Skip to main content

Singapura

SG akan ambil tindakan terhadap rakyat bertempur di luar negara

Tindakan akan diambil terhadap mana-mana rakyat Singapura yang terlibat dalam pertempuran di luar negara bagi matlamat asing, kata Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K Shanmugam pada Isnin (23 Feb), sambil menekankan peri penting keharmonian kaum dan agama dalam mengekalkan keamanan di Singapura.
Anggaran Waktu Membaca:
SG akan ambil tindakan terhadap rakyat bertempur di luar negara
Menteri Penyelaras Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berucap di majlis berbuka puasa tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan pada 23 Februari 2026. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Tindakan akan diambil terhadap mana-mana rakyat Singapura yang terlibat dalam pertempuran di luar negara bagi matlamat asing, kata Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K Shanmugam pada Isnin (23 Feb), sambil menekankan peri penting keharmonian kaum dan agama dalam mengekalkan keamanan di Singapura.

Beliau turut menegaskan peranan penting pemimpin agama dan masyarakat dalam membentuk suasana yang harmoni di Singapura.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata demikian semasa majlis berbuka puasa yang dianjurkan bersama oleh Masjid Khadijah dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Isnin.

“Kita bertemu pada waktu dunia dan sebahagian rantau ini berdepan dengan tekanan yang besar. Baik tekanan politik mahupun tekanan ekonomi. Dan ini menyebabkan ketegangan dalam banyak masyarakat, keganasan di banyak tempat, peperangan antara negara.

“Di tengah-tengah semua ini, kita kekal sebagai sebuah oasis kecil yang aman,” kata beliau, sambil mengaitkannya dengan penekanan Singapura terhadap beberapa asas yang penting, termasuk keharmonian kaum dan agama.

“Ia bukan satu-satunya faktor yang mengekalkan keamanan, tetapi ia merupakan suatu aspek utama dalam memastikan keamanan itu terus terpelihara.

"Jika kita tersilap dalam hal ini, banyak perkara boleh menjadi tidak terkawal. Jadi apa sahaja yang berlaku di luar, kita berusaha untuk tidak membawa masalah tersebut ke sini.”

Encik Shanmugam berkata Singapura menyalurkan bantuan kemanusiaan ke luar negara apabila ia mampu dan sesuai untuk dilakukan.

Pada masa yang sama, undang-undang negara tidak membenarkan rakyatnya terlibat dalam keganasan di luar negara.

“Mereka tidak dibenarkan untuk pergi bertempur di luar negara dalam perjuangan asing, sama ada untuk negara atau bagi pertubuhan seperti ISIS, sama ada berperang di Ukraine atau Rusia atau Gaza, bagi mana-mana pihak. Itu bertentangan dengan undang-undang kita dan tindakan akan diambil.

“Saya berkata demikian kerana sekali-sekala terdapat dakwaan berhubung seorang rakyat Singapura yang berjuang untuk perjuangan ini atau itu. Dengan berita palsu, kita tidak tahu apa yang benar dan apa yang tidak benar.

"Tetapi jika ia melibatkan rakyat Singapura dan telah dikenal pasti, dan kita tahu, tindakan akan diambil. Jika mereka berada di Singapura, ISD akan memberkas mereka, dan kita telah berbuat demikian sebelum ini,” kata Encik Shanmugam.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 19 Februari menyatakan pihaknya maklum berhubung laporan media asing yang menyebut bahawa dua warga Singapura merupakan antara mereka yang berjuang bersama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) semasa konflik di Gaza.

“MHA tidak mempunyai sebarang maklumat yang disahkan setakat ini bahawa mana-mana rakyat Singapura sedang atau pernah berjuang sebagai sebahagian daripada IDF,” menurut kementerian itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita