Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG akan kurangkan sokongan kewangan COVID-19; vaksin & ubat antivirus tetap diberi subsidi penuh

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura akan mengurangkan lagi sokongan kewangan bagi ujian dan rawatan COVID-19, sekalipun vaksin dan ubat bagi pesakit yang layak akan terus diberikan subsidi penuh, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (9 Feb). 

Perubahan-perubahan itu akan mula berkuat kuasa pada 1 April dan dengan itu, sokongan kewangan bagi ujian dan rawatan COVID-19 akan diselaraskan dengan penyakit-penyakit akut yang lain. 

Ini selepas Singapura menurunkan tahap amaran Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON) dari warna kuning ke hijau dan melonggarkan lagi langkah-langkah masyarakat yang lain mulai 13 Februari. 

Semasa berucap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menarik perhatian, sepanjang pandemik, ujian dan rawatan COVID-19 secara amnya ditawarkan secara percuma atau pada bayaran yang sangat rendah bagi penduduk negara ini. 

"Memandangkan COVID-19 adalah penyakit yang tidak diketahui, maka penting untuk kita menghapuskan ketidaktentuan dan keprihatinan terhadap kos ujian dan kita sudah mengekalkan dasar itu selama hampir tiga tahun. 

"Di tahap DORSCON Hijau, kami mewujudkan norma baru untuk hidup bersama penyakit tersebut," ujar Encik Ong. 

TIDAK LAGI DIBERIKAN SUBSIDI PENUH

Mulai April, semua pesakit COVID-19, termasuk warga Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang, yang menerima rawatan di hospital atau kemudahan rawatan COVID-19 tidak akan diberikan subsidi 100 peratus, tanpa mengira status vaksinasi mereka. 

Sebaliknya, jaringan keselamatan jagaan kesihatan biasa, khususnya subsidi pemerintah, MediShield Hayat dan MediSave, boleh digunakan oleh warga Singapura dan PR untuk menampung perbelanjaan jagaan kesihatan mereka. 

"Kami ingin meyakinkan semua warga Singapura yang berpendapatan rendah bahawa bantuan kewangan akan terus dihulurkan untuk memastikan kos jagaan kesihatan kekal dimampui," menurut MOH. 

Kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat tidak lagi diperlukan bagi COVID-19, sama seperti ia tidak diperlukan bagi penyakit-penyakit endemik yang lain seperti demam selesema atau sakit cacar, tambah MOH. 

Pemerintah akan mengekalkan sesetengah kemudahan pengasingan masyarakat bagi pesakit COVID-19 yang ingin mengasingkan diri "atas sebab-sebab tertentu". Semua pesakit bagaimanapun akan dikenakan bayaran sepanjang tempoh rawatan mereka di sana. 

Memandangkan kemudahan pengasingan masyarakat bukan kemudahan perubatan, warga Singapura dan PR tidak boleh menggunakan subsidi pemerintah, MediShield Hayat atau MediSave untuk melunaskan bil mereka, menurut MOH lagi. 

Dalam persekitaran jagaan utama di poliklinik dan klinik swasta (GP), semua pesakit dikehendaki membuat bayaran bagi sebarang ujian COVID-19, tertakluk kepada subsidi sedia ada. 

VAKSIN TETAP PERCUMA

Vaksinasi dan ubat antivirus oral COVID-19 tetap akan diberikan subsidi sepenuhnya bagi pesakit yang layak, iaitu pesakit yang tidak dimasukkan ke hospital, termasuk jagaan asas, rawatan di hospital awam dan rumah jagaan, sehingga diberitahu kelak. 

Suntikan COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Nasional akan terus ditawarkan secara percuma kepada semua warga Singapura, PR, pemegang pas jangka panjang dan pemegang pas jangka pendek tertentu. 

"Ini kerana ia merupakan langkah-langkah pencegahan dan rawatan penting untuk mencegah penyakit serius dan daripada dimasukkan ke hospital, dan akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita hidup bersama COVID-19," menurut MOH. 

Encik Ong menarik perhatian bahawa MOH sedang menimbangkan untuk menawarkan semua vaksin yang disarankan di peringkat nasional secara percuma di bawah inisiatif SG Lebih Sihat. Memandangkan suntikan vaksin COVID-19 buat masa ini bukan vaksin yang disarankan di peringkat nasional, sekiranya ia disarankan kelak, ia akan ditawarkan secara percuma di bawah SG Lebih Sihat, kata Encik Ong. 

Pesakit yang berisiko tinggi mengalami COVID-19 lebih serius, seperti individu yang sistem imun mereka terjejas dan berkomorbiditi, juga boleh dirujuk oleh doktor mereka untuk mendapatkan sokongan teleperubatan secara percuma. 

MOH menekankan bahawa vaksinasi kekal sebagai "benteng utama kita" terhadap COVID-19, dan kadar vaksinasi yang tinggi di Singapura membolehkan negara ini mencapai norma endemik COVID-19 hari ini. 

Daripada penduduk yang layak menerima vaksin COVID-19, 83 peratus sudahpun menerima perlindungan minimum, manakala 48 peratus sudahpun menerima vaksinasi terkini, menurut data MOH setakat 7 Februari. 

Individu yang menerima sekurang-kurangnya perlindungan minimum dan menerima suntikan dos terakhir mereka dalam tempoh setahun lalu, dianggap mempunyai perlindungan terkini. 

GARIS PANDUAN VAKSIN DIKEMAS KINI

Dengan peralihan ke norma endemik yang baru, Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 turut mengemas kini garis panduan vaksinasi. 

Semua individu berusia lima tahun dan ke atas seharusnya menerima sekurang-kurangnya perlindungan minimum - iaitu tiga dos vaksin mRNA atau Novavax, atau empat dos vaksin Sinovac. 

Bagi dos penggalak, mereka yang berisiko tinggi mengalami penyakit serius akibat COVID-19 - individu berusia 60 tahun dan ke atas, mudah jatuh sakit dan penghuni kemudahan jagaan kesihatan - disarankan mengambil suntikan itu sekitar setahun selepas menerima suntikan dos pengggalak terakhir mereka. Mereka digesa untuk menerima dos penggalak mereka tahun ini apabila sudah layak.

Individu berusia antara 12 hingga 59 tahun yang sihat kurang berisiko mengalami penyakit serius dan dos penggalak akan ditawarkan kira-kira setahun selepas dos penggalak terakhir mereka untuk mengukuhkan lagi perlindungan. 

Kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun tidak disarankan ataupun layak untuk menerima dos tambahan melebihi perlindungan minimum. 

Kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun terus disarankan untuk mendapatkan dua dos Moderna/Spikevax atau tiga dos Pfizer-BioNTech/Comirnaty. Mereka tidak disarankan ataupun layak untuk menerima dos tambahan buat masa ini. 

Semua individu yang layak menerima vaksin COVID-19 boleh membuat janji temu vaksinasi COVID-19 di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC), Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) tertentu, poliklinik dan Pusat Vaksinasi. 

MOH akan terus mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak ke lokasi-lokasi kejiranan. Mulai 15 Februari hingga 2 April, pasukan-pasukan itu akan dikerahkan ke beberapa lokasi kejiranan selama tiga hari setiap kali. 

Syarat vaksinasi COVID-19 bagi permohonan PR, pas jangka panjang dan pas kerja, serta pembaharuan permit kerja dan pemegang Pas S tertentu dalam sektor Binaan, Limbungan Kapal dan Pemprosesan (CMP) atau menetap di dormitori, akan dikekalkan untuk memastikan tahap tinggi perlindungan vaksinasi di Singapura, tambah MOH. 

Mulai 1 April, mereka yang baru pulih daripada COVID-19 baru-baru ini tidak lagi akan diberikan pengecualian sementara daripada syarat-syarat vaksinasi COVID-19. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan