Skip to main content

Singapura

SG akan 'gandakan' usaha bagi bangunkan, sokong pekerja tempatan: Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Oct 2022 05:52PM Dikemas Kini : 19 Oct 2022 12:24AM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa Pemerintah akan "menggandakan" usahanya dalam membangunkan dan menyokong pekerja sambil mengekalkan ekonomi yang terbuka.

Berucap di Forum Dasar Ekonomi Singapura pada Selasa (18 Okt), Encik Wong menyentuh tentang strategi Singapura bagi memastikan ekonomi terus berkembang maju dan pertumbuhan itu berbentuk inklusif, dalam sekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

"Strategi berkembar" Singapura adalah untuk kekal terbuka dan membangunkan bakat tempatan, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

"Keutamaan kami adalah untuk kekal terbuka dan terhubung kepada dunia - ini bukan sahaja penting, tetapi ia juga perlu wujud bagi Singapura kerana kami negara kecil dengan tiada sumber semula jadi dan kawasan tanah," kata beliau.

Encik Wong menarik perhatian bahawa sejak beberapa tahun lalu, terdapat sentimen "sangat negatif" yang muncul berhubung antipendatang, dengan sebilangan orang berkata bahawa Singapura mahu kekal terbuka "secara prinsip", tetapi harus "menyingkirkan lebih ramai pendatang asing" daripada mengambil pekerjaan bagi rakyat Singapura.

Namun pemikiran sedemikian "benar-benar salah" kerana pekerjaan-pekerjaan itu tidak secara automatik jatuh di tangan rakyat Singapura, kata beliau.

"Sebaliknya, jika dasar-dasar kami terlalu menyekat, syarikat-syarikat global yang berpangkalan di sini akan mencari tempat lain untuk beroperasi - tempat-tempat dengan pasaran atau kumpulan pakar yang lebih besar," katanya.

"Kita akan kehilangan semua pekerjaan yang dibawa syarikat-syarikat ke sini, dan ini termasuk banyak pekerjaan baik yang dilakukan rakyat Singapura. Jika persepsi tentang Singapura ini terus berakar, kerja keras sejak berpuluh-puluh tahun lamanya untuk membina hab kita akan sia-sia sahaja."

Beliau menambah: "Ekonomi kita akan menguncup... dan merosot. Kita akan berdepan dengan lebih banyak masalah, dan akhirnya rakyat Singapura juga yang harus menanggung akibatnya."

Bagi Singapura untuk terus makmur, ia mesti terus menarik syarikat-syarikat dan bakat-bakat terbaik ke Singapura, sementara ia membangunkan rakyatnya, tekan Encik Wong.

SISTEM SKILLSFUTURE YANG LEBIH BAIK

Sehubungan itu, beliau berjanji bahawa melabur kemahiran dan modal insan rakyat Singapura sudah dan akan terus menjadi keutamaan bagi Pemerintah, sambil memberi butiran cara pekerja di sini akan disokong.

Singapura akan terus memberi kemas kini berhubung dasar-dasar tenaga manusia dan undang-undangnya untuk menangani pengaliran masuk pemegang pas pekerja dan demi memastikan mereka cukup berkaliber, kata Encik Wong.

Ia juga akan memastikan majikan mengamalkan pengambilan pekerja yang saksama dan mempunyai pendirian teguh terhadap diskriminasi di tempat kerja.

Negara ini juga akan melabur lebih banyak ke dalam latihan kemahiran, dengan tumpuan untuk membangunkan lebih banyak pakar dan pemimpin dari Singapura dalam semua sektor ekonomi, kata beliau.

"Tujuan kami adalah untuk melabur dalam semua rakyat Singapura dan membantu mereka membangunkan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan bekerja mereka," kata Encik Wong.

Sebilangan besar pekerja akan memerlukan latihan yang lebih meluas untuk kekal relevan atau beralih ke sektor baru, terutamanya apabila industri sedang mengalami perubahan dan transformasi yang dramatik, tambahnya.

"Dengan bekerjasama, saya yakin kita boleh membina sistem SkillsFuture yang lebih baik yang akan membolehkan semua rakyat Singapura membangun dan berkembang, serta memberi prestasi terbaik dalam diri mereka," katanya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita