Skip to main content

Singapura

SG akan labur S$800 juta dalam penyelidikan pengangkutan di bawah RIE2030

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jul 2026 06:53PM Dikemas Kini : 08 Jul 2026 03:12PM
SINGAPURA: Singapura akan melaburkan S$800 juta dalam penyelidikan pengangkutan bagi tempoh lima tahun, iaitu lebih seganda berbanding perbelanjaan sebelum ini, dalam usahanya untuk kekal sebagai hab pengangkutan global.

Kira-kira dua pertiga daripada dana tersebut akan disalurkan kepada dua keutamaan: sistem autonomi (tanpa pemandu) dan teknologi kembar digital untuk ketersambungan.

Baki dana pula akan menyokong penyelidikan khusus dalam sektor penerbangan, maritim, dan pengangkutan darat.

Pembiayaan ini diumumkan di bawah program Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 oleh Yayasan Penyelidikan Nasional, dan akan menyokong penyelidikan yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

Pemangku Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow, mengumumkan dana tersebut pada Selasa (7 Jul) semasa usul mengenai strategi pengangkutan Singapura, yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pengangkutan dan diketuai oleh pengerusinya, Tin Pei Ling (PAP-GRC Marine Parade-Braddell Heights).

Dalam ucapannya, Cik Tin berkata Singapura perlu memperkukuh strategi pengangkutan jangka panjangnya untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

Encik Siow pula menyatakan bahawa Singapura perlu dilihat sebagai peneraju pemikiran global dalam bidang pengangkutan, sambil memberi amaran bahawa ketersambungan tidak lagi boleh bergantung kepada infrastruktur fizikal semata-mata.

"Rangkaian rantaian bekalan kini menjadi semakin berpecah-pecah dan lebih tersebar," katanya.

"Jika Singapura sekadar menjadi tempat yang hanya dilalui oleh aliran kargo, maka suatu hari nanti aliran ini akan melepasi kita begitu sahaja."

Beliau menambah bahawa ketersambungan akan semakin bergantung kepada teknologi, di mana syarikat penghantaran dan pengembara memilih Singapura bukan kerana teknologi hak milik eksklusif, tetapi kerana negara ini lebih cekap, lebih terhubung, dan "lebih boleh dipercayai berbanding pilihan lain".

SISTEM AUTONOMI, KEMBAR DIGITAL

Menteri Negara bagi Pengangkutan, Baey Yam Keng, berkata pembiayaan itu akan menyokong penyelidikan dalam model operasi baharu menggunakan kenderaan autonomi, kapal laut automatik, dan robotik di seluruh pelabuhan, lapangan terbang, dan rangkaian logistik Singapura.

Beliau berkata penggunaan kenderaan autonomi, kapal laut automatik, dan robotik yang lebih meluas akan membolehkan jumlah kargo yang lebih besar dikendalikan dengan lebih cekap, sekali gus membolehkan para pekerja memberi tumpuan kepada tugas yang memerlukan pertimbangan dan kepakaran manusia.

Rangkaian kerja sistem autonomi ini bertujuan untuk membolehkan operasi pengangkutan yang lebih selamat, berskala besar, dan kurang menggunakan tenaga kerja di darat, laut, dan udara dengan menggabungkan platform autonomi, kecerdasan buatan (AI), dan robotik.

Penyelidikan itu termasuklah rangka kerja ujian dan pensijilan generasi akan datang untuk kenderaan autonomi dan sistem penerbangan tanpa pemandu (dron), serta operasi maritim autonomi dan pemindahan kargo menggunakan robotik serta AI terjelma (embodied AI).

"Dengan jumlah kargo kita yang tinggi serta persekitaran kawal selia yang menyokong, Singapura boleh berfungsi sebagai 'makmal hidup' dunia sebenar untuk menguji dan melaksanakan penyelesaian ini pada skala besar. Apabila ia terbukti berjaya di sini, ia boleh diguna pakai di peringkat antarabangsa," kata Encik Baey.

Inisiatif kembar digital pula bertujuan untuk menambah baik pergerakan kargo dan penumpang dengan menyepadukan data pengangkutan merentasi rangkaian darat, laut, dan udara, serta menggunakan simulasi berasaskan AI untuk menyokong perancangan dan operasi.

Antara penggunaannya termasuklah ramalan cuaca yang lebih baik untuk mengurangkan gangguan kepada operasi lapangan terbang dan pengurusan trafik darat pintar bagi menambah baik aliran lalu lintas jalan raya.

PENERBANGAN, MARITIM, PENGANGKUTAN DARAT

Dalam sektor penerbangan, penyelidikan akan menumpukan kepada penggunaan AI untuk mengoptimumkan pergerakan penerbangan di lapangan terbang, mengurangkan masa penerbangan dan pengeluaran karbon, serta mengurangkan gangguan akibat cuaca di samping meringankan beban kerja pengawal trafik udara.

AI dan automasi juga akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi di kawasan apron (airside), serta membantu pekerja melakukan tugas yang memerlukan tenaga fizikal yang kuat seperti pengendalian bagasi.

Bagi sektor maritim, penyelidikan akan berpusat kepada operasi pelabuhan autonomi dan perkhidmatan pelabuhan bersepadu yang pintar, sedang Singapura bersedia untuk melayani jumlah kapal yang semakin meningkat di tengah-tengah ruang laut dan tenaga kerja yang semakin terhad.

Pelaburan ini akan digunakan untuk teknologi AI bagi menganalisis kecekapan pelabuhan, menguruskan trafik kapal secara ramalan, dan menyelaraskan perkhidmatan pelabuhan dengan lebih pintar. Ini bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu kapal dan melancarkan lagi operasi.

Dana tersebut juga akan menyokong usaha penghapusan karbon sektor berkenaan, termasuk peralatan untuk mengesan dan meramal penyebaran kebocoran bahan api atau bahan kimia bagi menyokong penggunaan bahan api alternatif secara selamat.

Dalam sektor pengangkutan darat, penyelidikan akan ditumpukan kepada teknologi transit massa autonomi generasi akan datang dan depoh kereta api automatik, termasuk ujian peningkatan potensi untuk menambah baik prestasi sistem kereta api.

Bidang lain termasuklah teknologi kereta api yang memudahkan reka bentuk sistem dan mengurangkan keperluan penyelenggaraan, serta depoh kereta api berautomasi tinggi yang menggunakan AI dan alat deria untuk penyelenggaraan ramalan.

RIE2030 dibina berasaskan program RIE2025, yang sebelum ini membiayai program penyelidikan berasingan untuk penerbangan, maritim, dan mobiliti bandar.

Pembiayaan baharu ini terbuka kepada institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan, manakala syarikat swasta boleh mengambil bahagian melalui kerjasama dengan institusi-institusi tersebut.

Butiran lanjut mengenai proses permohonan akan diumumkan sepanjang tempoh pelaksanaan RIE2030.

Encik Baey berkata usaha ini akan membantu Singapura "melakukan lebih banyak perkara dengan sumber yang lebih sedikit".

"Kami akan memanfaatkan tenaga kerja kami dengan lebih baik dalam persekitaran buruh yang semakin terhad, di samping menggunakan kurang ruang dan mengurangkan pengeluaran karbon, supaya Singapura kekal teguh sebagai hab pengangkutan dan ketersambungan global," katanya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita