Skip to main content

Singapura

SG akan labur lebih S$6 juta latih pegawai penerbangan, maritim luar negara

Singapura akan melabur lebih S$6 juta untuk melatih pegawai penerbangan dan maritim di merata dunia, terutama mereka dari negara-negara membangun.
 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jul 2025 05:00PM Dikemas Kini : 29 Jul 2025 01:11PM
SINGAPURA: Singapura akan melabur lebih S$6 juta untuk melatih pegawai penerbangan dan maritim di merata dunia, terutama mereka dari negara-negara membangun.

Tujuannya adalah untuk mengukuhkan kerjasama global bagi menangani cabaran seperti ancaman keselamatan siber.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata langkah tersebut amat penting terutamanya untuk isu-isu yang merentasi sempadan negara.

"Institusi pelbagai pihak seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) adalah tunggak-tunggak asas bagi aturan antarabangsa berasaskan peraturan," kata Encik Siow.

"Mereka mewujudkan rangka kerja berasaskan peraturan jelas yang menyokong pergerakan manusia dan barangan melalui udara dan laut dengan selamat dan tanpa gangguan, walaupun semasa krisis. Mereka berfungsi sebagai platform untuk tindakan kolektif dan kerjasama global," tambah beliau.

Encik Siow berkata demikian di Simposium Penerbangan dan Maritim Global pada Isnin (14 Jul).

Kira-kira 500 pemimpin industri dari sekitar 80 negara menghadiri acara tersebut.

Singapura akan menyediakan lebih 300 biasiswa di bawah ICAO untuk melatih karyawan penerbangan dari negara-negara membangun.

Ia juga akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk program latihan maritim mengenai bahan api alternatif dan pendigitalan.

Satu program latihan baharu turut dilancarkan untuk Negara-negara Pulau Kecil Membangun dalam sektor penerbangan dan maritim.

Kursus pertama bermula tahun hadapan dan akan memberi tumpuan kepada usaha membantu para pelatih menangani cabaran yang dihadapi oleh negara masing-masing.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita