Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG akan bina taman logistik kedua di Changi untuk tingkat keupayaan kargo

Mulai 2030, Singapura akan membina taman logistik kedua di Lapangan Terbang Changi bagi meningkatkan keupayaan kemudahan sedia ada di sana dan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai sebuah hab kargo udara serantau.

Anggaran Waktu Membaca:
SG akan bina taman logistik kedua di Changi untuk tingkat keupayaan kargo

(Gambar: Changi Airport Group)

SINGAPURA: Mulai 2030, Singapura akan membina taman logistik kedua di Lapangan Terbang Changi bagi meningkatkan keupayaan kemudahan sedia ada di sana dan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai sebuah hab kargo udara serantau.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata hari ini (3 Okt), pembinaan taman logistik baharu itu juga akan meningkatkan keupayaan pengendalian kargo keseluruhan Lapangan Terbang Changi dari 3 juta tan setiap tahun kepada 5.4 juta tan setiap tahun.

Taman logistik baharu itu juga membolehkan Singapura untuk menempatkan lebih banyak syarikat logistik dan aktivitinya, termasuk pusat pengedaran serantau dan penghantaran barang.

Di samping itu, ia juga akan "menambah kepelbagaian kepada ekosistem hab kargo udara Changi dan bantu mengekalkan kerelevanan Singapura dan pemusatannya sebagai titik penting dalam rangkaian bekalan global", kata Encik Gan.

Taman logistik baharu itu juga dirancang sebagai sebuah zon perdagangan bebas seperti taman logistik sedia ada, yang membolehkan khidmat logistik khidmat ketiga untuk menerima dan mengedarkan kargo dengan secepat mungkin.

Encik Gan, yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri Singapura, berkata demikian dalam ucapannya di persidangan Singapore Supply Chain Connect 2024 yang diadakan buat julung-julung kalinya di Marina Bay Sands.

Hab yang diperluaskan itu meliputi taman logistik yang baru diumumkan, Zon Perindustrian Changi East, Pusat Pengangkutan Udara Changi dan taman logistik lapangan terbang sedia ada.

Menurut Encik Gan, Singapura merupakan hab kargo udara terbesar di Asia Tenggara, dengan lebih 6,900 penerbangan yang dikendalikan oleh hampir 100 syarikat penerbangan.

Dalam ucapannya, Encik Gan turut menggariskan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan meningkatkan keterhubungan laut dan udara Singapura, termasuk pembinaan terminal baharu di Lapangan Terbang Changi dan peluasan Pelabuhan Tuas,

Pada bulan lalu, Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan bahawa pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi akan bermula pada separuh pertama 2025.

Sebaik sahaja ia siap dibina pada pertengahan tahun 2030, Terminal 5 akan menambah keupayaan menampung lagi 50 juta penumpang setiap tahun.

Pelabuhan Tuas, yang akan dibina dalam empat fasa, akan menjadi pelabuhan berautomasi sepenuhnya yang terbesar di dunia apabila ia siap dibina dalam masa sekitar 20 tahun, kata Mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2022.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan