SG akan ekstradisi pasangan warga Iran-Malaysia terbabit biaya visa pendatang terkait pengganasan
Seorang wanita warga Iran dan suaminya, seorang rakyat Malaysia akan diekstradisi dan diharamkan daripada memasuki semula Singapura atas penglibatan mereka dengan sebuah agensi pelancongan yang membiayai permohonan visa oleh warga asing yang mempunyai kaitan dengan pengganasan.

Ibu pejabat Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) di Singapura. (Gambar fail: TODAY)
Parvane Heidaridehkordi, 38 tahun, dibatalkan pas lawatan jangka panjangnya oleh Pengawal Imigresen, menurut Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) pada Isnin (10 Feb).
Menurut MHA, Pengawal Imigresen mengesahkan bahawa warga Iran itu adalah seorang Pendatang Terlarang di bawah Seksyen 8(1) Akta Imigresen.
Dia dianggap sebagai "pendatang tidak diingini" kerana terlibat dalam aktiviti yang mengganggu gugat keselamatan Singapura.
Suaminya, Soo Thean Ling, juga diisytiharkan sebagai Pendatang Terlarang atas dasar dia anggota keluarga Parvane.
Permit kemasukan serta kemasukan semula Soo juga dibatalkan.
Soo, 65 tahun, adalah seorang penduduk tetap Singapura (PR).
Menurut MHA, Parvane terlibat dalam operasi sebuah agensi pelancongan berdaftar di Singapura yang membiayai permohonan visa oleh warga asing, yang ada kaitan pengganasan, untuk memasuki Singapura.
Siasatan mendapati bahawa agensi pelancongan itu sekadar helah bagi sebuah operasi yang dikendalikan oleh seorang warga asing yang berpangkalan di luar negara.
"Agensi pelancongan itu sudah pun dibatalkan pendaftarannya. Tindakannya itu mengganggu gugat keselamatan kita," menurut MHA.
Selepas pihak berkuasa mula menjalankan siasatan terhadap agensi pelancongan itu, Soo cuba mendaftar syarikat itu bagi mengambil alih perniagaan agensi pelancongan di Singapura sebanyak dua kali.
"Soo mahu Parvane mengendalikan perniagaan itu, yang berkemungkinan memudahkan penglibatan berterusan Parvane dalam menyokong kemasukan individu dengan kaitan pengganasan ke Singapura.
"Kedua-dua permohonan pendaftaran syarikat yang difailkan oleh Soo ditolak atas dasar keselamatan negara," menurut MHA.
"Warga asing di Singapura yang didapati terbabit dalam aktiviti yang menimbulkan risiko terhadap keselamatan, boleh dibatalkan kemudahan imigresen mereka dan diekstradisi.
"Kedua-dua kemudahan imigresen Parvane dan Soo telah ditarik balik. Mereka diekstradisi dan dilarang daripada memasuki semula Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.