Skip to main content

Singapura

SG akan haramkan lori berpagar bawa pekerja mulai 2027

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan haramkan lori berpagar bawa pekerja mulai 2027
Lori berpagar. (Gambar: MOT dan LTA)
Diterbitkan : 04 Mar 2026 11:33PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 11:35PM
SINGAPURA: Singapura akan mengharamkan penggunaan lori berpagar untuk membawa pekerja mulai tahun depan, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Sun Xueling pada Rabu (4 Mac).

Cik Sun membuat pengumuman itu semasa perbahasan peruntukan belanjawan kementeriannya di parlimen, sambil menarik perhatian kepada risiko keselamatan.

"Contohnya, jika lori dengan pintu berpagar yang dikunci dari luar terlibat dalam kemalangan atau kebakaran, pekerja mungkin tidak dapat melarikan diri," katanya.

Kira-kira 500 hingga 1,000 daripada 50,000 lori di Singapura mempunyai bahagian yang berpagar. Lori sedemikian masih boleh digunakan untuk mengangkut barang.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa syarikat yang gagal mematuhi akan berdepan denda, dengan butiran akan diumumkan sebelum tarikh akhir 2027.

Sementara itu, firma mesti memastikan pekerja mempunyai akses yang selamat ke dan dari bahagian belakang lori itu, kata agensi tersebut.

Syarikat yang ingin terus menggunakan lori berpagar untuk membawa pekerja boleh menukar bahagian belakang lori untuk memasang kanopi dan pagar penghadang.

“Pemerintah akan terus terlibat dan bekerjasama dengan industri dan pertubuhan bukan pemerintah untuk memperkukuh langkah keselamatan bagi pengangkutan pekerja,” kata MOT dan LTA.

Majlis Pekerja Hijrahan (MWC), yang bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mengalu-alukan pengumuman itu, sambil menyifatkannya sebagai "langkah yang ketara".

"Larangan baharu untuk menggunakan lori berpagar untuk membawa pekerja dan peralatan secara serentak adalah langkah penting yang secara langsung menangani kebimbangan keselamatan yang sudah lama berlarutan untuk pekerja hijrahan di jalan raya kita," kata MWC dalam catatannya di Facebook.

MWC menyatakan bahawa ia secara konsisten menyokong aturan pengangkutan yang lebih selamat untuk pekerja hijrahan, terutamanya apabila lori digunakan.

"Keselamatan mesti sentiasa diutamakan. Setiap pekerja berhak untuk pergi dan balik kerja dengan selamat," tambah MWC.

PERBAHASAN YANG BERPANJANGAN

Keselamatan membawa pekerja naik lori menjadi perbahasan sejak sekian lama di Singapura.

Tahun lalu, kumpulan hak pekerja hijrahan, Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migrasi (HOME) menggesa pemerintah supaya mengharamkan amalan tersebut.

Berdasarkan laporan itu, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) ketika itu, Ong Hua Han, bertanya di parlimen sama ada pemerintah akan mempertimbangkan usulan HOME untuk menyediakan subsidi pengangkutan supaya firma-firma boleh menyewa bas untuk pekerja.

Menteri Pengangkutan ketika itu, Chee Hong Tat, berkata dalam jawapan bertulis bahawa pengharaman pengangkutan lori tidak boleh dilaksanakan, dan dengan berbuat demikian, ia akan memberi kesan serius kepada banyak perusahaan kecil dan sederhana - berpotensi menyebabkan kehilangan pekerjaan, kelengahan projek dan kos yang lebih tinggi untuk pengguna.

Dalam jawapan bertulis yang berasingan, Encik Chee berkata bahawa sepanjang 10 tahun yang lalu, purata seorang pekerja maut setahun, melibatkan pengangkutan lori.

Beliau menambah bahawa purata bilangan pekerja yang cedera semasa dibawa dengan lori turun lebih daripada 25 peratus - daripada 215 kes antara 2015 dengan 2019, kepada 161 antara 2020 dan 2024.

Pada Januari tahun ini, perlanggaran antara sebuah kereta dengan lori di Orchard Road menyebabkan 13 orang dibawa ke hospital, termasuk 12 penumpang lori.

Pada Disember tahun lalu, seorang lelaki berusia 33 tahun dihukum penjara selama 27 bulan selepas memandu pada kelajuan sehingga seganda had laju dan merempuh sebuah lori yang membawa pekerja hijrahan pada 2023.

Sembilan pekerja dari India cedera parah, dengan empat daripadanya memerlukan pembedahan.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita