Skip to main content

Singapura

SG akan kawal selia kad dagangan bagi kurangkan risiko judi

Pek kad dagangan (trading card) akan dikawal selia tidak lama lagi di Singapura, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (27 Feb), sebagai sebahagian daripada langkah negara untuk menangani risiko berkaitan perjudian yang berpunca daripada penjualan kotak-kotak misteri (blind box).
Anggaran Waktu Membaca:
SG akan kawal selia kad dagangan bagi kurangkan risiko judi
Seorang pemain memegang koleksi kad dagang Pokemon di Anaheim, California, pada 16 Ogos 2025. (Gambar fail: AFP/Frederic J Brown)
SINGAPURA: Pek kad dagangan (trading card) akan dikawal selia tidak lama lagi di Singapura, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (27 Feb), sebagai sebahagian daripada langkah negara untuk menangani risiko berkaitan perjudian yang berpunca daripada penjualan kotak-kotak misteri (blind box).

Kotak misteri merujuk kepada bungkusan yang ditutup di mana kandungannya, lazimnya koleksi mainan, figura atau kad, tidak didedahkan kepada pembeli pada waktu pembelian.

“MHA dan Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA) berhasrat untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia penjualan kotak misteri, termasuk pek kad dagangan, bagi mengurangkan risiko yang mendorong perjudian,” kata MHA kepada Mediacorp pada Jumaat.

“Kami sedang merangka peraturan tersebut dan akan berkongsi butiran lanjut apabila ia siap. Garis masa pelaksanaannya juga akan dimaklumkan kelak.”

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, ketika menjawab soalan di parlimen awal bulan ini, berkata kementeriannya bersama GRA sedang merangka peraturan berhubung cara kotak-kotak misteri boleh ditawarkan.

Di bawah Akta Kawalan Perjudian, beberapa jenis perkhidmatan perjudian berisiko rendah tertentu, seperti cabutan bertuah, dibenarkan untuk ditawarkan di bawah rejim lesen kelas, yang tidak memerlukan permohonan lesen daripada GRA.

Bagaimanapun, khidmat sosial memberi amaran bahawa tindakan membiasakan pembelian kotak-kotak misteri dan permainan lain berasaskan peluang boleh menimbulkan kebimbangan serius terhadap kanak-kanak dan golongan belia, di mana keterujaan terhadap unsur yang tidak menentu boleh mendorong tingkah laku kompulsif, atau mencetuskan keresahan dan kemurungan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita