Skip to main content

Singapura

SG akan labur S$800j dalam usaha kurangkan pengeluaran karbon dalam 5 tahun mendatang

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan labur S$800j dalam usaha kurangkan pengeluaran karbon dalam 5 tahun mendatang

Gambar fail panel suria. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Mar 2026 06:29PM Dikemas Kini : 02 Mar 2026 06:30PM
SINGAPURA: Singapura akan menyuntik S$800 juta ke dalam usaha pengurangan karbon dalam tempoh lima tahun akan datang, sedang ia mempertingkatkan usaha untuk mencapai sasaran pengurangan pengeluaran 2035 dan matlamat bebas karbon menjelang 2050.

"Berdasarkan usaha-usaha lalu, kami meningkatkan pelaburan dengan ketara dalam huraian yang berpotensi untuk mengurangkan pengeluaran sektor kuasa dan industri, dan pada masa yang sama, memastikan sistem kuasa yang boleh dipercayai dan berdaya tahan," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga merangkap Sains dan Teknologi, Tan See Leng di parlimen pada Isnin (2 Mac).

Pembiayaan itu adalah salah satu daripada dua "cabaran besar" - iaitu program penyelidikan dan peralihan berskala besar untuk memajukan keutamaan strategik negara - di bawah rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 peringkat kebangsaan.

Proses perindustrian dan penjanaan kuasa secara bersama menyumbang lebih 80 peratus pengeluaran gas rumah hijau di Singapura.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan menyatakan bahawa pelaburan itu akan menumpukan kepada teknologi yang boleh mengurangkan karbon dalam kedua-dua sektor ini secara besar-besaran.

Contohnya termasuk tenaga suria, hidrogen dan terbitannya, kecekapan tenaga, penyimpanan tenaga, penangkapan dan penggunaan karbon, serta pemodenan grid elektrik.

Pembiayaan ini akan menyokong penyelidikan makmal peringkat awal dan juga projek perintis bagi huraian yang lebih matang.

Dr Tan juga mengumumkan pelancaran program baharu yang dipanggil 'Singapore Pilots for Energy and Enterprise Decarbonisation' untuk menyokong aktiviti penyelidikan, pembangunan dan demonstrasi tempatan serta menarik pelaburan privet.

Program itu akan menggabungkan pemilik kemudahan, pelabur, dan agensi pemerintah untuk menguji dan menyokong pembangunan inovasi yang berpotensi.

PELABURAN DALAM SEMIKONDUKTOR

Dr Tan turut mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak S$800 juta untuk menubuhkan RIE Flagship dalam bidang semikonduktor, dengan tumpuan kepada bidang teknologi berimpak tinggi seperti pembungkusan maju dan fotonik maju.

"Program utama ini akan menukarkan hasil penyelidikan kepada produk dan menggalakkan lebih banyak aktiviti R&D serta pembuatan maju, sekali gus mewujudkan pekerjaan yang baik di Singapura," katanya.

Semikonduktor menyumbang hampir 7 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura, dan permintaan global untuk cip terus meningkat.

Program ini bertujuan untuk meletakkan Singapura sebagai pusat yang penting secara strategik bagi penyelidikan dan pembangunan semikonduktor.

Menurut Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), program itu akan menggunakan pendekatan portfolio yang tersusun untuk menggabungkan usaha R&D semikonduktor Singapura yang dibiayai awam di bawah satu hala tuju strategik yang dikongsi bersama.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita