Skip to main content

Singapura

SG akan buka kedutaan pertama di Afrika Timur

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Nov 2025 07:54PM Dikemas Kini : 01 Dec 2025 10:14PM
ADDIS ABABA: Perdana Menteri Lawrence Wong diberi sambutan penuh istiadat semasa lawatan dua halanya yang pertama ke Habsyah.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun seorang ketua pemerintah Singapura melakukan lawatan ke negara Afrika Timur itu.

Lawatan ke Addis Ababa itu mencerminkan peranan bandar tersebut sebagai ibu kota Habsyah yang semakin berkembang maju

Ini juga sedang ia menjadi hab bagi kegiatan politik, ekonomi dan budaya.

Di tengah-tengah pertumbuhan itu, PM Wong berkata ada ruang untuk memperkukuh kerjasama serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Asia Tenggara dengan Afrika.

Sejajar dengan langkah memperluas pelibatan antara kedua-dua pihak, Singapura akan membuka sebuah kedutaan di Addis Ababa, iaitu kedutaan Singapura yang pertama di Afrika Timur dan hanya yang ketiga di benua Afrika.

Dua lagi kedutaan di rantau itu terletak di Kaherah di Mesir dan Pretoria di Afrika Selatan.

"Ia adalah demonstrasi ketara mengenai komitmen Singapura terhadap perkongsian kami dengan Habsyah, dan kepercayaan kami terhadap kepentingan strategik dan potensi Habsyah.

"Kedutaan kami juga akan membolehkan Singapura untuk memperkukuh hubungan kami dengan Afrika secara keseluruhannya kerana menempatkannya di sini di Addis Ababa akan membolehkan kami untuk mengadakan pelibatan lebih baik dengan Kesatuan Afrika, memperdalamkan pemahaman kami tentang Afrika dan meneroka bidang-bidang kerjasama yang baharu," kata PM Wong.

Selepas 55 tahun hubungan diplomatik terjalin, hubungan antara kedua-dua negara kini lebih kukuh.

Terkini, Singapura dan Habsyah memeterai perjanjian untuk memperdalam kerjasama dalam pembangunan kemahiran.

Di bawah satu perjanjian bersama, Singapura akan mengongsi kepakaran dan pengetahuannya.

Ini terutama sekali dalam bidang-bidang seperti kepimpinan dan tadbir urus, mobiliti bijak, keselamatan makanan serta keselamatan dan pengurusan air.

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam bidang kajian serta menganjurkan bengkel, persidangan dan seminar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami juga akan memperdalam kolaborasi kami dalam kemampanan, khususnya berhubung kredit karbon supaya kedua-dua negara boleh memenuhi sasaran iklim masing-masing.

"Dan ini juga adalah tepat pada masanya kerana Habsyah sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah kepada COP32 pada 2027 – suatu usaha yang Singapura sokong sepenuhnya," kata PM Wong.
Sumber : CNA/AI/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita