Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG akan hantar bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza di tengah perjanjian gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan hantar bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza di tengah perjanjian gencatan senjata

Bekalan bantuan kemanusiaan Singapura dipunggah dari pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) di Amman, Jordan. (Gambar fail: MINDEF)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 04:47PM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 04:48PM
SINGAPURA: Singapura akan menghantar agihan bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza yang terdiri daripada makanan, bekalan keperluan asas dan bekalan perubatan, di tengah-tengah perjanjian gencatan senjata yang telah menghentikan pertempuran di rantau itu.

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan memberitahu Parlimen pada Selasa (4 Feb) bahawa beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Safadi pada Isnin (3 Feb) untuk mengesahkan penghantaran tersebut.

Makanan dan bekalan akan dihantar oleh pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan ia akan dihantar kepada rakan kongsi Singapura, Jordan.

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) juga akan memulakan pengumpulan dana selanjutnya untuk Gaza semasa bulan Ramadan.

Dr Balakrishnan berkata demikian semasa menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai situasi di Gaza di tengah-tengah perang Israel-Hamas.

Encik Ang Wei Neng (PAP-West Coast) bertanya sama ada Singapura akan memberikan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada Gaza berikutan gencatan senjata baru-baru ini.

Hamas dan Israel mencapai perjanjian gencatan senjata, yang menghentikan pertempuran di Carikan Gaza sejak 19 Jan, yang memudahkan pertukaran tebusan dan tahanan di kedua-dua pihak, antaranya lima pekerja ladang warga Thailand yang ditahan selama lebih setahun di Gaza.

“Penghantaran bantuan tanpa sekatan mesti diteruskan, dan kami menggesa semua pihak untuk mencapai kata sepakat bagi fasa-fasa berikutnya... demi mencapai, seperti yang diharapkan, gencatan senjata yang berkekalan dan pembebasan semua tebusan dan untuk membolehkan pembinaan semula Gaza,” kata Dr Balakrishnan.

"Kami berharap dapat melakukan lebih banyak lagi secara bersama-sama, dan kami berharap dapat menghulurkan lebih banyak bantuan kepada orang awam di Gaza sedang mereka membina semula kediaman dan kehidupan mereka."

Sejak perang Israel-Hamas meletus pada Oktober 2023, Singapura telah menghantar enam agihan bantuan kemanusiaan ke Gaza, berjumlah lebih S$19 juta.

Agihan bantuan terkini telah diserahkan kepada agensi bantuan di Jordan bulan lalu, yang terdiri daripada hampir S$1.3 juta yang dikumpul oleh RLAF.

"TIADA HURAIAN PANTAS DAN MUDAH"

Anggota Parlimen Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) dan Alex Yam (PAP-Marsiling-Yew Tee) bertanya tentang peranan yang boleh dimainkan Singapura dalam menyumbang kepada usaha untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata dan menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau.

Dr Balakrishnan berkata bahawa "kita perlu bersikap realistik dan kita perlu berhati-hati tentang peranan yang boleh kita mainkan".

“Apa yang boleh kita lakukan dari jauh adalah untuk menggalakkan semua pihak mencapai persetujuan bagi gencatan senjata yang berkekalan di Gaza dan untuk meneruskan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

"Tetapi kita perlu memahami kerumitan dan sejarah yang mendalam tentang konflik ini di Timur Tengah, dan tidak akan ada huraian yang pantas dan mudah."

Beliau menambah bahawa Singapura menyokong hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri, dan percaya bahawa satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai "penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan" kepada konflik itu ialah huraian dua negara yang dirundingkan.

“Kami berharap para pemimpin kedua-dua pihak akan mencari tekad politik, keberanian dan daya imaginasi untuk menyambung semula rundingan, walaupun kami tahu bahawa ini akan menjadi sangat sukar memandangkan 16 bulan yang sangat perit baru sahaja berlalu.”
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan