Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG akan bina hospital baharu di Tengah; perluas inisiatif jagaan di rumah bagi penuhi keperluan penduduk semakin menua

Sebuah hospital awam yang baharu di Tengah, peluasan model wad "maya" dan peningkatan pada khidmat jagaan warga emas di rumah adalah antara inisiatif-inisiatif yang diumumkan pada Rabu (6 Mac) untuk meningkatkan kapasiti jagaan kesihatan di Singapura dan menyokong penduduknya yang semakin menua.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Mar 2024 02:29PM Dikemas Kini : 06 Mar 2024 10:58PM
SINGAPURA: Sebuah hospital awam yang baharu di Tengah, peluasan model wad "maya" dan peningkatan pada khidmat jagaan warga emas di rumah adalah antara inisiatif-inisiatif yang diumumkan pada Rabu (6 Mac) untuk meningkatkan kapasiti jagaan kesihatan di Singapura dan menyokong penduduknya yang semakin menua.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), ia sudah mula merancang untuk membina sebuah hospital am dan masyarakat bersepadu yang baharu di Tengah untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk yang semakin meningkat di bahagian barat Singapura.

Hospital yang akan dikendalikan oleh Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) itu dijadual siap dibina pada awal tahun 2030-an. Ia akan melengkapi rancangan MOH untuk menambah 4,000 katil menjelang 2030, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen.

Bersama dengan kampus Hospital Besar Timur (Eastern General Hospital) yang akan dibuka di Bedok, Singapura akan mempunyai 13 hospital akut awam dan 12 hospital masyarakat menjelang awal 2030-an, menurut MOH.

Selain itu, mulai 1 April, sebuah program perintis yang menawarkan pesakit pilihan untuk dijaga di rumah mereka sendiri dan bukan di wad hospital akan menjadi model jagaan aliran utama institusi-institusi jagaan kesihatan awam, kata Encik Ong ketika membentangkan rancangan perbelanjaan kementeriannya di Parlimen.

Program perintis Mobile Inpatient Care-at-Home (MIC@Home) dilancarkan pada April 2022 sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk mempertingkatkan jumlah katil di hospital-hospital awam.

"Para pesakit akan diberikan jaminan bahawa mereka tidak akan membayar lebih untuk perkhidmatan ini daripada yang mereka bayar untuk rawatan pesakit dalam wad akut di hospital awam. Semua hospital kami berhasrat untuk merancang untuk menetapkan harga MIC@Home yang sama atau lebih rendah daripada wad biasa," kata Encik Ong.

Pesakit MIC@Home akan disokong oleh subsidi, MediShield Hayat dan MediSave, "tidak berbeza dengan pesakit yang dirawat dalam sebuah wad", tambahnya.

MOH menyasarkan untuk menyediakan sehingga 300 katil "maya" MIC@Home tahun ini, yang dijangka akan "menambah" kapasiti katil di hospital awam.

PEMANTAUAN SEPANJANG MASA BAGI KES JATUH

Warga emas yang menghadapi masalah mobiliti tetapi kekurangan sokongan keluarga juga akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan pada Khidmat Jagaan Peribadi di Rumah, yang kini membantu dengan aktiviti kehidupan harian seperti mandi, makan dan mengemas rumah.

Khidmat yang dipertingkatkan itu akan merangkumi pemantauan berdaya teknologi sepanjang 24 jam dan "elemen tindak balas" untuk mengesan insiden terjatuh dan insiden-insiden lain. Lantaran itu, para anggota keluarga boleh berasa yakin bahawa orang tersayang mereka akan menerima bantuan tepat pada masanya apabila diperlukan kelak, kata MOH.

Para penjaga yang memerlukan khidmat jagaan masa singkat supaya mereka dapat berehat, juga boleh memanfaatkan khidmat Jagaan Peribadi di Rumah untuk tempoh yang lebih panjang.

Khidmat yang telah dipertingkatkan itu dirintis di 11 lokasi termasuk TOUCHpoint@AMK 433 dan Hab Penuaan Aktif Kooperatif Kesihatan NTUC di Kampung Admiralty, menurut MOH dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

SARANAN GAYA HIDUP, PROTOKOL JAGAAN

MOH hari ini turut mengumumkan langkah-langkah bagi membantu para penduduk mencapai matlamat kesihatan masing-masing seperti dengan memberikan saranan-saranan gaya hidup yang lebih khusus dari semasa ke semasa.

Di bawah inisiatif SG Lebih Sihat, para penduduk disokong oleh doktor keluarga mereka dalam membangunkan Pelan Kesihatan yang diperibadikan berdasarkan keadaan kesihatan mereka.

"Tetapi nasihat mengenai gaya hidup agak generik, seperti 'sila bersenam lebih banyak'," kata Encik Ong.

"Pada 2024, kami akan mula menjadikan nasihat itu lebih khusus. Sebagai contoh, ia mungkin mengesyorkan kepada anda supaya melakukan senaman aerobik tiga kali seminggu."

Pelan Kesihatan akan dikemas kini berdasarkan hasil kesihatan dan pilihan jagaan; dan ia juga akan "terus dipertingkatkan" untuk menyokong mereka dan keperluan doktor keluarga mereka dengan lebih baik lagi, menurut MOH.

Menjawab pertanyaan media mengenai jumlah pendaftaran sejauh ini, jurucakap MOH berkata 765,000 penduduk sudahpun mendaftar di bahawa SG Lebih Sihat setakat 29 Feb.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 484,000 penduduk berusia 60 tahun ke atas dan sekitar 281,000 penduduk berumur antara 40 dan 59 tahun, tambah jurucakap itu.

Di samping itu, MOH juga akan memperluaskan rangkaian protokol jagaan untuk meliputi lebih banyak keadaan seperti penyakit jantung iskemik yang stabil dan kes angin ahmar untuk menyokong doktor keluarga dengan lebih baik lagi semasa menawarkan khidmat jagaan pencegahan dan jagaan penyakit kronik. MOH akan mula melancarkannya pada awal 2025, kata Encik Ong.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan