SG akan buka konsulat di Sabah, Sarawak
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam (kedua dari kanan) dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Saifuddin Nasution (kedua dari kiri) saling bertukar MOU bagi membanteras pengedaran dadah pada 4 Dis 2025. (Gambar: CNA/Fabian Koh)
Beliau berucap semasa sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Anwar Ibrahim, yang berada di Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia yang ke-12.
"Saya juga sangat gembira kerana Malaysia secara rasmi bersetuju dengan cadangan Singapura untuk menubuhkan konsulat di Sabah dan Sarawak.
"Ini akan membolehkan Singapura untuk menyediakan khidmat konsulat kepada rakyat Singapura di sana, dan mengeratkan lagi hubungan teguh antara rakyat kita," katanya.
Idea itu dibincangkan semasa rahat pemimpin sebelum ini di Putrajaya pada Januari 2025 - pertama kali antara Encik Anwar dan Encik Wong sebagai perdana menteri.
Kedua-dua negara mengeluarkan kenyataan bersama pada ketika itu bagi menyatakan hasrat Singapura untuk membuka konsulat baharu di wilayah Malaysia, tetapi kelulusan belum diberikan pada ketika itu.
Singapura kini mempunyai dua misi diplomatik di Malaysia, iaitu Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur serta sebuah konsulat di Johor Bahru yang dibuka pada 2009.
Pada Khamis (4 Dis), kedua-dua pihak saling bertukar dua memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama kesihatan dan usaha membanteras dadah, yang disaksikan oleh kedua-dua perdana menteri di hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
MENANGANI DADAH, KESIHATAN
Bagi membanteras aktiviti dadah rentas sempadan yang semakin meningkat, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk berkongsi maklumat menyasarkan rangkaian pengeluaran dan pengedaran dadah.
MOU mengenai Kerjasama dalam Membanteras Pemerdagangan Haram Dadah Narkotik, Bahan Psikotropik, Analog dan Bahan Kimia Prekursornya ditandatangani dan saling ditukar antara Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Saifuddin Nasution.
Ia bertujuan untuk mengukuhkan, menggalakkan dan membangunkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menangani isu itu, termasuk berkongsi maklumat mengenai trend dan teknik yang digunakan dalam pengeluaran, penyalahgunaan, pengedaran dan pengalihan dadah secara haram.
Perjanjian itu juga termasuk latihan dan pendidikan bagi mengukuhkan pembinaan keupayaan, peningkatan kemahiran dan pembangunan pengetahuan di kedua-dua pihak.
Terdapat juga aktiviti dan latihan yang diselaraskan di kalangan agensi berkaitan, yang diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak, bagi mencegah dan mengawal pengedaran dadah secara haram.
MOU itu juga membenarkan sebarang aktiviti lain yang dipersetujui bersama oleh kementerian dalam negeri kedua-dua negara yang termasuk dalam skop bidang kerjasama.
Secara berasingan, sebuah MOU mengenai kerjasama kesihatan juga ditukar antara Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Mohamad Hasan bagi meningkatkan kerjasama dan perkongsian dalam sektor kesihatan antara kedua-dua negara.
Bidang-bidang kerjasama termasuk kesihatan digital, penghantaran khidmat jagaan kesihatan, pembiayaan kesihatan dan kesihatan awam termasuk pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta penggalakan kesihatan.
Pemakanan, penjagaan jangka panjang dan penuaan sihat dan pembangunan sumber manusia dalam kesihatan, juga merupakan bidang tumpuan di bawah MOU, yang ditandatangani oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Singapura merangkap Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan rakan sejawatannya dari Malaysia Dzulkefly Ahmad.
Kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama melalui cara seperti melalui perkongsian maklumat, pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang kerjasama yang dikenal pasti.
Terdapat juga lawatan pertukaran antara pakar dan pegawai dari kedua-dua pihak, serta latihan bersama dan aktiviti pembinaan keupayaan.
Singapura dan Malaysia juga akan menjalin kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dasar, acara penglibatan pihak berkepentingan, dan bersama-sama menganjurkan bengkel, seminar dan persidangan di bawah MOU.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.