tong menyifatkannya sebagai suatu perkembangan yang “menggalakkan” dan “bukti konsistensi serta nilai latihan dan pembinaan kapasiti kita”.
Namun, beliau menegaskan bahawa "pendekatan seragam tidak boleh memenuhi keperluan rantau yang rencam seperti ASEAN".
Respons bencana perlu disesuaikan, dan Encik Tong berkata usaha sudah dijalankan bagi menyesuaikan program ASEAN-ERAT dengan keperluan dan konteks setiap negara.
Usaha itu termasuk menyesuaikan kurikulum dengan mengambil kira kemampuan logistik setiap negara serta penggunaan bahasa tempatan.
“Ini memastikan bahawa pihak tempatan dapat bertindak balas terhadap kecemasan bukan sahaja dengan cepat, tetapi juga dengan cara yang paling berkesan,” katanya.
Sambil berkongsi tentang inisiatif Desa Tangguh Bencana di Indonesia, Encik Tong menekankan bagaimana wakil masyarakat tempatan di kampung Panuspan bekerjasama untuk memetakan laluan pemindahan serta mengenal pasti lokasi-lokasi untuk memasang semboyan amaran bagi kejadian tanah runtuh.
Beliau turut menukil rancangan pemindahan yang diatur oleh persatuan warga emas di Phu Thuong, Vietnam, bagi membantu penduduk berkeperluan khas ketika berlaku ribut dan banjir.
Maklumat terperinci dalam perancangan tersebut membantu "memastikan mereka dapat dipindahkan segera ke tempat lebih selamat ketika berlaku Taufan Noru pada 2022".
Perkongsian pengetahuan rentas sempadan juga menjadi penting, kata Encik Tong.
Beliau menyorot platform seperti ADialog Strategik ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Ekspo Pengurusan Bencana dan Kecemasan Antarabangsa-Singapura pada November ini, yang akan menghimpunkan kumpulan pemerintah, ahli-ahli akademik dan kumpulan masyarakat.
Acara itu adalah pameran terbesar berhubung pengurusan bencana dan respons kecemasan di Asia Pasifik, merangkumi topik seperti “ketahanan masyarakat dan ketahanan psikologi masyarakat”, kata beliau.
Rakan-rakan kongsi seperti Korea Selatan sudah pun menyumbang kepada pengurusan bencana ASEAN dengan melatih 320 individu serta menyediakan latihan simulasi bencana melalui lawatan ke pusat kawalan insiden mereka.
Encik Tong turut menggesa ASEAN supaya terus memanfaatkan pengalaman negara-negara lain, termasuk Korea Selatan, Jepun dan China.
“Saya fikir kita semua bermula dengan perspektif bahawa tiada siapa yang memonopolikan idea yang baik – lebih banyak kita berkongsi, lebih banyak kita membincangkan senario, lebih banyak yang dapat kita berkongsi berhubung amalan terbaik dan kepakaran, lebih kuat kita jadi, dan lebih tinggi tahap yang boleh kita capai,” katanya.
PERJALANAN PENGURUSAN BENCANA ASEAN
Encik Tong berkata tahun 2025 menandakan beberapa detik penting dalam perjalanan pengurusan bencana ASEAN.
Beliau menyatakan bahawa ini adalah edisi ke-10 Dialog Strategik ASEAN mengenai Pengurusan Bencana, sambil menambah bahawa acara tersebut sudah berkembang menjadi platform penting bagi para penggubal dasar, ahli-ahli akademik dan para pengamal untuk bertukar-tukar idea serta strategi.
Sepanjang dekad lalu, ia sudah pun memupuk kerjasama serantau dari segi kesiapsiagaan dan respons bencana.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-20 Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Darurat (AADMER), yang ditubuhkan selepas berlaku tsunami Lautan Hindi pada 2004.
“Kerana AADMER, ASEAN telah memperkukuh keupayaan respons bencananya, dan ini membolehkan kita sedikit sebanyak mengurangkan kemusnahan akibat bencana alam seperti Taufan Tropika Wipha,” katanya.
Meskipun bencana alam semakin kerap berlaku dan bertambah teruk akibat perubahan iklim, Encik Tong menegaskan bahawa ASEAN sudah mencapai “kemajuan besar” dalam pengurusan bencana sepanjang dua dekad lalu.
Pada Julai lalu, Taufan Tropika Wipha melanda Laos dan Filipina, menimpakan kerosakan terhadap infrastruktur dan tanah pertanian. Vietnam juga terjejas.
Namun, kesannya dapat dikurangkan sedikit, kata Encik Tong.
Beliau merujuk kepada bagaimana bekalan kecemasan serantau, seperti kit kebersihan dan kit perlindungan, yang disimpan di bawah Sistem Logistik Kecemasan Bencana bagi ASEAN, dihantar segera dari gudang satelit yang terletak di bandar Quezon bagi membantu masyarakat di kawasan terpencil yang terjejas.
Landskap bencana, dengan pengaruh perubahan iklim, berkembang pesat, kata Encik Tong.
“Dalam landskap yang pesat berubah ini – bukan sahaja dalam bidang teknologi, tetapi juga landskap bencana dengan pengaruh perubahan iklim – ia semakin sukar diramal, malah menjadi lebih tidak menentu,” kata beliau.
“Namun begitu, saya yakin bahawa dengan semangat kerjasama yang sama, kesediaan untuk berkongsi ilmu dan kebijaksanaan serta amalan terbaik dan pandangan jauh, sebagaimana yang kita lakukan 20 tahun lalu dengan menandatangani AADMER, saya fikir kita boleh kekal berdaya tahan sebagai sebuah rantau.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.